KL CHRONICLE: Perwakilan Umno harus berani bersuara, jangan jadi ‘kaki bodek’ #PAU2015

Tuesday, November 18, 2014

Perwakilan Umno harus berani bersuara, jangan jadi ‘kaki bodek’ #PAU2015



Perwakilan yang bakal mengambil bahagian dalam perbahasan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2014 yang bermula Selasa depan perlu berani bersuara dan menegur sebarang kepincangan dalam parti.

Mereka jangan sekadar memberi pujian melambung kepada pemimpin, kata beberapa penganalisis politik.



Pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib berkata teguran membina itu penting untuk memastikan Umno yang merupakan parti keramat orang Melayu terus relevan, mantap dan benar-benar  mendasari keperluan masyarakat.

Katanya, jurucakap perlu sedar  mereka hadir ke perhimpunan tersebut untuk menyampaikan suara ahli parti di peringkat akar umbi amnya serta rakyat di seluruh negara khasnya dan bukan menjadi kaki "bodek".

"Berucaplah mengikut keadaan sebenar. Kadang kala ada jurucakap yang hanya puji pentadbiran tapi tak berani tegur kepincangan yang ada dan ini amat merugikan masa.

"Perlu diingat  perhimpunan (Umno) ini amat penting sebagai persediaan parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan jangan jadikan ia pentas untuk raih populariti," katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Senada dengan Md Shukri, Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Prof Madya Dr Ismail Sualman berkata perwakilan tidak perlu mengucapkan sesuatu yang 'indah khabar dari rupa' demi menjaga hati pemimpin.

"Jangan khabarkan semuanya elok dan baik sahaja sedangkan kalau ada kenyataan yang tak baik disimpan 'bawah karpet', bimbang nanti bila pecah tembelang ia akan mencemarkan imej dan nama parti.

"Sudah sampai masanya ahli Umno berani menegur pemimpin dan pemimpin itu walau macam mana pahit teguran itu mereka harus telan," katanya.

Ismail menarik perhatian perhimpunan kali ini harus menjadi medan terbaik untuk ahli Umno bermuhasabah, menginsafi diri serta mengukuhkan perpaduan yang sedikit keruh selepas pemilihan parti tahun lalu.

"Saya dapati masih ramai yang ada rasa dendam dan dengki selepas pemilihan tahun lalu dan masalah ini perlu ditangani segera kerana jika tidak sampai bila-bila perubahan dalam parti tidak mampu dilaksanakan dengan berkesan," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Azmi Hassan berkata selain berani menegur pemimpin, jurucakap yang dipilih juga harus meluaskan skop perbahasan dengan membangkitkan isu-isu nasional seperti kenaikan kos sara hidup.

Katanya, tindakan itu penting untuk membuktikan kepada rakyat  Umno bukan sekadar parti yang memperjuangkan nasib kaum Melayu, sebaliknya mampu menjadi 'juara' semua lapisan kaum, bangsa dan agama.

"Buktikan kepada orang di luar sana  Umno boleh (jadi) parti yang hebat," katanya.

Perhimpunan Agung Umno 2014 akan berlangsung dari 25 hingga 29 November ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

1 comment:

Jane Duncan said...

Beranikah? rata-rata semua mahu play safe,handal-handal kaki bodek, tak mampu berfikir, pelakun, tak mampu perform. Kalau bising-bisiing kekdudukan tergugat!!!! Pemimpin UMNO hanya jaga periuk sendiri saja!!!Ramai diantara mereka bukan pembela, tapi pembelot!!! Kalau UMNO pembelot tak sanggup menukar atau di tukar nescaya UMNO akan ditukarkan!

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget