Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Segala puji bagi Allah Subhanahu Wata’ala, Tuhan semesta alam, Selawat dan Salam ke atas junjungan besar Nabi kita Muhamad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurniaNya, Beta dapat hadir ke majlis perasmian masjid dan berjumpa serta berbuka puasa dan menunaikan solat tarawikh dengan rakyat Beta di daerah ini.
Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana negara Malaysia dan negeri Selangor yang kita kasihi ini adalah dalam keadaan aman dan tidak ada kekacauan dan rusuhan, yang mana umat Islam dapat menjalankan ibadah puasa pada bulan Ramadhan yang mulia ini dengan aman dan tenteram.
Allah Subhanahu Wata’ala telah menyuruh umat Islam menjalankan kewajipan berpuasa di bulan Ramadhan yang mulia ini dan beramal serta menjalankan kerja-kerja yang mulia serta menghindari perkara-perkara yang dilarang oleh Allah Subhanahu Wata’ala dan agama Islam
Beta juga bersyukur pada hari ini kita dapat bersama-sama menyambut Nuzul Quran yang mana ini adalah satu peristiwa agung yang perlu diingati iaitu turunnya Al-Quran dari Loh Mahfuz ke Baitul Izah di Langit Dunia dan juga turunnya ayat pertama daripada surah Al-Alaq yang diturunkan dari Baitul Izah kepada Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasallam, melalui Malaikat Jibril Alaihis Salam dan ianya mengambil masa selama dua puluh tiga (23) tahun untuk menyempurnakan Al-Quran yang menjadi panduan kepada umat Islam untuk menjalankan kehidupan didunia ini dan beribadah kepada Allah Subhanahu Wata’ala.
Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, Beta mengingatkan supaya orang Melayu umat Islam janganlah berbalah antara satu sama lain sebaliknya orang Melayu umat Islam, haruslah bersatu padu dan bermuafakat. Orang Melayu umat Islam jangan fitnah-menfitnah, mencaci dan menuduh antara satu sama lain serta membuat cerita-cerita yang tidak benar hingga menimbulkan perasaan syak wasangka dan seterusnya akan mencetuskan permusuhan antara sesama orang Melayu umat Islam dan akan mengakibatkan kerugian kepada generasi kita di masa depan.
Perpecahan orang Melayu akan merugikan orang Melayu sendiri, baik hari ini ataupun untuk generasi akan datang. Orang Melayu mestilah bersatu padu dan mengukuhkan bangsa Melayu serta agama Islam agar tidak diperlekehkan. Beta percaya seandainya orang Melayu tidak mahu bersatu padu, nescaya di satu hari nanti tragedi akan menimpa orang Melayu yang mana orang Melayu akan menjadi satu bangsa yang kian pupus dan tenggelam ditelan zaman serta akhirnya akan hanya tinggal nama semata-mata. Adakah kita mahu tragedi sebegini berlaku kepada orang Melayu yang beragama Islam di tanah air kita sendiri? Fikirkanlah siapa yang akan untung dan siapa yang akan rugi.
Selain itu, Beta juga amat dukacita dengan golongan ekstremis agama, liberalisasi agama dan juga pluralisme agama yang sedang berleluasa di negara kita. Ekstremis agama, liberalisasi agama dan pluralisme agama bukan sahaja akan merosakkan aqidah umat Islam, malah akan menghancurkan umat Islam di suatu masa nanti. Ekstremis agama yang Beta maksudkan adalah golongan ekstremis yang sering mencetuskan keganasan tanpa batasan, manakala liberalisasi agama adalah golongan yang mengamalkan budaya seperti LGBT yang secara terang-terangan melanggar aqidah umat Islam. Pluralisme agama pula adalah mereka yang berpendapat semua agama termasuk agama Islam adalah sama dan tidak ada satu agama pun boleh diberikan kelebihan berbanding agama-agama lain. Walau bagaimanapun kita perlu akur bahawa agama Islam mempunyai kedudukan yang lebih tinggi kerana ia adalah Agama Persekutuan sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu, semua golongan ini perlu dibendung agar aqidah umat Islam terpelihara dan dilindungi. Beta mahu rakyat Negeri Selangor mengamalkan agama Islam yang “moderate” mengikut fahaman Ahli Sunah Wal Jamaah.
Dalam pada itu, Beta merasa dukacita kerana ada di kalangan ahli politik dan golongan cerdik pandai yang beragama Islam sendiri, tidak melindungi kesucian agama Islam daripada dipermainkan oleh pihak-pihak tertentu. Sebaliknya mereka lebih mengutamakan agenda politik dan peribadi mereka dengan mengelirukan masyarakat. Ada di kalangan mereka ini telah dengan berani mempersoalkan kuasa institusi agama Islam seperti MAIS yang selama ini berperanan memastikan kesucian agama Islam dan urus tadbir hal ehwal agama Islam di Negeri Selangor ini.
Beta merujuk kepada petikan laporan akhbar-akhbar utama tanahair pada 18 Jun 2014, yang mana Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad telah mempersoalkan kuasa eksekutif MAIS dan mencadangkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menghapuskan kuasa eksekutif MAIS. Beta amat kesal dan kecewa dengan kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu.
Khalid Samad yang bukannya anak jati Selangor namun telah berpeluang menjadi Ahli Parlimen di Selangor sepatutnya mengambil segala langkah untuk melengkapkan diri untuk memahami sejarah Negeri Selangor dan mendalami undang-undang yang terpakai di Negeri Selangor terutama Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor.
Kenyataan Khalid Samad itu ternyata menunjukkan beliau jahil tentang peranan MAIS yang diwujudkan oleh Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor sebagai penasihat dan membantu Beta dalam menjalankan kuasa Beta sebagai Ketua Agama Islam di Negeri Selangor.
Tindakan Khalid Samad mempersoalkan kuasa MAIS seolah-olah menunjukkan sikap biadap dan penentangan kepada kuasa Beta sebagai Ketua Agama Islam yang mendapat nasihat dari pihak MAIS berkenaan agama Islam seperti yang sedia termaktub di bawah undang-undang. Ini bukan kali pertama Khalid Samad telah mempersoalkan tentang isu berkaitan tentang kuasa eksekutif MAIS dan juga Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor yang dianggapnya sudah lapuk.
Oleh itu Beta menyeru kepada Khalid Samad agar di masa akan datang beliau berwaspada di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan jangan menunjukkan sikap biadap dan jahil beliau apabila membicarakan isu berkaitan dengan kuasa Beta dan peranan MAIS di dalam menasihati Beta mengenai agama Islam.
Beta ingin mengambil kesempatan di sini untuk menegaskan bahawa MAIS sentiasa menjamin hak dan kebebasan penganut agama lain di dalam mengamalkan agama mereka. MAIS sentiasa menghormati orang bukan Islam di dalam amalan agama mereka seperti yang telah diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Segala tindakan yang dilakukan oleh MAIS dan JAIS adalah bagi memelihara kesucian agama Islam tanpa menggangu penganut agama lain di dalam menganut agama mereka.
Beta sekali lagi menegaskan kepada semua pihak bahawa jangan jadikan agama Islam sebagai modal politik. Kesucian agama Islam perlu sentiasa dipelihara. Sebagai orang politik seharusnya mereka lebih bertanggungjawab di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan bagi memastikan kesucian agama Islam dan perpaduan umat Islam di Negara ini sentiasa terpelihara.
Di bulan yang mulia ini juga Beta berkenan supaya semua umat Islam di Negeri Selangor ini mensyukuri nikmat yang telah diberikan oleh Allah Subhanuhu Wata’ala.
Beta mengingatkan sekali lagi janganlah dijadikan masjid sebagai gelanggang untuk berpolitik dan juga tempat mengadakan demonstrasi yang negatif, baik di dalam atau di kawasan perkarangan masjid. Masjid dan surau adalah tempat Umat Islam dan Orang Melayu beribadat dan bertemu bagi mengeratkan silaturrahim antara sesama orang Melayu umat Islam.
Beta mengakhiri ucapan Beta ini dengan mengucapkan Selamat Berpuasa kepada seluruh umat Islam, semoga amal ibadah kita diterima dan diberkati Allah Subhanahu Wata’ala. Jadikanlah masjid sebagai tempat yang aman, selesa dan kondusif untuk setiap umat Islam melakukan ibadah dan mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wata’ala.
Maka dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, Beta merasmikan Masjid ini dengan nama Masjid Pekan Sepang.
Sekian,
No comments:
Post a Comment