Dewan Pemuda Pas Pusat (DPP), sekali lagi
mengulangi gesaan kepada Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim agar membatalkan
hasratnya untuk menjadi Menteri Besar Selangor sekiranya berjaya mengekalkan kemenangan
parti itu di Dun Kajang.
Menurut Setiausaha DPP, Mohd Nasaei Ismail
sekiranya Anwar menang sebagai Adun Kajang, dia masih boleh membantu kerajaan
negeri Selangor tanpa perlu meminta Abdul Khalid Ibrahim meletakkan jawatan.
"Kalaulah berlaku kemenangan kepada
Anwar di DUN Kajang, tak jadi menteri besar sekali pun dia cukup kuat untuk
memberi bantuan kepada kerajaan negeri Selangor.
"Jadi dia duduk dalam pentadbiran
kerajaan negeri Selangor sebagai wakil rakyat, itu pun sebenarnya boleh memberi
kredit yang besar kepada pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat”, katanya.
Anwar sebelum ini membayangkan wujud
kemungkinan untuk dirinya mengambil alih jawatan tersebut walaupun dia pernah
berulang kali mengatakan isu tersebut hanyalah merupakan spekulasi.
Ketika diwawancara oleh Australia’s
Newsline, ahli parlimen Permatang Pauh itu mengatakan dia sedang berunding
dengan Khalid dan berhasrat untuk menjadikan Selangor sebagai model sebelum
melangkah ke Putrajaya.
Seterusnya ketika ditemu bual oleh pihak
media baru-baru ini, Anwar sekali lagi membayangkan dia akan menerajui
kepimpinan negeri dan akan berbincang dengan pimpinan pakatan rakyat bagi
mendapatkan kerjasama.
“Kemungkinan itu ada. Kita kena bincang
ikut proses Pakatan” katanya.
Disebabkan spekulasi itu juga beberapa
orang pemimpin Pas tampil membuat kenyataan bagi membantah ‘pengambilalihan
kuasa’ itu antaranya kepimpinan sayap DPP yang menyifatkan PRK Kajang
sebagai membazir wang rakyat.
Anwar juga dikatakan sudah mendapat
sokongan DAP. Namun Pas dilihat masih bertegas mahukan Khalid untuk terus kekal
dalam jawatan itu. Paling menarik, sudah ada usaha yang dibuat untuk mempelawa
Khalid menyertai Pas sekiranya PKR masih berhasrat untuk memecatnya.
PKR mengosongkan kerusi DUN Kajang bagi
membolehkan Anwar bertanding di situ pada pilihan raya kecil 23 Mac,
langkah pertama ke arah beliau menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai
Menteri Besar Selangor.
No comments:
Post a Comment