Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menolak sebarang bentuk kerjasama dengan pembangkang, dalam usaha kononnya bagi menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, susulan pelawaan veteran DAP Lim Kit Siang untuk mengadakan kerjasama tersebut.
Dr Mahathir berkata masalah yang timbul sekarang ialah hanya perkara dalaman Umno dan ia tidak melibatkan atau ada kena mengena dengan mana-mana parti pembangkang.
"Saya tidak akan kerjasama dengan sesiapa untuk menjatuhkan Najib, pastinya tidak dengan pembangkang", kata Dr Mahathir semasa menghadiri forum anti perang di Pusat Dagangan Dunia Putra pagi ini.
Semalam, Lim Kit Siang berkata, beliau sedia bekerjasama walaupun dengan seterunya Dr Mahathir demi kononnya untuk “menyelamatkan Malaysia” daripada ditekan polisi yang diperkenalkan Najib yang katanya akan membawa negara tergelincir daripada matlamatnya. Namun Kit Siang tidak menyatakan dengan terperinci apa polisi-polisi tersebut.
Kenyataan Dr Mahathir itu juga memberi gambaran walaupun beliau lantang membidas Najib dan menggesa pengundurannya, tetapi beliau masih menyayangi UMNO.
Cadangan supaya Dr Mahathir menjalinkan kerjasama bagi menyingkir Najib disuarakan pada awalnya oleh bekas pemimpin PKR Datuk Zaid Ibrahim yang mencadangkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon terbaik memegang tampuk pemerintahan negara menggantikan Najib.
Zaid meminta Dr Mahathir memberi sokongan kepada ahli Parlimen Gua Musang itu, yang lebih dikenali sebagai Ku Li, dan melupakan persengketaan lama.
No comments:
Post a Comment