KL CHRONICLE: [Breaking News] ADUN PAS perlu beri sokongan penuh kepada Khalid, kata Mohd Amar

Tuesday, August 12, 2014

[Breaking News] ADUN PAS perlu beri sokongan penuh kepada Khalid, kata Mohd Amar


Kesemua 15 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Selangor perlu memberi sokongan penuh kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang kekal menerajui Selangor sebagai menteri besar.




Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata sokongan berkenaan selari dengan pendirian Majlis Syura Ulama PAS yang mempertahankan Khalid untuk kekal sebagai menteri besar Selangor.

"Apabila Majlis Syura Ulama PAS membuat keputusan menyokong Khalid dan selagi parti masih belum membuat apa-apa keputusan (lain) mengenainya, dari segi kewajipan wakil rakyat PAS Selangor akan (terus) bersama-sama beliau (Khalid).

"Arahan juga sudah dikeluarkan kepada exco PAS Selangor supaya kekal dengan jawatan yang ada sekarang," katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini.

Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan kepada Khalid untuk kekal sebagai menteri besar walaupun dipecat keanggotaannya daripada PKR, Sabtu lalu.

Perkenan baginda itu diumumkan sendiri oleh Khalid dalam sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan selepas Majlis Dewan Diraja Selangor mengadakan mesyuarat di Istana Alam Shah, Klang bagi membincangkan antara lain kedudukan jawatan menteri besar.

Pada 7 Ogos lalu, Majlis Syura Ulama PAS memutuskan bahawa Khalid tidak boleh digugurkan daripada jawatan menteri besar Selangor selagi beliau tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah sebagai menteri besar yang mewajarkannya disingkirkan.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata Majlis Syura Ulama merupakan badan tertinggi dalam parti dan segala yang diputuskan majlis itu selalunya tidak akan disanggah oleh anggota mahupun kepimpinan. – Bernama, 12 Ogos, 2014.

1 comment:

mdmok said...

Tiba ms kelantan akan jatuh ka Umno

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget