KL CHRONICLE: Kini @dapmalaysia soal Kesetiaan PAS di Permatang Pauh

Wednesday, April 1, 2015

Kini @dapmalaysia soal Kesetiaan PAS di Permatang Pauh

Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh melahirkan kekhuatiran sejauh manakah konsensus antara kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat tercapai dalam menghadapi pilihan raya kecil Permatang Pauh. – Gambar fail The Malaysian Insider, 1 April, 2015.
Ram karpal merupakan anak kepada mendiang Karpal Singh
Susulan secara rasmi Datuk Seri Anwar Ibrahim dilucutkan kelayakan sebagai seorang ahli Parlimen hari ini, timbul persoalan sama ada PAS mampu bekerjasama dengan rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) sepanjang tempoh pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh itu nanti.

Persoalan itu dibangkitkan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh yang melahirkan kekhuatiran konsensus dapat dicapai antara kepimpinan tertinggi PR berhubung perkara itu.



Lebih-lebih lagi apabila DAP secara terbuka memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, susulan pertelagahan berhubung isu hudud, namun kekal komited untuk bekerjasama dengan parti Islam itu.

"Masalah membabitkan Hadi ini akan beri kesan dalam pengurusan PRK," kata Ramkarpal kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

"Di peringkat akar umbi, ahli DAP dan PAS tiada masalah, kami boleh bekerjasama, tetapi masalah kami hanyalah Hadi," kata anak kepada mantan Pengerusi Nasional DAP Karpal Singh itu.

Peguam Kanan Persekutuan, Amarjeet Singh hari ini mengumumkan lembaga pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar melalui keluarganya pada 24 Februari lalu.

Isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta dua anak mereka menyerahkan petisyen itu kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, yang menerima surat memaklumkan perkara itu berkata, selaras dengan keputusan lembaga pengampunan itu, Anwar hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen pada 16 Mac, iaitu sebaik sahaja petisyen bagi pengampunan diputuskan.

Ramkarpal berkata, bagi pihak DAP, mereka tiada sebarang masalah bekerjasama dengan ahli PAS sepanjang tempoh kempen PRK itu nanti.

"Kita tidak ada masalah bekerjasama dengan semua parti komponen. Kita tiada masalah dengan anggota PAS di Pulau Pinang, hanya masalah pucuk pimpinan," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar memberi jaminan parti Islam itu akan bekerjasama dengan rakan dalam PR untuk berkempen di kerusi yang menjadi milik tradisi PKR itu.

"Kerusi itu akan diputuskan nanti oleh PKR. Kita tidak hantar calon, tetapi membantu semampu mungkin. Kerusi itu akan dipertahankan," katanya.

Menyentuh mengenai isu jawatan ketua pembangkang Dewan Rakyat yang selama ini disandang Anwar, ahli Parlimen Pokok Sena itu bagaimanapun berkata, soal itu belum dibangkitkan lagi.

"Isu ketua pembangkang belum berbangkit, perlu bawa ke meja rundingan bersama PR," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul berkata, pihaknya menerima keputusan yang dikeluarkan Pandikar dan akan menyusun strategi yang diperlukan selaras dengan perkembangan itu.

"Semua ketua whip akan duduk berbincang berkenaan hal ini," katanya ketika ditemui pemberita.

"Speaker memberikan keputusan, kami akur dengan undang-undang."

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget