KL CHRONICLE: Kontraktor Bumiputera disaran tubuh konsortium #KLChronicle

Monday, December 16, 2013

Kontraktor Bumiputera disaran tubuh konsortium #KLChronicle


Syarikat kontraktor Bumiputera disaran bersatu dan menubuhkan konsortium untuk menggembleng sumber perniagaan mereka di bawah satu bumbung bagi melaksanakan projek pembangunan dengan lebih efektif.


Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof, berkata dengan penubuhan konsortium seumpama itu, pelbagai sumber daripada segi pembekalan bahan, jentera, kepakaran jurutera, konsultan dan pemasaran dapat disatukan bagi mewujudkan dimensi perniagaan yang dinamik.
Katanya, kontraktor Bumiputera kena bersaing supaya boleh meningkatkan kemahiran dan berkembang lebih jauh lagi, bukan sahaja 'bermain' di peringkat Malaysia tetapi di peringkat global.
"Satu jalan keluar ialah fikirkan kaedah bagaimana hendak bergabung, spesifikkan peranan setiap kontraktor dan bukannya secara umum sahaja," katanya ketika berucap pada Jamuan Malam Penghargaan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) di Kuala Lumpur malam tadi.
Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Presiden PKMM, Mokhtar Samad.
Fadillah berkata, gabungan kontraktor itu dilihat akan meyakinkan pengeluar tender atau projek terhadap kemampuan mereka yang akan dilihat lebih profesional dan berkemampuan.
Selain itu, beliau turut menasihatkan kontraktor Bumiputera memperbaiki kelemahan mereka dalam aspek menyiapkan projek infrastruktur supaya mengikut tempoh ditetapkan dalam kontrak.
Beliau berkata, kemampuan menyiapkan projek mengikut waktu, peruntukan dan piawaian yang ditetapkan juga akan memberi lebih keyakinan kepada kerajaan untuk menyerahkan lebih banyak projek besar untuk dilaksanakan. - Bernama, 16 Disember, 2013.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget