Beberapa orang rakan telah bertanyakan kepada saya mengapa menteri-menteri Malaysia tidak mempertahankan tulisan saya menyamakan mantan Presiden B.J. Habibie dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah menimbulkan reaksi marah dari sebahagian besar rakyat Indonesia.
Tulisan itu bertajuk “Perwatakan sama, Tugas sama dan Nasib pun sama.”
Terkini, Timbalan Menteri Pelajaran Dr. Mohd Puad Zarkashi dalam temubual dengan TvOne Indonesia (lihat Mingguan Malaysia 3 Febuari) telah menjelaskan, bahawa pandangan itu sebenarnya pandangan peribadi saya yang tidak mewakili pendirian pemerintah Malaysia, tidak mewakili pandangan rakyat Malaysia dan Umno.
Sebelum itu Menteri Pertahanan, Datuk Zahid Hamidi dalam lawatan ke Indonesia juga telah memberikan penjelasan yang sama, malah saya sendiri sebaik sahaja Anwar Ibrahim mendakwa tulisan itu merosakkan hubungan Malaysia Indonesia, telah bertanya kepada Anwar “siapa saya, saya bukan lagi menteri kabinet dan saya juga tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan atau pun dalam parti.”
Bagaimanapun, tentunya saya merasa puas kerana dengan hanya sebagai wartawan biasa, telah dapat menarik perhatian ramai dan berjuta rakyat Indonesia terutama sekali; telah dapat mengenalkan kepada rakyat Indonesia siapakah sebenarnya Anwar Ibrahim.
Maka itu, kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran Dr. Mohd Puad Zakashi dan juga Datuk Zahid Hamidi memisahkan saya dari pemerintah Malaysia, adalah sudah sewajarnya dan telah memperkuatkan lagi penilaian saya sendiri terhadap tulisan saya. Kenyataan mereka sama sekali tidak menyinggung perasaan saya, malah menyenangkan hati saya.
Saya menganggap kenyataan Menteri dan Timbalan Menteri Malaysia itu merupakan kenyataan yang bijak dan berdiplomasi dan sewajarnya untuk menenangkan emosi rakyat Indonesia dan mengecewakan Anwar Ibrahim yang mengharapkannya akan memburukkan hubungan antara kerajaan Malaysia dan Indonesia.
Sayugia juga disebutkan, bahawa Puad Zarkashi membuat kenyataan itu setelah dijemput oleh TvOne Indonesia, berikutan dengan kemunculan Anwar Ibrahim di stesen TV itu pada 12 Disember 2012 untuk memburuk-burukan kerajaan dan Negara Malaysia.
Kepada Dr. Mohd Puad, saya ingin menyatakan bahawa apapun penjelasan saudara, tetapi saya tahu; kita mempunyai pandangan yang sama, malah Yang Berhormat telah mendahului saya mengkritik kunjungan Habibie ke Unisel itu.
Membaca teguran YB, saya merasa bangga kerana YB prihatin terhadap apa yang menyinggung perasaan rakyat Malaysia dan terasa seperti meluahkan perasaan yang terpendam dalam jiwa saya, malah kenyataan itulah yang telah mendorongkan saya untuk menulis “Perwatakan sama, tugas sama dan nasib pun sama.”
Bagaimanapun saya faham, politik dan diplomasi tidak pernah lurus, sebaliknya; penuh dengan hipokrasi dan strategi, malah bapak Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono pun, sebelum berlepas ke Malaysia untuk bertemu dengan Datuk Seri Najib dalam masa krisis kontroversi tulisan saya itu telah menyatakan kepada wartawan-wartawan Indonesia, bahawa “tidak cukup bagi Zainuddin Maidin sekadarkan untuk meminta maaf sahaja,” tetapi tidak ada kenyataan mengenainya kepada wartawan selepas pertemuan dengan Najib.
Saya sendiri terfikir, apalah perlunya tulisan saya itu dibincangkan antara pemimpin tertinggi kedua negara. Tulisan itu hanya menjadi besar dan panas kerana dibangkitkan dan dihasutkan oleh seorang pemimpin Malaysia yang sial nasibnya yang terasa pedih sekali apabila dibandingkan dengan Pak Habibie yang sempat juga menjadi Presiden Indonesia walaupun singkat masanya, tetapi Anwar Ibrahim tersungkur ketika mengetuk pintu kuasa.
Tulisan saya yang menyentuh nasib sialnyalah yang lebih menyinggung perasaannya yang ditakuti membuka mata rakyat Indonesia dan dengan itu cuba ditutupnya dengan membangkitkan soal hubungan Indonesia Malaysia.
Tahniah kepada Wisma Putra! Tahniah kepada Dr. Puad dan Zahid Hamid kerana tidak termasuk dalam perangkap. — zamkata.blogspot.com
No comments:
Post a Comment