Media pembangkang pada masa ini sedang sibuk mempromosikan
Himpunan ‘Turun’ iaitu satu gerakan membantah kenaikan harga barang. Khabarnya, himpunan ini juga membawa
matlamat untuk menggulingkan kerajaan.
‘Turun’ bakal diadakan pada malam tahun baru iaitu 31 Disember,
pada jam 8.00 malam. Setakat
ini, lokasi perhimpunan belum lagi diumumkan. Bagaimanapun, kita yakin
pembangkang akan menggunakan strategi yang sama iaitu ‘menumpang tempat di mana
orang ramai berhimpun’ sempena menyambut tahun baru.
Ini bagi mengelakkan malu sekiranya jumlah peserta tidak
memberangsangkan, selain memudahkan mereka membuat kecoh dan huru-hara. Ia juga bagi memudahkan liputan dibuat
oleh media asing bagi menggambarkan seolah-olah Malaysia berada dalam keadaan
yang tidak selamat.
Strategi kotor pembangkang ini dengan dengan sendirinya
membuktikan hipokrasi mereka dalam memperkatakan tentang nasib rakyat. Apa yang jelas, pembangkang hanya
inginkan publisiti murah sambil menangguk di air keruh.
Hakikatnya, jika benar mereka prihatin, mereka tidak akan
mengadakan demonstrasi, apatah lagi di malam tahun baru yang mampu menggugat
kestabilan dan memburukkan imej negara di mata asing. Bukan mereka tidak tahu bahawa tindakan
sedemikian hanya akan mengundang risiko negara kehilangan pelaburan dan
mengalami kemusnahan. Sekiranya
ini berlaku, yang akan menanggung akibatnya ialah rakyat juga.
Tiada siapa dapat menafikan bahawa peningkatan harga barang
setakat ini tidak menjejaskan kehidupan rakyat Malaysia. Kita percaya tahun baru ini juga akan
disambut meriah seperti biasa. Dalam
kata lain, secara dasarnya, tiada siapa yang perlu melakukan perubahan drastik
semata-mata untuk ‘menyesuaikan’ diri dengan peningkatan kos sara hidup.
Namun, jika pembangkang berjaya membuat huru-hara dan
menggulingkan kerajaan pada malam 31 Disember ini, maka bersedialah kita ke
arah kehidupan yang benar-benar sukar.
Kita telah melihat sendiri bagaimana nasib rakyat di negara-negara
yang telah ‘berjaya’ menggulingkan kerajaan. Tidak ada satu pun dari negara-negara
itu yang memperlihatkan nasib rakyat yang lebih baik dari sebelumnya. Semuanya menyaksikan kemusnahan yang
bertimpa-timpa dan kesusahan yang berpanjangan. Iraq, Mesir, Libya,
misalnya terus meraba-raba mencari pegangan untuk bangun berdiri kembali. Sehingga kini, keadaan masih terus
buruk dan lebih buruk berbanding sebelum kerajaan digulingkan.
Apabila sesebuah kerajaan digulingkan secara kekerasan perkara
yang pertama berlaku ialah pelabur akan lari yang mana menyebabkan ramai
kehilangan pekerjaan. Industri
pelancongan juga akan terjejas teruk dan negara akhirnya kehilangan pendapatan. Lalu, siapapun yang menjadi
pemerintah pada ketika itu, akan
terpaksa menggunakan segala rezab yang ada dan membuat pinjaman bagi memulihkan
keadaan. Ini bermakna,
tanggungan yang lebih untuk kerajaan dan rakyat juga akan menanggung
kesengsaraan.
Sekarang cuba bayangkan ia berlaku di Malaysia. Sudah tentu negara yang telah musnah tidak
mampu memberi pendidikan peringkat rendah dan menengah secara percuma
lagi. Kerajaan juga tidak
lagi mampu membantu bumiputera dan tidak lagi mampu meneruskan saki baki
subsidi. Bumiputera akan
kehilangan daya beli dan perniagaan kaum lain juga akan terjejas teruk. Bank-bank pula pastinya akan
mengetatkan syarat-syarat pinjaman dan rakyat akan semakin tertekan.
Akhirnya, perjuangan himpunan untuk membantah kenaikan harga
barang tadi, hanya membawa kenaikan harga barang yang lebih tinggi dan seterusnya
kepada kesukaran untuk hidup.
Senario ini bukanlah satu gambaran untuk menakut-nakutkan sesiapa
tetapi ia adalah sesuatu yang pasti berlaku sekiranya kerajaan sesebuah negara
digulingkan dengan kekerasan.
Justeru, kita menyeru kerajaan untuk mengambil tindakan tegas
untuk mencegah pembangkang dari melakukan kemusnahan. Contohilah cara Singapura menangani
karenah perusuh baru-baru ini. Buktikan
yang kerajaan bukan mengejar populariti tetapi hanya melakukan apa yang terbaik
untuk negara ini.
No comments:
Post a Comment