Pemuda Umno Wilayah Persekutuan hari ini menggesa Pejabat Peguam Negara dan pihak polis untuk segera menyiasat dan mendakwa Kelvin Yip.
Yip, seorang pemuda Cina dilaporkan menghina agama Islam, gara-gara berang bacaan ayat suci melalui pembesar suara dialunkan seawal jam 6.45 pagi ketika Hari Raya Aidilfitri, Isnin lalu.
Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata meskipun sudah ada laporan polis dibuat dan secara terang-terangan tulisan Yip itu menghina agama Islam, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan.
"Kadang-kadang kita pun keliru bagaimana pihak polis dan Pejabat Peguam Negara memantau isu-isu yang berlaku dalam negara.
"Ada di antara isu diambil tindakan amat cepat dan pantas, ada yang tidak diambil peduli walaupun ianya jelas melibatkan penghinaan terhadap agama ataupun kaum," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Razlan mendakwa pihak berkuasa seolah-olah mengamalkan pendakwaan terpilih berdasarkan beberapa kes sebelum ini seperti Siti Farah Ashykin Kamaruddin, 30, yang lebih dikenali sebagai Kiki.
Siti Farah didakwa di mahkamah atas perbuatannya memarahi warga emas meskipun sudah meminta maaf.
"Tanpa ada laporan polis, beliau (Kiki) disiasat dan dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan dikehendaki melakukan kerja-kerja kemasyarakatan. Siasatan, pendakwaan dan hukuman yang dijatuhkan sangat pantas.
"Sama juga kes yang melibatkan Ustaz Shahul yang dikatakan membuat kenyataan berunsur perkauman dan menghina masyarakat India. Begitu cepat beliau dipanggil pihak berkuasa untuk siasatan," katanya.
Razlan berkata, berbanding dengan dua kes tersebut, insiden membabitkan Yip sudah masuk hari ketujuh tetapi tiada pendakwaan dilakukan.
"Rata-rata rakyat peringkat bawahan mengadu pada saya dan rakan-rakan lain, kenapa pihak berkuasa begitu fobia berkenaan isu melibatkan orang Melayu terhadap orang Cina tetapi tidak ada langsung tergugat sekiranya orang Cina melakukan penghinaan kepada Islam mahupun orang Melayu," katanya.
Beliau berkata, situasi lambatnya tindakan pihak berkuasa kerana kaum Cina lebih peka untuk mengambil tindakan undang-undang berbanding kaum Melayu yang mengambil mudah perkara demikian.
"Pihak berkuasa seharusnya menjaga kepentingan undang-undang dan yang paling penting, menjaga keselamatan semua pihak tidak kira kaum, agama mahupun pangkat," katanya.
Selain desakan mempercepatkan siasatan dan dakwaan ke atas Yip, Pemuda Umno Wilayah juga mengesa Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memberi penjelasan betapa banyaknya penangguhan kes melibatkan sensitiviti kaum dan agama.
"Sekiranya Peguam Negara gagal melaksanakan perkara ini, sudah masanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mencari pengganti yang boleh menjaga kepentingan rakyat dan keharmonian negara dengan lebih baik," katanya.
Yip menulis status di laman Facebooknya, mendakwa bacaan ayat suci mengganggu dirinya.
"Eh hello bangsat, aku tahu Hari Raya tapi tolong hindarkan doa anda kepada Tuhan dari pembesar suara pada jam 6.45 waktu pagi, ia sangat menjengkelkan," tulisnya.
Bagaimanapun tiga jam kemudian, Yip meminta maaf setelah menerima kecaman hebat daripada pengguna media sosial.
"Bagi siapa yang tersinggung dengan status yang sudah saya padam pada Hari Raya itu, terimalah permohonan maaf saya, ia merupakan kesilapan dan saya mengaku salah saya," kata Yip. – 2 Ogos, 2014.
No comments:
Post a Comment