KL CHRONICLE: Kenyataan Media Mohd Riziqin Hillan, Biro Penerangan Unit Media Baru Pemuda UMNO Bandar Tun Razak #KLChronicle

Wednesday, January 29, 2014

Kenyataan Media Mohd Riziqin Hillan, Biro Penerangan Unit Media Baru Pemuda UMNO Bandar Tun Razak #KLChronicle

KENYATAAN MEDIA
29 JANUARI 2014

Mengapa Anwar Ibrahim Calon DUN Kajang?

Boleh diibaratkan seumpama tiada angin bertiup tiba-tiba pokoknya  bergoyang. Inilah senario politik pelik yang berlaku di negeri Selangor hari ini. Semalam Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Hannah Yeoh mengumumkan kekosongan kerusi DUN di N25, Kajang disebabkan penyandangnya Lee Chin Cheh meletakkan jawatan tanpa diberitahu alasan-alasan yang boleh diterima oleh semua pihak terutama pengundi di kawasan tersebut.



Hari ini lain pula perihalnya berbeda, kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) seolah-olah tidak mahu menunggu keputusan dan pengumuman oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bagi memutuskan sama ada perlu diadakan Pilihanraya Kecil (PRK) ataupun sebaliknya. Dengan rasa megahnya Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai calon di DUN tersebut.

Selepas pengumuman tersebut, terdapat cakap-cakap kalangan rakyat di ruang media sosial baik di Twitter, Facebook dan Blog yang mempersoalkan rasional di sebalik pemilihan Anwar Ibrahim sebagai calon DUN tersebut. Apakah tiada muka lain atau pemimpin pelapis yang baru boleh diketengahkan oleh PKR kali ini atau sebenarnya terdapat agenda sulit yang sengaja dipencilkan daripada pengetahuan rakyat negeri Selangor.

Menariknya pula kali ini, apabila terdapat beberapa kenyataan media yang dikeluarkan oleh kepimpinan rakan di dalam Pakatan yang mendakwa keputusan pemilihan Anwar Ibrahim sebagai calon DUN Kajang dilakukan tanpa pengetahuan mereka sekaligus mendakwa diketepikan oleh kepimpinan negeri. PAS merupakan antara parti terawal membuat kenyataan rasmi dan menolak pelantikan Anwar.

Secara tersuratnya seolah-olah tercetus konflik antara rakan-rakan di dalam Pakatan tetapi hal yang mungkin tidak diketahui umum adalah isu yang berlaku ini sebenarnya sudah diketahui oleh kepimpinan parti di dalam Pakatan. Strategi menolak pelantikan Anwar adalah sebahagian daripada usaha mendapatkan sokongan kukuh daripada penyokong parti sendiri yang rata-ratanya hari ini tidak berpuashati dengan lantikan tersebut dan beberapa isu lain. Namun apabila tempoh kempen dimulakan kelak, pasti pemimpin parti dalam Pakatan yang tidak bersetuju hari ini akan tetap turun padang bagi ‘menyokong’ Anwar dan para penyokong parti pun akan menyetujui apa saja tindakan pemimpin parti.

Selepas Pilihanraya Umum (PRU) 13, rakyat marah dengan pelbagai isu kenaikan harga barangan keperluan yang tidak menentu serta kenaikan harga minyak rakyat Ron95. Kerajaan Persekutuan diperingatkan supaya berbelanja secara berjimat cermat dan dicadangkan mencari langkah terbaik bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung rakyat. Tetapi sikap tidak bertanggungjawab bekas ADUN Kajang yang meletakkan jawatan tanpa memberi alasan yang kukuh amat menghampakan banyak pihak terutamanya pengundi di Kajang.

Masakan tidak, proses PRK ini juga melibatkan kos yang banyak serta memerlukan belanja yang tinggi daripada pelbagai agensi untuk menjayakannya. Di kala rakyat dan Kerajaan Persekutuan bertungkus lumus mencari inisiatif mengurangkan bebanan yang ditanggung bersama, kerajaan Selangor pula sewenang-wenangnya menerima perletakkan jawatan tersebut bagi memberi laluan kepada Anwar memegang jawatan dalam barisan kepimpinan negeri Selangor.

Bukankah ini dinamakan membazir. Mengapa Pakatan perlu membazirkan wang rakyat hanya semata-mata ingin memenuhi cita-cita seorang pemimpin yang menginginkan segala-galanya tanpa mempedulikan kemelut yang melanda rakyat.

Rakyat juga ingin mengetahui apakah ada muslihat yang terselindung di sebalik segala apa yang terjadi beberapa hari ini. Atau adakah sebenarnya khabar angin yang mengatakan Anwar bakal ‘menaiki takhta’ sebagai Menteri Besar Selangor akan menjadi satu realiti dan ‘hadiah’ bermakna kepada rakyat di sini.

Sekian.

MOHD RIZIQIN HILLAN BIN MD HASBULLAH
Biro Penerangan Unit Media Baru
Pergerakan Pemuda UMNO Bandar Tun Razak 😎

1 comment:

Ari said...

ketua pemuda kajang wekpo..ulas la skit

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget