KETIKA
Barisan Nasional (BN) masih berteka-teki mengenai sama ada bertanding atau
tidak pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang,
tiba-tiba muncul satu nama yang mahu bertanding atas tiket Bebas.
Bekas
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim mahu mencabar Anwar Ibrahim
bagi memastikan Khalid Ibrahim tidak disingkirkan daripada jawatan Menteri
Besar (MB) Selangor. Dalam erti kata lain, Zaid, bekas anggota PKR dari
Kelantan, tidak mahu Anwar, dari Pulau Pinang mengetuai kerajaan negeri. Benar
kata Zaid, jika Khalid dari Selangor mahu disingkirkan biarlah ia dilakukan
melalui proses demokrasi seperti undi tidak percaya di dalam sidang DUN. Tidak
perlulah PKR mencipta PRK yang nyata mengajak pelbagai pihak membazirkan wang.
Umpama pada musim kemarau, paip air sengaja dipecahkan. Zaid menyifatkan
perbuatan Anwar sebagai 'satu tindakan politik liar yang perlu dihalang dan
tidak wajar direstui pengundi-pengundi Kajang'.
Adakah
pengundi-pengundi Kajang yang sudah tentu majoritinya 'anak Selangor' juga
sekata dengan Zaid? Kata bekas Presiden Parti Kesejahteraan Insan (KITA) itu
lagi, beliau mampu menstabilkan keadaan politik di Selangor serta membawa
pembangunan ke Kajang atas dasar hubungan baik dengan pemimpin dalam pakatan
pembangkang dan BN. Apa pun alasan yang diberi bagi 'melayakkan' dirinya
bertanding, Zaid memang berhak bertanding. Tidak ada sesiapa boleh
menghalangnya kecuali 'halangan' undang-undang. Jika Anwar, Ahli Parlimen
Permatang Pauh di Pulau Pinang boleh bertanding kenapa tidak Zaid yang bukan
wakil rakyat?
Dalam
peraturan pilihan raya, tidak ada sekatan mana-mana individu bertanding di luar
kawasannya bermastautin atau dilahirkan. Jika ada sekatan yang mengehadkan anak
negeri bertanding di negeri berkenaan, sudah tentu ramai yang tidak layak
menawarkan diri. Sekadar contoh, Lim Guang Eng dan bapanya Lim Kit Siang dari
mana? Berapa tempat atau negeri yang sudah mereka jelajah?
Lebih bertuah adalah
Guan Eng yang suatu masa dulu menjadi wakil rakyat di Melaka tetapi nasib
menyebelahinya di Pulau Pinang apabila dilantik sebagai ketua menteri (KM).
Kini giliran Anwar, anak Cherok Tok Kun mencuba nasib di Selangor dengan
harapan dapat menjadi MB seperti rekod yang dicipta Guang Eng. Dulu di Pulau
Pinang, ramai anak negeri itu yang bertanding sama ada melalui DAP, Gerakan dan
MCA tetapi mungkin semuanya tidak layak diangkat sebagai KM.
Kenyataan
Zaid nampak lebih jelas untuk tidak melihat Anwar sebagai MB berbanding Pas
yang masih 'tarik tali' berhubung jawatan tersebut. Ada yang berkata, jawatan
MB perkara lain sedangkan hasrat sebenar Anwar sudah diketahui umum. Pas
menegaskan bahawa jawatan MB Selangor bukan hak eksklusif PKR sebaliknya
ditentukan menerusi kesepakatan. Apakah maksud kesepakatan?
Langkah pertama
ialah PKR, Pas, DAP (3P) sepakat untuk memastikan kemenangan di Kajang dan
kemudian mencari kata sepakat melantik Anwar sebagai MB. Inilah 'pencak silat'
yang berlaku. Seperti diselak sebelum ini, 'Pas tetap Pas' dan 'DAP tetap DAP'
- Pas akan setuju, DAP akan patuh sebarang langkah Anwar.
Penolakan
terhadap Anwar sebagai MB hanya boleh direalisasikan sekiranya wujud ketegasan
seperti yang dinyatakan oleh Zaid. Tidak perlu lagi parti politik menggunakan
ayat 'berlapik' kononnya untuk memperlihatkan kesepakatan. Persoalannya adakah
Zaid secara bersendirian mampu melaksanakan hasratnya itu yang mungkin juga
menjadi harapan anggota, penyokong dan pengundi setia Pas?
Bersediakah
mereka yang mengundi Pas memilih Zaid bagi membuktikan mereka menolak Anwar?
Tanpa parti, adalah sukar bagi Zaid untuk mendapatkan sokongan tetapi sejarah
Selangor membuktikan calon Bebas berpeluang menjadi ADUN dan popular dalam
kalangan rakyat. Cuma itu situasi dulu. Hari ini lain.
Mungkinkah
Zaid cuba memenangi sokongan daripada pengundi/penyokong Pas, pengundi BN serta
pengundi 'atas pagar'? Begitu juga dengan penyokong Khalid yang mahu
menyelamatkan MB itu. Mungkin masih ada saki-baki anggota PKR yang menyokong
Zaid. Diselak kembali kisah Zaid, beliau adalah calon PKR bagi PRK Hulu
Selangor pada 25 April 2010.
Ketika itu, Anwar serta Khalid bertungkus-lumus
berkempen untuk Zaid bagi mempertahankan kerusi berkenaan yang kosong berikutan
kematian Dr. Zainal Abidin Ahmad. Mungkin ramai yang masih ingat bagaimana
Anwar yang ditemani S.Nallakaruppan menari-nari di salah satu pentas kempen.
Zaid akhirnya kecundang kepada calon BN. Kali ini, jika Zaid tidak berubah
fikiran pada saat akhir, beliau akan berhadapan dengan jentera bekas dua orang
panglima kempennya iaitu Anwar dan Khalid. Mampukah Zaid menghadapi jentera
yang lebih besar ini?
Memang
tidak sukar untuk meramalkan nasib Zaid di Kajang kecuali keputusan luar biasa
pengundi. Begitu juga jika BN bertanding. Jika BN tidak bertanding, perebutan
akan melibatkan calon PKR bersama dua atau tiga calon Bebas. Mungkinkah calon
Bebas lain terdiri daripada bekas anggota DAP dan Pas? Mungkin juga seorang dua
yang pernah menjadi rakan Anwar sendiri. Tentunya pertandingan ini menarik
apabila berlaku 'peperangan' melibatkan bekas anggota 3P serta rakan Anwar.
Persoalannya,
adakah BN tidak bersedia menawarkan diri seperti yang dilakukan di PRK DUN
Penanti? Setakat ini jentera BN sudah mula kelihatan di Kajang. Kemungkinan
tidak bertanding tetap ada. Biarkan PKR dengan sandiwara mereka. Selain
pembaziran, banyak faktor yang akan mendorong BN, jika tidak meletakkan calon.
MCA yang sudah membentuk Kabinet barunya belum pasti menunjukkan keupayaan
untuk turun ke gelanggang.
Bukan mudah menghadapi Pas dan DAP. Ketika Pas masih
bermain 'tarik tali', DAP sudah tentu tidak ambil kisah siapa MB. Apa yang
penting ialah pembangkang menguasai Selangor. Selepas Pulau Pinang, DAP
mengharapkan Selangor sebagai pangkalan kedua untuk meneruskan langkah ke
Putrajaya. Maka dua hari sebelum pengundian, DAP menyusun makan malam meraikan
'Dari Kajang ke Putrajaya' di Sungai Chua. Makan malam berbayar itu mungkin
penutup kempen bagi menyokong Anwar sebagai ADUN Kajang seterusnya sebagai MB
baharu.
No comments:
Post a Comment