KL CHRONICLE: KENAPA ZAHARIN BERGADUH DENGAN PAPAGOMO?

Tuesday, June 24, 2014

KENAPA ZAHARIN BERGADUH DENGAN PAPAGOMO?

Sebut sahaja Zaharin Mohd Yasin, semua ahli Umno mengenali bekas Setiausaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak itu. Zaharin juga lebih dikenali sebagai Sang Kelembai, seperti nama blognya yang secara konsisten menjatuhkan Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) sewaktu Pak Lah menjadi Perdana Menteri.



Selepas Pak Lah jatuh, blog Sang Kelembai tidak aktif lagi. Sebelum ini Zaharin secara konsisten menghentam Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau berada dalam Umno sehingga beliau dipecat dari Umno pada tahun 1998. Oleh itu Zaharin juga ada saham dalam menjatuhkan Anwar Ibrahim.

Beliau memang rapat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Oleh itu apabila beliau menulis dalam Facebooknya mengatakan Tan Sri Muhyiddin Yasin akan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri, ramai yang percaya kerana Zaharin memang rapat dengan Najib. Apatah lagi dengan rekod beliau yang pernah menjatuhkan Anwar dan Pak Lah, maka orang percaya kali ini Muhyiddin akan jatuh juga.

Zaharin memang tidak menyenangi Muhyiddin yang dipanggilnya “paria”. Kini Muhyiddin dikatakan bercuti di Jakarta dan apabila bekas menteri, Zam menulis Muhyiddin memendam rasa, maka ada kebenarannya Muhyiddin lambat laun akan bersara juga dari politik.

Papagomo pula merupakan seorang blogger yang banyak menimbulkan isu skandal seks Anwar Ibrahim. Beliau didapati bersalah memfitnah Anwar dan diperintah membayar RM800,000 kepada Anwar tetapi Papagoma kata dia seorang nelayan dan hanya mampu membayar RM100 sebulan kepada Anwar.

Entah macam mana tiba-tiba Zaharin membelasah Papagomo apabila Papagomo menyerang Zaharin. Zaharin tidak setuju Datuk Seri Hishamuddin Hussein menjadi Timbalan Perdana Menteri menggantikan Muhyiddin. Sebagai blogger yang didakwa Zaharin dibayar upahnya oleh menantu Hishamuddin, maka menjadi tugas Papagomo menyerang Zaharin.

Tetapi Papagomo silap percaturan. Zaharin bukannya calang-calang orang. Walaupun dia pernah dipecat dari Umno kerana mengkritik anak Tun Dr Mahathir Mohamad, Marina sewaktu Mahathir menjadi Perdana Menteri, tetapi dia setia dengan Umno.

Oleh itu tindakan Papagomo menyerang Zaharin merupakan satu tindakan yang silap. Zaharin setiap hari membelasah Papagomo dalam Facebooknya yang dikatakan bekas polis yang didapati bersalah oleh mahkamah bagi kes rasuah.

Apabila Papagomo diserang, ia memberi tempias kepada Hishamuddin kerana Papagomo diupah oleh menantu Hishamuddin. Maka sedikit sebanyak pergaduhan di antara Zaharin dan Papagomo merugikan Umno kerana lebih banyak pekung Umno didedah oleh mereka berdua. Maka sudah sampai masanya bagi mereka berdamai.

SUMBER : http://www.malaysia-today.net/kenapa-zaharin-bergaduh-dengan-papagomo/

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget