Walaupun sudah diberitahu dan ditegur akan dikenakan tindakan saman Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dapur jalanan tetap berdegil dan terus memberi makanan kepada gelandangan di pusat bandar raya.
Ahli pengasas Pertubuhan Tindakan Wanita Islam Malaysia (Pertiwi) dapur jalanan, Munirah Abdul Hamid berkata pegawai DBKL tidak hadir ketika mereka mengadakan rondaan mengedar makanan di Jalan Tuanku Abdul Rahman atau Kotaraya.
“Biar mereka datang. Kita tidak berhenti,” kata Munirah ketika ditemui malam tadi.
Minggu lalu, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah melarang aktiviti memberi makanan kepada gelandangan dalam lingkungan radius 2km dari pusat beli-belah Lot 10 di kawasan Bukit Bintang. Pihak DBKL pula akan mengambil tindakan menyaman mereka yang melanggar arahan tersebut.
Beliau mendakwa dapur jalanan bertanggungjawab menggalakkan kemalasan di kalangan gelandangan selain kegiatan membuang sampah di jalanan, menarik haiwan pembawa penyaking seperti kencing tikus (Leptospirosis).
Munirah berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan kementerian berkenaan untuk berbincang mengenai isu gelandangan dan pengemis di ibu kota.
“Kita akan selesaikan perkara ini dengan cara orang dewasa dan dalam keadaan paling bersopan santun. Ada penyelesaian kepada masalah gelandangan,” katanya.
Bagaimanapun, Ops Qaseh yang masih dijalankan oleh Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat untuk mengumpul golongan tidak berumah dan pengemis di seluruh negara nampaknya membuahkan hasil.
Adrian Lim, yang menjadi sukarelawan di dapur jalanan Pertiwi sekali dalam seminggu berkata, jumlah gelandangan yang datang merosot sejak amaran menteri Wilayah Persekutuan itu.
Beliau berkata, jumlah gelandangan biasanya kurang ketika Ramadan, tetapi susulan khabar angor dapur jalanan Pertiwi menghentikan operasi, dan bimbang DBKL mengadakan operasi seperti Ops Qaseh, ramai yang mengambil keputusan untuk tidak datang ke lokasi agihan makanan.
“Biasanya kita ada kira-kira 700 orang untuk diberi makanan, tetapi hari ini jumlahnya berkurangan separuh daripada biasa,” katanya.
1 comment:
Golongan bukan Islam sengaja memberi makan kepada geladangan Islam supaya mereka leka dengan bantuan itu seterusnya menjadi individu yang malas. Imej Malaysia kan menjadi tercemar dengan gejala ini kerana pihak yang berkepentigan akan mengambil peluang untuk mengexploitasi golongan ini kepengetahuan antarabangsa.
Post a Comment