KL CHRONICLE: [Breaking News] Sultan Selangor murka dengan @KhalidSamad pertikai kuasa eksekutif MAIS

Tuesday, July 15, 2014

[Breaking News] Sultan Selangor murka dengan @KhalidSamad pertikai kuasa eksekutif MAIS

 Tindakan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mempersoalkan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyebabkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka. – Gambar fail The Malaysian Insider, 15 Julai, 2014.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dengan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad kerana mempersoalkan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan mencadangkan kuasa eksekutif pihak berkuasa agama itu ditarik balik.

Baginda dalam titah ucapan semasa merasmikan Masjid Pekan Sepang, di Selangor hari ini berkata, meskipun bukan anak jati Selangor, Khalid yang diberi peluang menjadi wakil rakyat di negeri itu seharusnya mengambil peluang mendalami sejarah negeri Selangor dan undang-undang yang terpakai terutama Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor.



"Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mempersoalkan kuasa eksekutif Mais dan mencadangkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor menghapuskan kuasa eksekutif Mais," kata baginda dalam ucapannya.

"Beta amat kesal dan kecewa dengan kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu."
Baginda berkata, kenyataan Khalid itu ternyata menunjukkan beliau jahil tentang peranan Mais yang diwujudkan oleh Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor sebagai penasihat dan membantu baginda dalam menjalankan kuasa sebagai Ketua Agama Islam di negeri Selangor.

"Tindakan Khalid mempersoalkan kuasa Mais seolah-olah menunjukkan sikap biadap dan penentangan kepada kuasa beta sebagai ketua agama Islam yang mendapat nasihat daripada pihak Mais berkenaan agama Islam seperti yang sedia termaktub di bawah undang-undang. 

"Ini bukan kali pertama Khalid mempersoalkan tentang isu berkaitan kuasa eksekutif Mais dan juga Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor yang dianggapnya sudah lapuk," kata baginda.

Baginda turut memberi amaran kepada Khalid supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan pada masa hadapan.

"Oleh itu, beta menyeru kepada Khalid agar di masa akan datang beliau berwaspada di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan jangan menunjukkan sikap biadap dan jahil beliau apabila membicarakan isu berkaitan dengan kuasa beta dan peranan Mais di dalam menasihati beta mengenai agama Islam," kata baginda.

Sultan Selangor itu dalam titahnya turut menegaskan Mais akan sentiasa menjamin hak dan kebebasan penganut agama lain di dalam mengamalkan agama mereka.

Baginda turut menjelaskan, Mais juga sentiasa menghormati orang bukan Islam di dalam amalan agama mereka seperti diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Segala tindakan yang dilakukan oleh Mais dan Jais juga kata baginda adalah bagi memelihara kesucian agama Islam tanpa mengganggu penganut agama lain di dalam menganut agama mereka.

"Beta sekali lagi menegaskan kepada semua pihak bahawa jangan jadikan agama Islam sebagai modal politik.

"Kesucian agama Islam perlu sentiasa dipelihara," kata baginda dan menambah,"sebagai orang politik seharusnya mereka lebih bertanggungjawab di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan bagi memastikan kesucian agama Islam dan perpaduan umat Islam di negara ini sentiasa terpelihara."

Baginda juga turut bertitah agar masjid tidak dijadikan sebagai gelanggang untuk berpolitik dan juga tempat mengadakan demonstrasi yang negatif, sama ada di dalam atau di kawasan perkarangan masjid.

"Masjid dan surau adalah tempat umat Islam dan orang Melayu beribadat dan bertemu bagi mengeratkan silaturrahim antara sesama orang Melayu umat Islam," kata baginda.  – 15 Julai, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/sultan-selangor-murka-dengan-khalid-samad-pertikai-kuasa-eksekutif-mais#sthash.bMZcbwCf.dpuf

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget