KL CHRONICLE: Presiden, timbalan dicabar satu lawan satu dalam pemilihan PAS

Wednesday, May 20, 2015

Presiden, timbalan dicabar satu lawan satu dalam pemilihan PAS

Kedua-dua Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya Mohamad Sabu dicabar pada pemilihan PAS bulan depan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 20 Mei, 2015.

Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang sah akan dicabar bekas naib presiden Ahmad Awang pada pemilihan PAS pada Jun depan.

Sementara Timbalan Presiden, Mohamad Sabu pula berdepan saingan daripada Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.



Perkara itu dimuktamadkan menerusi satu salinan pencalonan yang diedarkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi, pada sidang media hari ini.

 Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah pula sah bertanding jawatan naib presiden walaupun sebelum ini disebut-sebut berkemungkinan mencabar Mohamad.
Bagi kerusi naib presiden pula, 4 personaliti sah akan mencabar 2 penyandang jawatan tersebut iaitu Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub.

Empat personaliti yang akan mencabar penyandang untuk jawatan itu adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang Idris Ahmad; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chempaka, Datuk Iskandar Abdul Samad; Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar dan Amar.

Bagi jawatan ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat sah akan dicabar Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz sementara penyandang Timbalan Ketua Pemuda Muhammad Khalil Abdul Hadi dicabar oleh Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob.

Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff akan dicabar Nuridah Salleh untuk mempertahankan jawatannya sementara Timbalan Ketua Muslimat Dr Mariah Mahmud akan dicabar Dr Rosni Adam.

Lima puluh empat nama disahkan akan bertanding merebut 18 kerusi jawatankuasa PAS Pusat.

Pencalonan untuk jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat akan hanya dimuktamadkan pada minggu hadapan selepas nama-nama yang dicalon memberi persetujuan untuk bertanding, kata Asmuni.

Sementara itu, Asmuni berkata beliau sedia menerima kritikan atau usul untuk dilucutkan jawatan pengerusi pemilihan jika ada pihak yang membawa perkara tersebut kepada perhatian parti.

Asmuni pada pemilihan 2013 bertindak meletak jawatan sebagai pengerusi selepas terdapat kesilapan dalam proses pemilihan pada ketika itu. – 20 Mei, 2015

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget