Dakwaan 3:
SPR gagal membersihkan daftar pemilih.
Seramai 42,051 pengundi awam ragu masih berada dalam daftar pemilih SPR hingga
sekarang
Sebagai langkah yang
berterusan untuk membersihkan Daftar Pemilih, SPR telah menghantar Daftar
Pemilih Induk (DPI) yang melibatkan kesemua nama 12.5 juta pemilih berdaftar
kepada pihak JPN pada bulan Julai 2011 untuk semakan secara menyeluruh bagi
tujuan pengesahan dan pembersihan. Pada bulan September 2011, pihak JPN telah
memberi maklum balas kepada SPR bahawa dari jumlah 12.5 juta tersebut, terdapat
sebanyak 42,051 nama-nama pemilih yang tidak memiliki maklumat yang jelas
dan sahih.
Ini bermakna nama-nama
42,051 pemilih berdaftar berkenaan ada di dalam rekod di JPN, tetapi masalahnya
mereka tidak dapat dihubungi untuk diminta datang mengemaskini status terkini
kedudukan mereka kerana ketiadaan alamat yang jelas. Di waktu yang sama mereka
juga telah tidak datang ke mana-mana pejabat JPN untuk mengemaskinikan status
mereka. Oleh yang demikian, SPR membuat keputusan mengkategorikan 42,051 nama-nama
berkenaan sebagai pemilih awam di bawah status yang diragui kesahihannya
disebabkan ketiadaan maklumat yang terkini tentang status mereka.
Dalam tempoh pemeran itu
juga, SPR telah turut mengedarkan nama-nama berkenaan kepada Ibu Pejabat semua
parti politik utama serta pemimpin-pemimpin politik di peringkat
Parlimen dan DUN yang berkenaan di seluruh negara untuk mendapat bantuan dalam usaha
mencari pengesahan dan maklum balas berhubung dengan kedudukan alamat dan
status terkini pemilih-pemilih yang berkenaan. Bagaimanapun, di sepanjang tempoh
tiga bulan pemeran tersebut berlangsung, sambutan yang diterima oleh SPR sama
ada dari parti-parti politik atau orang ramai amat dingin. Pada 28 Mac 2012, pihak
JPN telah memberi maklum balas kepada SPR bahawa melalui semakan yang
terperinci dan berterusan oleh pihak mereka, jumlah pemilih yang diragui itu telah
berkurangan kepada 40,803 orang.
Ini berikutan terdapat di kalangan mereka yang
tampil ke JPN untuk mengemaskini maklumat kad pengenalan mereka manakala yang
lain terdapat waris-waris yang tampil dengan membawa bukti kepada JPN mengenai
kematian ahli keluarga atau saudara mara mereka. Undang-undang
SPR tidak membenarkan mana-mana nama dalam daftar pemilih dipotong
sewenang-wenangnya tanpa pengesahan oleh pihak JPN. Oleh yang demikian, nama
40,803 pemilih awam ragu tersebut perlu terus kekal berada di dalam daftar pemilih
bagi menjamin hak mereka yang dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.
SPR
hanya memotong nama-nama mereka daripada daftar pemilih setelah mendapat
pengesahan secara rasmi dari pihak berwajib iaitu JPN sama ada mereka telah
meninggal dunia atau hilang taraf kewarganegaraan, atau hilang kelayakan atas
sebab-sebab lain seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan. Oleh
yang demikian, selagi pengesahan muktamad tidak diperolehi dari pihak JPN, kesemua
nama 40,803 pemilih berkenaan perlu dikekalkan di dalam Daftar Pemilih Induk.
No comments:
Post a Comment