http://negarapakatanrakyat.blogspot.com/ |
Beberapa
hari ini ramai di kalangan pimpinan pembangkang ‘menjerit-jerit’ di
dalam laman sosial Twitter menafikan penglibatan mereka terhadap kewujudan
sebuah blog ‘Negara Pakatan Rakyat’ (www.negarapakatanrakyat.blogspot.com). Ketua Pembangkang,
Anwar Ibrahim di dalam twitternya baru-baru ini mengatakan kononnya blog
tersebut bukan milik pakatan pembangkang tetapi ditaja oleh Umno.
Yang
menghairankan ialah, mengapa Anwar menyalahkan Umno di dalam isu ini? Sedangkan
sekiranya diteliti semua kandungan yang dipaparkan di dalam blog terbabit,
secara jelas mengkritik kerajaan.
Dengan
mengambil contoh isu video seks dahulu yang didedahkan Datuk Shazryl Eskay
Abdullah, ahli parlimen Permatang Pauh itu tidak mengheret ahli perniagaan itu
ke mahkamah sebaliknya hanya membuat laporan polis.
Katanya,
apabila hasil siasatan forensik mendapati video tersebut sahih dan benar,
beliau pula menyatakan itu adalah satu konspirasi serta memperlekehkan
kredibiliti polis.
Itu
belum lagi diambil kira tindakan Anwar untuk menyalahkan Suruhanjaya Pilihan
Raya (SPR) dan kerajaan berhubung dakwaannya mengenai 40,000 pengundi hantu
yang kononnya di terbangkan secara khas dari Bangladesh untuk mengundi Barisan
Nasional dalam pilihan raya umum yang lalu. Apabila siasatan dilakukan,
ternyata ia hanyalah merupakan cerita rekaan pembangkang untuk menghasut rakyat
menolak keputusan pilihan raya.
Selain
Anwar, Pengarah Komunikasi parti itu, Fahmi Fadzil turut dilihat cuba
meletakkan kesalahan tersebut kepada Umno. Malah Ketua Biro Hal Ehwal Guaman
PKR, Latheefa Koya turut mengambil pendekatan sama dengan mendakwa ia adalah
merupakan perbuatan macai @ cybertroopers Umno. Mudahnya mereka menyalahkan
orang lain.
Pembangkang,
nampaknya mempunyai satu pendekatan yang ‘standard’ untuk menyalahkan
Umno dan kerajaan dalam semua perkara. Sebagai contoh pendedahan video seks
Anwar suatu ketika dahulu, turut dikatakan salah Umno, DAP bermesyuarat tanpa
mengikut perlembagaan parti, sehingga terpaksa menjalankan semula pemilihan
CEC, dikatakan sebagai salah Umno. Tidak ketinggalan yang terbaru perpecahan
dalaman Pas antara kumpulan Ulama dan Liberal turut menjadikan Umno sebagai
kambing hitam.
Sedangkan
semua yang dinyatakan tadi adalah merupakan kesilapan mereka sendiri, namun
disebabkan ingin memperbodohkan rakyat buat kesekiaan kalinya Umno dikaitkan
dalam semua hal. Seolah-olah penubuhan Umno hanya untuk mengenakan pembangkang
di negara ini.
Namun
apa yang peliknya ialah, sehingga ke hari ini, tiada satu pun laporan polis
yang dibuat bagi menafikan penglibatan pakatan pembangkang terhadap blog
tersebut. Atau sekurang-kurangnya mengambil tindakan undang-undang.
Kesimpulannya,
ini hanyalah merupakan taktik murahan Anwar bagi mengalihkan perhatian
masyarakat. Ini kerana, banyak artikel-artikel yang disiarkan, banyak
mengkritik pimpinan rakan sekutu mereka.
Persoalannya
ialah benarkah pimpinan pakatan pembangkang tidak terlibat di dalam menaja blog
tersebut? Atau ia sebenarnya adalah merupakan gerakan perang saraf mereka untuk
memastikan semua pimpinan pakatan selari dengan pendirian dan keputusan yang
dibuat Anwar.
No comments:
Post a Comment