Ahad lalu, jiran kita
iaitu Singapura yang menjadi kiblat masyarakat Cina di Malaysia menyaksikan
rusuhan terburuk dalam sejarahnya. Kira-kira 400 perusuh telah membuat kacau
memusnahkan harta awam serta membakar kenderaan di kawasan Little India. Ia berpunca dari seorang lelaki India
berusia 33 tahun telah mati dilanggar oleh sebuah bas ketika melintas
jalan.
Pihak berkuasa negara
itu mengerahkan lebih 300 anggota keselamatan untuk meleraikan rusuhan. Sehingga kini 27 orang telah ditangkap
manakala 18 orang termasuk polis dan juga pemandu dan konduktor bas, telah
cedera dalam rusuhan tersebut.
Bagi sebuah negara
kecil iaitu 714.3 km/p dengan populasi lebih kurang 5 juta, rusuhan yang
melibatkan 400 perusuh dan kemusnahan yang berlaku pada Ahad lalu, bukanlah
besar, tetapi bukan juga kecil. Apatah
lagi bagi sebuah negara yang sering mendabik dada sebagai lebih bijak dari
kebanyakan negara di dunia, yang meletakkan kedudukannya sebagai setaraf dengan
negara maju di barat dan memandang rendah pada rakan-rakan Asianya.
Rusuhan yang buruk
dalam negara ini yang turut terkenal dengan undang-undang yang ketat tentunya
merupakan satu berita hangat.
Namun, pelik sekali
apabila media barat, terutamanya CNN tidak pula memberi liputan meluas
mengenainya. Sedangkan
selama ini CNN cukup berminat dengan berita sebegitu. Malah, rusuhan kecil juga sering
diperbesar-besarkan, diulang-ulang dan dibincang berkali-kali dalam
program-program mereka.
Demonstrasi BERSIH atau
Blackout atau Himpunan Kebangkitan Rakyat di Malaysia, misalnya, sering
mendapat liputan meluas di CNN walaupun tidaklah seburuk mana. Benar, jumlah pendemonstrasi lebih
ramai dari Singapura tetapi perlu diingatkan bahawa Malaysia juga lebih besar
dari Singapura dengan jumlah penduduk 23 juta iaitu hampir 4 kali ganda. Pun begitu, kesannya tidak seburuk
yang berlaku di Singapura.
Dalam setiap
demonstrasi di Malaysia kita boleh melihat bagaimana sebahagian dari mereka
yang berada di tempat kejadian bukannya turut berdemonstrasi, tetapi sekadar
ingin melihat sendiri kekecohan itu, tanpa sedikit pun merasa takut. Jelas, rakyat negara ini cukup yakin
dengan kecekapan polis menangani manusia-manusia tidak bertamadun yang
menjadikan demonstrasi sebagai hobi.
Bagaimanapun,
demonstrasi di Malaysia pasti menarik minat media barat. Beberapa pemimpin barat turut memberi
perhatian sehingga ada yang membuat kenyataan seolah-olah ingin mengajar, kalau
pun tidak memberi tekanan kepada Malaysia. Media barat juga sedaya upaya
cuba menggambarkan seolah-olah Malaysia tidak lagi selamat. Walhal, rakyat Malaysia sendiri hanya
memandang demonstrasi itu dengan sinis sahaja tanpa sedikit pun merasa terancam
kerana tahu bahawa ia dilancarkan tanpa sebab yang konkrit tetapi sekadar untuk
mencari publisiti di media asing.
Berbeza dengan
demonstrasi di Singapura, rakyat dan kerajaan negara itu jelas terlepas pandang
akan sesuatu yang telah lama terpendam di hati manusia yang menduduki negara
itu.
Sesuatu rusuhan seganas
itu tidak mungkin tercetus hanya kerana satu insiden seperti kemalangan. Rusuhan ganas adalah kemuncak dari
rangkaian keadaan atau peristiwa yang menyebabkan ketidakpuasan hati dan
kemarahan terpendam lama.
Memandangkan yang
terlibat adalah warga asing yang kebanyakannya dari India dan Bangladesh, maka
kemungkinan besar rusuhan ini berkait rapat dengan cara Singapura melayan
pekerja asing di peringkat bawahan atau buruh kasar. Tahun lepas, warga asing
dari China yang menjadi pemandu bas di negara itu juga telah melancarkan mogok
kerana tidak puas hati terhadap layanan dan gaji yang diterima mereka.
Ini menguatkan persepsi
mengenai trend menindas golongan bawahan di Kota Singa itu. Persepsi ini amat menepati sikap kiasu
kaum Cina yang mendominasi negara itu.
Bagaimanapun,
sepertimana CNN tidak begitu berminat dengan rusuhan ganas di Singapura, begitu
jugalah kumpulan-kumpulan pejuang hak asasi manusia di barat tidak begitu
berminat dengan golongan yang tertindas di Singapura.
Nampaknya, Singapura
mendapat layanan istimewa dari barat. Segala
keburukan negara itu tidak akan dihebahkan dan sebaliknya hanya kebaikannya
sahaja yang ditonjolkan. Ini
mengukuhkan anggapan ramai bahawa Singapura merupakan ‘adik’ kepada Amerika
Syarikat atau lebih tepat kumpulan Neo-con yang sedang bermaharajalela di
seluruh dunia melalui operasi pertukaran rejimnya.
Justeru, tidak
hairanlah apabila CNN hanya memberi liputan ‘melepas batuk di tangga’ mengenai
rusuhan di Singapura kerana imej negara itu perlu dijaga agar ia dapat terus
menjadi mata, telinga ataupun ‘alat’ Amerika Syarikat di Asia Tenggara, dalam
usaha kuasa besar itu untuk menguasai dunia.
No comments:
Post a Comment