KL CHRONICLE: Kini PAS Akui namakan ADUNnya sebagai calon ketiga #MBSelangor

Thursday, September 4, 2014

Kini PAS Akui namakan ADUNnya sebagai calon ketiga #MBSelangor

 Khabar angin mengatakan calon daripada PAS yang dipilih sebagai menteri besar Selangor yang baharu adalah Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad. – Gambar fail The Malaysian Insider, 4 September, 2014.
Iskandar Abdul Samad bakal Menteri Besar Selangor yang baru
PAS menghantar tiga nama, dua daripada PKR dan seorang daripada partinya sendiri sebagai calon menteri besar Selangor yang baharu, lapor lidah rasmi parti itu Harakahdaily.

Menurut portal itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali mengesahkan perkara itu tetapi tidak menyebut nama ketiga-tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) berkenaan.



"Buat masa ini nama tu biarlah dulu," katanya kepada Harakahdaily tetapi khabar angin mengatakan calon daripada PAS adalah Pesuruhjaya Selangor, Iskandar Abdul Samad.



Menurut Mustafa, senarai nama itu dihantar terus oleh Pejabat Presiden PAS kepada Istana Selangor.
Beliau berkata, PAS menghantar tiga nama kerana pihak Istana Selangor menitahkan supaya setiap parti Pakatan Rakyat (PR) termasuk PKR dan DAP menghantar lebih daripada dua nama.

"Jadi lebih daripada dua nama, sekurang-kurangnya tiga," katanya dan menambah senarai calon itu dihantar semalam.

Pada 17 Ogos lalu, Jawatankuasa PAS Pusat memutuskan menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya Mohamed Azmin Ali sebagai calon menteri besar Selangor yang baharu.

Namun PKR dan DAP hanya menyatakan satu calon sahaja sebagai pilihan mereka iaitu Dr Wan Azizah.

Menurut Mustafa, senarai calon menteri besar Selangor selepas Pilihan Raya Umum 2008 dan 2013 lalu ditandatangani Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pada 27 Ogos lalu, Istana Selangor menghantar surat rasmi kepada PKR, PAS dan DAP yang menitahkan supaya menghantar lebih daripada dua nama calon bagi menteri besar sebelum 3 September.

Surat itu dialamatkan kepada Presiden PKR, dengan salinan kepada Presiden PAS dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dengan mengatakan calon yang dinamakan itu mestilah beragama Islam dan berketurunan Melayu mengikut Perkara L1 (2), Undang-undang Tubuh Negeri Selangor.

Sehari sebelum itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah menangguhkan peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor sehingga pelantikan baru dilakukan.

Baginda menitahkan supaya PAS, DAP dan PKR masing-masing mencadangkan lebih daripada dua nama sebagai calon menteri besar Selangor yang baharu bagi memudahkan baginda menentukan calon berkelayakan. – 4 September, 2014.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget