KL CHRONICLE: Laporan Audit : Prestasi Kewangan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor Tidak Memuaskan #KLChronicle

Thursday, October 3, 2013

Laporan Audit : Prestasi Kewangan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor Tidak Memuaskan #KLChronicle


Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor Sdn. Bhd. (KUIS Sdn. Bhd.) merupakan syarikat milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang telah ditubuhkan pada 28 September 1995 di bawah Akta Syarikat 1965.



KUIS Sdn. Bhd. bertanggungjawab mengendalikan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) di bawah peruntukan Seksyen 22, Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996. Penubuhan KUIS telah diluluskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) dan didaftarkan pada 15 Februari 1995 setelah ditukar namanya daripada Kolej Islam Selangor Darul Ehsan (KISDAR). Objektif penubuhannya adalah untuk melahirkan graduan yang berpengetahuan, cemerlang dan beradab. Pada tahun 2012/2013, KUIS mengendalikan 6 buah fakulti yang menawarkan sejumlah 26 program merangkumi 12 program Diploma dan 14 program Sarjana Muda. 

KUIS Sdn. Bhd. memiliki modal dibenarkan dan modal berbayar masing-masing berjumlah RM25 juta dan RM15 juta dan beroperasi di Bandar Seri Putra, Kajang. KUIS Sdn. Bhd. mempunyai sebuah syarikat subsidiari iaitu KUISCeLL Sdn. Bhd. dan sebuah syarikat berhad menurut jaminan iaitu Yayasan KUIS. Lembaga Pengarah KUIS Sdn. Bhd. terdiri daripada 7 orang ahli Lembaga Pengarah yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Selangor dan 6 orang ahli yang terdiri daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Penasihat Undang-undang Negeri, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Profesor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Rektor KUIS. Pengurusan KUIS Sdn. Bhd. diketuai oleh Rektor dan dibantu oleh 347 orang staf akademik dan 249 orang staf pentadbiran. Pengurusan KUIS Sdn. Bhd. adalah tertakluk kepada Akta Syarikat 1965, Memorandum Dan Artikel Penubuhan, Pekeliling Perbendaharaan serta Surat Arahan Perbendaharaan berkaitan syarikat yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

Pengauditan yang dijalankan antara bulan Disember 2012 hingga Februari 2013 mendapati secara keseluruhannya prestasi kewangan KUIS Sdn. Bhd. bagi tahun 2011 adalah tidak memuaskan dan perlu dipertingkatkan. KUIS Sdn. Bhd. memperoleh keuntungan sebelum cukai bagi tahun 2009 dan 2010 masing-masing berjumlah RM8.25 juta dan RM4.36 juta. Bagaimanapun pada tahun 2011, KUIS Sdn. Bhd. telah mengalami kerugian sebelum cukai berjumlah RM11.30 juta. Faktor penyumbang utama kepada perubahan trend kedudukan kewangan ini adalah kerana KUIS Sdn. Bhd. sedang melalui proses transformasi mulai tahun 2011 dan pelaksanaan transformasi ini mengambil masa selama 4 tahun. Sungguhpun mengalami kerugian sebelum cukai pada tahun 2011, KUIS Sdn. Bhd. masih memperoleh keuntungan terkumpul sejumlah RM17.76 juta pada tahun tersebut. Selain itu, pengurusan aktiviti KUIS yang dikendalikan oleh KUIS Sdn. Bhd. kurang memuaskan manakala tadbir urus korporat adalah baik. Secara ringkasnya kelemahan yang ditemui adalah seperti di bawah:

  1. Pengambilan pelajar tidak mencapai sasaran yang ditetapkan.
  2. Jumlah pelajar aktif melebihi kapasiti fasiliti akademik yang disediakan.
  3. Tunggakan yuran yang tinggi.
  4. Kemudahan asrama pelajar tidak digunakan sepenuhnya.
  5. Corporate Integrity Pledge/Integrity Pact tidak ditandatangani/dilaksanakan.
  6. Sebanyak 195,000 naskhah Buku Perbendaharaan Al-Quran dengan kos RM1.66juta tidak dapat dijual kerana sambutan yang tidak menggalakkan. Buku ini telah/akan diberi secara sumbangan kepada badan/orang awam.
  7. Peralatan komputer yang rosak sejak tahun 2011 belum dilupuskan. Jumlah nilai
  8. harta modal berkenaan tidak dapat disahkan.

Bagi melestarikan masa hadapan KUIS dan menambah baik prestasi kewangan, pengurusan aktiviti KUIS serta tadbir urus korporat, pihak Audit mengesyorkan KUIS Sdn. Bhd. dan MAIS mengambil tindakan seperti berikut:

3.3.1. Memantau pelaksanaan Transformation of KUIS dan mengkaji kesesuaian pelan ini dari semasa ke semasa untuk memastikan matlamat penubuhan KUIS tercapai pada tahun 2015.

3.3.2. Membuat penyusunan semula supaya KUIS Sdn. Bhd. tidak menanggung beban kewangan yang besar. Antaranya MAIS selaku badan induk disarankan membantu syarikat ini dengan menyediakan peruntukan one off bagi menaik taraf fasiliti akademik selaras dengan fasiliti asrama agar pengambilan pelajar dapat ditambah sekaligus meningkatkan pendapatan KUIS.

3.3.3. Mengoptimumkan penggunaan asrama sebaik mungkin dengan membenarkan penyewaan bilik asrama kepada pelajar universiti/kolej lain yang berhampiran dengan syarat pelajar luar mematuhi peraturan KUIS.

3.3.4. Berunding terus dengan agensi pembiaya pinjaman bagi memastikan yuran pengajian dan yuran asrama dibayar terus kepada KUIS supaya tidak berlaku tunggakan yuran yang akan membawa kerugian syarikat.

3.3.5. Memastikan perolehan dan pelupusan aset dilaksanakan dengan cekap dan teratur.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget