Baru-baru ini negara digemparkan apabila Dato Puad Zarkashi, seorang Ahli MT UMNO yang berpengaruh dan Ketua Pengarah JASA mengkritik Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran dan Timbalan Menteri Pelajaran di facebook kerana tidak turun padang sehingga mengakibatkan banyak isu sekolah-sekolah di pedalaman terutamanya Sabah dan Sarawak tidak selesai.
Kata Dato Puad Zarkashi, “MASIH BELUM TERBELA". Ini berlaku apabila ada rakyat Malaysia yang prihatin email kepada saya gambar sebuah sekolah di Keningau yang dilihat terlalu daif. Puncanya utama perkara ini berlaku adalah dipercayai kerana pegawai yang bertanggungjawab tidak turun ke bawah. Persoalannya, kenapa mereka tidak turun ke bawah? Adakah kerana Menteri dan Timbalan Menteri juga malas turun ke bawah.”
“Sepatutnya bila TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin jadi Menteri Pelajaran hampir dua penggal (10 tahun), maka cepatlah terbela sekolah sekolah daif terutamanya di pedalaman Sabah dan Sarawak. Turunlah ke bawah!,” ujar lagi.
Saya mahu bersikap profesional dan mengetepikan soal politik dalam membicangkan perkara ini. Biarlah politikus dengan urusan mereka. Saya hanya mahu membincangkan soal sekolah pedalaman yang terbiar sehingga menjadi begitu dhaif dan tidak kondusif untuk pembelajaran anak-anak.
Saya telah membuat sedikit carian google mengenai Jawatankuasa Audit Fizikal Sekolah dan meneliti Facebook Timbalan Perdana Menteri, Timbalan Menteri Pendidikan I dan Timbalan Menteri Pendidikan II. Kesimpulan saya, hanya terdapat pengumuman dan jawapan Parlimen mengenai Jawatankuasa Audit Fizikal Sekolah, tetapi berdasarkan gambar di facebook dan carian google, sukar dibuktikan mereka sering turun padang ke kawasan pedalaman.
Bagi mereka yang kurang arif tentang Jawatankuasa Audit Fizikal Sekolah, jawatankuasa ini ditubuhkan untuk menilai keadaan fizikal sekolah-sekolah didalam negara ini dan mengemukakan laporan kepada Kementerian Pendidikan. Laporan yang disediakan oleh jawatankuasa ini akan diguna oleh Kementerian untuk memperbaiki infrastruktur sekolah-sekolah yang telah dikenalpasti.
Untuk makluman, berdasarkan carian google, Pengerusi Jawatankuasa Audit Fizikal Sekolah sekarang adalah P. Kamalanathan. Gambar di facebook beliau menunjukkan beliau lebih sering melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). Berdasarkan carian di Google dan facebook ini, besar kemungkinan kritikan Puad Zarkashi bahawa Menteri dan Timbalan Menteri Pendidikan jarang turun padang ada kebenarannya.
Kita semua sedia maklum bahawa Kementerian Pendidikan adalah sebuah kementerian yang amat besar. Kementerian ini mempunyai:
- 10,159 buah sekolah (5,600 luar bandar dan 2,500 di kawasan pedalaman).
- 69 buah Sekolah Berasrama Penuh (SBP)
- 181 buah Sekolah Agama (tidak termasuk Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Agama Negeri)
- 69 buah Kolej Komuniti
- 15 buah Kolej Matrikulasi
- 27 buah Institut Pendidikan Guru (IPG)
- 20 buah Politeknik,
- 20 buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Akhir sekali, bilangan guru, pensyarah dan kakitangan KPM saja sudah mencapai 450,000 orang.
Jika dilihat, Kementerian Pendidikan ini terlalu besar. Bagi saya memandangkan Kementerian ini terlalu besar dan tanggungjawab yang diamanahkan juga besar, elok Kementerian Pendidikan dipisahkan dua kepada Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi seperti dahulu supaya lebih fokus. Ramai yang pelik kenapa ia digabungkan. Sepatutnya Perdana Menteri kekal dengan pemisahan kedua-dua kementerian ini.
Dahulu Kementerian Pelajaran mempunyai seorang Menteri dan dua orang Timbalan Menteri. Manakala Kementerian Pengajian Tinggi mempunyai seorang Menteri dan seorang Timbalan Menteri. Sekarang, Kementerian Pendidikan mempunyai 2 Menteri, seorang Menteri yang juga seorang Timbalan Perdana Menteri, seorang lagi Menteri yang hanya memberi tumpuan kepada pengajian tinggi. Sekarang terdapat hanya dua Timbalan Menteri yang terpaksa melihat kedua-dua aspek pelajaran dan pengajian tinggi. Bukankah sukar bagi mereka ini mengendalikan sebuah kementerian yang besar dimana kementerian ini bertanggungjawab mendidik anak bangsa?
Dulu, Menteri Pelajaran adalah Menteri dengan satu portfolio. Jadi lebih mudah untuk beliau memberi tumpuan kepada kementerian dan hal-hal yang berkaitan. Hari ini, Menteri Pendidikan adalah juga seorang Timbalan Perdana Menteri yang mempunyai banyak tugas-tugas lain. Bagi saya, Kementerian ini memerlukan seorang menteri yang boleh memberi 100% tumpuan kepada kementerian ini kerana bukan sahaja banyak institusi di dalamnya, tetapi juga kerana kesan yang besar terhadap guru-guru dan pembangunan anak bangsa. Kementerian ini memerlukan sentuhan seroang menteri yang berdedikasi, proaktif dan mempunyai minat dalam pendidikan.
Dulu, Timbalan Menteri Pelajaran terdiri daripada seorang Melayu dan seorang bukan Melayu. Hari ini, kedua-duanya adalah bukan Melayu. Saya tidak bersikap rasis, tapi saya berpandangan ada kemungkinan jiwa dan semangat Timbalan Menteri Pelajaran Melayu lebih hampir dengan anak-anak di pedalaman, berbanding Timbalan Menteri Bukan Melayu yang lebih hampir jiwa mereka dengan anak-anak di SKJC dan SJKT. Disebabkan itu tidak hairanlah jika Allahyarham Datuk Razali Ismail dan Datuk Dr Puad sangat kerap dilihat turun ke pedalaman berbanding dua Timbalan Menteri yang ada sekarang.
Tidak mungkin Timbalan Perdana Menteri, malah Perdana Menteri sekalipun dapat memberikan tumpuan seperti seorang menteri dengan satu protfolio seperti dulu. Lebih-lebih lagi jika sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau juga perlu mempengerusi Jawatankuasa Kabinet, seperti Jawatankuasa Kabinet mengenai Pendatang Asing, Jawatankuasa Pengurusan Krisis dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam seperti banjir. Malah, akibat terlalu sibuk dalam pelbagai jawatankuasa, Timbalan Perdana Menteri telah dikritik oleh penduduk di Kelantan akibat mengambil masa yang terlalu lama untuk respon ketika bencana banjir yang berlaku pada tahun lepas.
Maka tidak hairan jika bukan sekolah pedalaman sahaja tidak terbela, malah sekolah di bandar juga, jika benar-benar disiasat juga mempunyai pelbagai masalah infrastruktur dan bukan infrastruktur, terutama sekolah-sekolah mubaligh dan sekolah kebangsaan berstatus bantuan modal yang lain.
Disebabkan kementerian pendidikan ini amat penting dan berkait rapat dengan masa depan dan pembelaaan anak bangsa, terutamanya anak-anak di pedalaman, saya fikir sudah tiba masanya untuk Perdana Menteri memisahkan kembali kedua-dua kementerian ini dan melantik Menteri yang benar-benar fokus untuk portfolio ini agar kementerian tidak terabai lagi seperti sekarang.
No comments:
Post a Comment