KL CHRONICLE: ZULKEFLI HAMZAH : #UMNO #Selangor, lakukan sekarang!

Sunday, December 7, 2014

ZULKEFLI HAMZAH : #UMNO #Selangor, lakukan sekarang!


Selepas konvensyen pada 1 November lalu, se­ma­ngat dan daya juang UMNO Selangor sepatutnya meng­ge­le­gak semula. Sebulan berlalu dan mengikut cerita di sebalik tabir, UMNO negeri ini sebaliknya menggelegak dalam hal lain.




Mesyuarat pengurusan yang diadakan beberapa ha­ri sebelum Perhimpunan Agung UMNO dikhabarkan ber­lang­sung tegang sehingga ke tahap hilang hormat antara se­sa­ma ahli mesyuarat.

Mereka bukan sekadar berbeza pandangan tetapi secara terang memperlihatkan diri tidak lagi boleh bekerja dalam satu pasukan. Ada nada mengugut dan mengancam. Loceng amaran bahkan dianggap kematian oleh sesetengah pihak selepas kekalahan teruk dalam dua pilihan raya umum lalu seperti tidak memberi apa-apa kesan.

Sebab itu, Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar perlu melakukan langkah drastik. Beliau yang diberi mandat baharu dalam pertemuan dengan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 18 November lalu barangkali sudah memikirkan hal ini.

Realitinya bukanlah mudah untuk melakukan rombakan seperti yang pernah diusulkan oleh tokoh-tokoh UMNO. Tetapi dalam keadaan sekarang, tiga tahun menjelang pilihan raya umum tiada jalan terbaik selain terlebih dahulu menstruktur semula pengurusan parti.

Noh memerlukan pasukan mantap dan berdisiplin yang boleh bekerja bersama dan menghormati beliau sebagai nakhoda. Parti ini pun sudah cukup matang dalam menghadapi situasi bergolak seperti ini. Cuma bezanya kali ini UMNO berada di luar gelanggang kekuasaan.

UMNO Selangor tidak lagi boleh berasa ragu-ragu, bimbang akan berlaku tindak balas dan sabotaj terutama dalam kalangan warlords yang sekarang terlihat cenderung mengikut haluan masing-masing.

UMNO Selangor tidaklah ketandusan bakat-bakat baharu yang boleh mengubah cara permainan. Saki-baki gabungan kekuatan yang ada pada Noh, ketua-ketua bahagian dan wakil rakyat sebenarnya pada bila-bila masa boleh mengatasi ketempangan yang ada.

Lakukan sekarang atau mati, dan biarkan sahaja pakatan pembangkang berla­ri tanpa saingan. Dalam kedu­dukan dan realiti politik se­ka­rang, Pengerusi Badan Per­hubungan UMNO Selangor yang baharu diberi mandat itu perlu diberi sokongan.

Sebaik-baiknya yang ti­dak mahu bekerja dengan Noh perlu mengundurkan di­ri. Ketua-ketua bahagian pu­la harus berlapang dada untuk memberi peluang kepada pengurusan UMNO yang disuntik semangat ba­haru melakukan tanggung­jawabnya.

Prinsip dan etika

Sebagaimana ketua ba­ha­gian yang perlu diper­tang­gung­jawabkan jika nanti ca­lon pilihan raya ditolak oleh pengundi di kawasan masing-masing, pe­nge­rusi badan per­hubungan negeri juga mesti mengambil sikap yang sama.

Jangan hanya konsisten mahu memegang jawatan te­ta­pi enggan pula mematuhi prin­sip dan etika kepimpinan. Cukup­lah, tidak perlu dite­rus­kan kehidupan politik yang semata-mata bekerja de­­mi ke­kuasaan peribadi dan kelompok. Kegelojohan politik seperti ini yang kini meresap ke parti-parti pakatan pembangkang telah ditolak rakyat.

UMNO Selangor masih mem­­punyai harapan cerah de­ngan catatan mereka mesti bekerja ekstra keras. Ahli Dewan Undangan Negeri UMNO pula perlu dilihat lebih bijak dan berketrampilan mem­bangkitkan isu-isu kepentingan rakyat termasuk di Dewan Sidang DUN.

Begitu banyak kelemahan kerajaan negeri yang terbentuk hasil konflik berpanjangan Kera­jaan PKR Selangor ini. Benarlah kata orang, sesuatu yang dimulakan dengan seng­keta, nantinya akan berakhir jua dengan sengketa.

Sampai sekarang pun per­seng­ketaan dalam pakatan pembangkang belum dapat dileraikan. Dendam masih membara.

Formula politik menteri besar kontroversi, Azmin Ali yang mesra BN dan gemar ‘menerjah’ ke lapangan termasuk ke longkang dan lori sampah masih gagal membaiki imej­nya. Masalahnya dalam kalangan ahli partinya sendiri Az­min dianggap perosak. Ada yang mencebik apa dilakukan Azmin itu terlalu dibuat-buat, bukan dirinya yang sebenar.

Azmin juga terus menerima asakan dan tuntutan dari­pa­da DAP yang sebelum ini tidak menyokong beliau – dari­pada kedudukan dalam kerajaan hingga pihak berkuasa tem­patan – yang membuatkan orang Melayu dalam PKR, Pas dan UMNO terjegil mata.

Strategi yang diperlihatkan beliau kini ialah musuh po­litiknya bukan UMNO tetapi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Satu persatu ‘buruk’ Abdul Khalid dibongkar dan Azmin hanya mengambil kedudukan melibas bola tanggung.

Kegagalan Azmin mengekang kuasa Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dengan kata lain tidak lagi diterima di Se­langor selepas dilucutkan darjah kebesaran istana, ju­ga memberi mesej salah kepada imejnya yang mahu dipot­ret­kan sebagai Menteri Besar prorakyat.

Keadaan begini sepatutnya membuatkan UMNO Se­langor lebih ghairah untuk bangkit. Noh dan pasukannya tidak hanya boleh terus-terusan mengharapkan kekurangan orang tetapi memulakan langkah untuk meyakinkan rakyat yang UMNO dan BN lebih layak memerintah Selangor.

Langkah itu mesti dimulakan sekarang. Rasanya su­dah begitu banyak petua, resepi dan formula untuk me­ngem­balikan kewibawaan UMNO dan BN. Tinggal lagi lakukan sa­haja. Tanggungjawab itu kini di bahu Noh.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget