Ketua Umum PKR kini buat U-Turn di Selangor |
Pakatan Rakyat tidak akan bertindak tergesa-gesa untuk mengantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor, kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata perbincangan untuk menyingkirkan Abdul Khalid dilakukan secara dalaman dan sedang berunding untuk mencari penyelesaian ke atas perkara itu.
"Ada persefahaman, tapi saya tak fikir kita perlu tergesa-gesa.
"Perbincangan ini dibuat secara tertutup, lebih baik kita tanganinya dengan teratur dan tertib," Anwar dipetik sebagai berkata oleh Malaysiakini.
Anwar berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis berbuka puasa yang diadakan di kediamannya di Segambut malam tadi.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dilaporkan enggan menjelaskan sama ada Abdul Khalid sudah pun memilih pengganti untuk jawatan berkenaan.
Biarpun memuji prestasi yang ditunjukkan Abdul Khalid, namun Anwar berpendapat warga Selangor menaruh harapan yang lebih tinggi kepada Pakatan Rakyat.
Anwar juga dilaporkan memberi gambaran bahawa Khalid sering mengabaikan rundingan dengan parti dan Pakatan Rakyat ketika membuat keputusan penting.
"Kadang-kadang kita perlu bina persefahaman," katanya.
Mengulas mengenai strategi untuk beliau bertanding di kerusi DUN Kajang dan dilantik sebagai menteri besar, Anwar berkata secara asasnya 'Langkah Kajang' adalah untuk meningkatkan prestasi.
"Harapan rakyat terlalu tinggi dan orang sudah tidak sabar, seperti komen dari NGO," katanya lagi.
Sementara itu Malaysian Insider melaporkan, Anwar turut mengulas pertemuan Abdul Khalid bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada satu majlis berbuka puasa pada Khamis.
Katanya, pertemuan itu perkara biasa dan Abdul Khalid sudah menjelaskan perkara berkenaan kepadanya dan Presiden PKR, Datuk Seti Wan Azizah Wan Ismail berhubung perkara berkenaan.
"Kami ada sesi bersama MB dan Azizah. Ia jemputan biasa oleh jawatankuasa masjid dan saya fikir ia bukan perjumpaan peribadi.
"Segalanya sudah diluahkan dan baik baginya menghadiri majlis itu untuk Selangor. Saya tidak fikir ia jadi isu.
"Kami bertemunya malam semalam dan beliau melawak tentang perkara itu," katanya.
Najib selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO semalam berkata pertemuannya bersama Khalid pada Khamis tidak membincangkan isu luar biasa.
Katanya, perjumpaan itu tidak lebih didasari atas rasa hormat dengan kapasiti kepimpinan masing-masing di peringkat negara dan negeri.
No comments:
Post a Comment