Kira-kira 4,000 orang hadir
memenuhi ruang Concourse, Sunway Pyramid bagi meraikan Sambutan Hari
Belia Negara yang disambut setiap 15 Mei sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kerajaan kepada
belia.
Majlis disempurnakan oleh Tan Sri
Muhiyiddin bin Haji Mohd.Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Turut
mengiringi pada majlis tersebut, Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Ahmad
Shabery Cheek serta Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Tuan Gan Ping
Sieu.
Hadir sama, Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri, Dato’ Sri Mustapa Mohamed dan Menteri Sains dan
Inovasi, Datuk Dr. Maximus Johnity Ongkili dan Presiden Majlis Belia Malaysia,
Mohamed Maliki Mohamed Rapiee sebagai tanda sokongan.
Justeru itu, sebagai menghargai
golongan belia ini, Himpunan Hari Belia Negara (HBN) 2012 yang bertemakan
“Jadikan Hari Esok Lebih Baik Dari Hari Ini ” berlangsung selama lima hari
bermula 23 hingga 27 Mei di Putrajaya. Sambutan tahun ini bakal menyaksikan 500 acara dalam 38 segmen, 1,000 persembahan, 24
pentas di sepanjang enam kilometer dengan sasaran untuk menghimpunkan seramai
dua juta belia.
Dalam Perutusan yang disampaikan
oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak,
menyatakan bahawa
“ Himpunan HBN 2012
adalah manifestasi pengiktirafan kerajaan bagi menjadikan Putrajaya sebagai
medan besar untuk para belia mempamer tenaga dan kreativiti mereka. Pemimpin
terdahulu, telah mendirikan Putrajaya sebagai kota kemegahan kita. Mari kita
beri pengisian kepada kota ini dengan semangat dan tenaga para belia untuk masa
depan kita bersama.”
Timbalan Perdana Menteri dalam
ucapan pelancaran beliau berkata, “Jumlah golongan belia yang melebihi
sepertiga penduduk negara iaitu seramai 12.5 juta adalah sumber kekuatan negara
paling utama. Sama ada negara kita akan menjadi maju menjelang tahun 2020 dan
kekal maju selepas itu bergantung kepada sejauhmana generasi belia yang ada
pada hari ini dapat menggarap segala bakat, potensi dan kebolehan diri dengan
sebaik mungkin,”..
Tambah beliau , “ Kerajaan melihat
organisasi belia memainkan peranan penting dalam usaha mengasah bakat
kepimpinan dan pembangunan kendiri belia seperti Parlimen Belia yang bakal
diwujudkan tidak lama lagi sabagai platform kepada belia untuk menyuarakan
pendapat, pandangan, idea dengan cara yang berhemah iaitu melalui
perbincangan dan sepakatan.”
“Apa jua perancangan yang dibuat
oleh kerajaan hari ini mengambil kira keperluan masa hadapan. Dalam merangka
pelbagai dasar negara, termasuk dasar transformasi yang sedang dilaksanakan
pada masa ini, kerajaan mendengar suara belia, menghargai hasrat belia dan cuba
sedaya upaya untuk memenuhi jangkaan belia dengan hanya satu matlamat iaitu apa
jua dasar yang dilaksanakan mestilah menjamin masa depan yang lebih baik buat
golongan belia,” ujarnya lagi .
Beliau juga menyeru kepada semua
belia seluruh negara untuk menjadikan Sambutan HBN pada tahun ini sebagai
simbol kebersamaan belia dan kerajaan dan bersama-sama memenuhi Putrajaya
dengan lautan belia dengan memaparkan semangat cintakan negara, kedamaian, keharmonian dengan berhimpun
secara aman dalam suasan penuh keriangan.
Sempena Pelancaran HBN 2012 hari
ini juga, pelbagai aktiviti telah dijalan dan dijayakan oleh belia yang
sentiasa menyokong penuh usaha kerajaan terhadap pembangunan belia di Malaysia.
Antara aktiviti yang berlangsung adalah Persembahan Kebudayaan 1Malaysia,
persembahan Flashmob, essemble aksi remaja kreatif dan diserikan dengan
kehadiran selebriti tanah air seperti Fizo Omar, Lisa Surihani, Mia Sara dan
pemain Skuash Kebangsaan, Azlan Iskandar turut hadir sebagai tanda sokongan HBN
2012.
No comments:
Post a Comment