Buat masa ini,
kebanyakan dari rakyat Kedah tanpa mengira parti masih lagi berkabung atas
kembalinya Tan Sri Azizan Razak ke rahmatullah.
Biar apapun kelemahan
pentadbiran beliau, tiada siapa dapat menafikan sifat amanah dan kejujuran
beliau dalam memperkatakan soal agama. Allahyarham
dihormati di kalangan musuh sebagai seorang yang berpendirian teguh namun,
malang sekali, atas alasan yang sama juga arwah diragui di kalangan rakan hanya
kerana enggan meneggakkan benang yang basah.
Kerana ketokohannya,
acara pengebumian Tan Sri Azizan menyaksikan ribuan manusia sehingga
menyebabkan kesesakan lalulintas yang teruk. Adalah dilaporkan di kalangan keluarga
beliau sendiri tidak sempat menghadiri pengebumiannya akibat tersekat dalam
kesesakan. Ada juga di
kalangan warga emas yang terpaksa membatalkan niat untuk menghadirinya kerana
tidak mampu berjalan jauh memandangkan tiada ruang untuk meletak kereta lagi di
kawasan sekitar.
Begitulah pemergian
arwah amat dirasai dan ditangisi oleh semua yang tahu menghargai perjuangan
murninya yang berasaskan perpaduan ummah.
Namun, lumrah dunia
ini adalah terikat pada peraturan di mana yang hidup perlu meneruskan
kehidupan. Dan peraturan
itu juga menyatakan bahawa Pilihanraya Kecil perlu diadakan segera bagi
menentukan wakil DUN Sungai Limau yang sebelum ini disandang oleh arwah.
Dato’ Mukhriz yang
diketahui begitu kerap melawat arwah ketika sakit dan paling pantas tiba
menziarahi jenazah di hospital kini perlu berhadapan dengan cabaran besar untuk
memastikan BN berjaya mengatasi PAS dalam PRK Sungai Limau. Cabaran ini sekali gus merupakan
cabaran peribadi ke atas kemampuannya terutama dalam menghadapi pertandingan
Naib Presiden UMNO dalam pemilihan nanti.
Kerusi Sungai Limau
telah menjadi kerusi ‘tetap’ arwah sejak 1995 lagi tanpa gagal. Justeru, cabaran yang dihadapi oleh
Mukhriz bukannya calang-calang kerana orang-orang Sungai Limau sudah terlalu
biasa dengan PAS, yakni, dengan Ustaz Azizan. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa
memilih Ustaz Azizan dan PAS bagaikan ‘kewajiban’ kalaupun bukan ‘budaya’
masyarakat setempat.
Faktor calon pastinya
memainkan peranan besar dalam PRK ini. Setakat
ini 3 nama telah disebut-sebut sebagai calon BN, namun masih tiada kepastian
lagi.
Untuk negeri Kedah,
Sungai Limau adalah kawasan ‘terbaik’ bagi PAS selepas Tokai.
Dalam PRU-13, terdapat
27,287 pengundi berdaftar di Sungai Limau dan peratusan mengundi ialah
89.43%. Dari jumlah itu,
93% adalah dari kaum Melayu dan 7% lagi adalah Cina.
Apa yang menarik ialah
Ustaz Azizan pada waktu itu dicabar oleh sepupunya sendiri iaitu Fadzillah Mohd
Ali serta dua lagi calon Bebas. Arwah
menang dengan 13,294 mengatasi Fadzillah yang mendapat 10,520 undi. Calon-calon Bebas masing-masing hanya
berjaya mendapat tidak lebih dari 100 undi.
Jumlah majoriti
kemenangan Ustaz Azizan bagaimanapun menurun dari 3,212 pada 2008 kepada 2,774
pada 2013.
Hakikat bahawa arwah
ditentang oleh sepupunya sendiri dan menang dengan jumlah majoriti yang
berkurangan, boleh dilihat sebagai petanda bahawa BN mempunyai peluang untuk
menang di sini.
Apa yang pasti, bahawa
bukan semua, termasuk dari keluarga Ustaz Azizan sendiri di Sungai Limau, yang
mendokong perjuangan PAS. Malah,
jika kena calonnya dan kena gayanya, orang-orang Sungai Limau mampu beralih
arah kepada BN.
Pembaharuan pemikiran
generasi baru mungkin merupakan antara sebab majoriti Ustaz Azizan menurun
sedikit dalam PRU lalu. Sedikit
demi sedikit penduduk Sungai Limau pastinya mendambakan pembangunan yang mampu
membawa peluang pekerjaan dan mengeluarkan mereka dari keadaan statik sejak
berkurun lalu. Jika perkara
ini dapat ditekankan dengan betul, tidak mustahil BN mampu merampas Sungai
Limau dari PAS.
Selain itu, secara
dasarnya, Sungai Limau tiada bezanya dengan kawasan-kawasan PAS yang
lain. Rata-rata penduduknya
meletakkan agama sebagai faktor utama untuk memilih pemimpin. Kalau tidak
salah, terdapat sekurang-kurangnya 4 sekolah agama berkonsepkan pondok di
kawasan ini. Ini sudah
cukup untuk menggambarkan kehendak dan kecenderungan masyarakat di sini.
Justeru, BN perlu
memastikan memastikan calon yang diletakkan mempunyai pegangan dan pengetahuan
agama yang cukup mantap bagi meyakinkan penduduk setempat.
Kesimpulannya,
sekiranya BN serius untuk menang di sini, maka kepimpinan perlu meletakkan
calon yang mempunyai pengetahuan agama yang cukup serta mampu pula membawa
perubahan dan anjakan pemikiran serta pembangunan di Sungai Limau.
No comments:
Post a Comment