Itulah sikap Mahathir. Enggan mohon maaf pada mangsa Memali, enggan mohon maaf pada mangsa tahanan ISA, enggan mohon maaf kerana penjarakan Anwar Ibrahim atas kesalahan liwat tetapi boleh memaafkan Lim Kit Siang dan DAP kerana memanggil mereka sebagai rasis.
Dalam isu kemurkaan Sultan Selangor terhadap Mahathir kerana menghina bangsa Bugis, Mahathir sampai ke hari ini masih lagi enggan memohon maaf. Dengan DAP mudah sangat Mahathir maafkan, kenapa dengan Sultan Selangor susah bagi Mahathir merafak sembah memohon maaf?
Dua hari lepas, Mahathir bertindak memulangkan kembali kedua dua pingat yang diterimanya daripada Sultan Selangor pada 1978 dan 2003. Pingat itu telah diserahkan kepada seorang pegawai kanan di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada Khamis lalu.
Tidak cukup dengan sekadar gimik memulangkan kembali pingat kebesaran, Mahathir sebenarnya kena minta maaf secara terbuka kepada Sultan Selangor kerana ucapannya yang menghina etnik Bugis.
“Saya fikir Sultan Selangor merasakan saya tak layak untuk terima anugerah berkenaan. Kalau saya nak terima mestilah sebab saya layak tapi sekarang saya dikatakan akan membakar seluruh negara, jadi saya fikir saya sudah tidak layak lagi,” kata Mahathir pada 12 Disember 2017.
Mahathir boleh pertikai pula soal dia layak atau tidak terima pingat. Bukan itu yang menjadi persoalan utama sekarang, yang paling membuatkan Sultan Selangor murka adalah kerana tindakan Mahathir menggelar etnik Bugis dengan gelaran yang tidak sepatutnya.
"Tohmahan ini secara tidak langsung menghina salasilah dan keturunan Kesultanan Selangor yang berasal daripada Bugis," titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2 November 2017.
Bukan sahaja Sultan Selangor, Sultan Johor juga turut terasa dengan penghinaan yang telah dibuat Mahathir terhadap etnik Bugis. Sepatutnya Mahathir juga kena pulangkan juga semua pingat yang diterimanya dari Sultan Johor.
"Saya terasa juga. Saya keturunan Bugis, Sultan Selangor keturunan Bugis, Rakyat Johor banyak keturunan Bugis. Asal usul saya pun dari Riau Lingga. Banyak Bugis. Apa rasa orang Bugis," titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada 24 November 2017.
Mengapa susah sangat bagi Mahathir memohon maaf kepada pihak istana? Tidak perlu pusing dan buka topik baru mengenai soal layak atau tidak layak. Paling utama adalah kenapa Mahathir tidak mohon maaf. Rakyat perlu faham isu yang sebenar dan jangan terpedaya dengan perangkap yang Mahathir sendiri pasang.
Ketika Sultan Selangor murka dengan kenyataan Mahathir pada awal November lalu, Mahathir enggan memohon maaf. Menyuruh pula Syed Saddiq, Ketua Armada PPBM menulis surat pada Sultan Selangor. Kemudian Syed Saddiq yang penakut itu lari pula ke Paris selepas tulis surat kepada Sultan Selangor.
Sultan Selangor kemudian bertitah “Beliau mempunyai inferiority complex dan kebencian mendalam dalam dirinya.Beliau cuma marah dan kemarahannya akan membakar seluruh negara,” dalam satu temubual dengan akhbar The Star yang disiarkan pada pada 3 Disember 2017.
Kali ini, Mahathir tidak suruh Syed Saddiq utus surat tetapi Zaid Ibrahim yang memang dikenali sebagai penyokong kuat Mahathir telah bertindak biadap mempertikaikan titah Sultan Selangor itu di twitternya.
Zaid Ibrahim,yang merupakan seorang ahli DAP juga tidak memohon maaf kerana bertindak biadap mempertikaikan titah Sultan Selangor. Zaid Ibrahim juga tidak memohon maaf dan masih lagi berada dan tinggal di Selangor.
“Saya dukacita dengan komen Zaid Ibrahim dalam Twitternya yang mengulas kenyataan saya (mengenai Dr. Mahathir) dalam akhbar The Star. Saya minta Zaid Ibrahim baca dengan teliti kenyataan saya dan dapatkan fakta yang betul sebelum buka mulut.
“Dia duduk di Selangor, baliklah Kelantan kalau tak setuju, buat rumah besar-besar dan tolong rakyat Kelantan. Jangan cari rezeki di Selangor,” titah baginda dalam temubual eksklusif bersama Utusan Malaysia di Istana Alam Shah pada 8 Disember 2017.
Malang sekali di Selangor, ada seorang Menteri Besar yang masih buat pekak dan tidak tahu dengan titah yang sudah dikeluarkan oleh Sultan Selangor. Azmin Ali masih lagi membisu tentang komen menghina Mahathir dan tindakan biadap Zaid Ibrahim ini.
Kalau rumah bilal cepat sangat hendak diroboh, kalau Sultan Selangor sudah bertitah agar Zaid Ibrahim jangan duduk lagi di Selangor, kenapa Azmin Ali lambat melaksanakan titah Sultan Selangor itu?
Mahathir dan Zaid Ibrahim sebenarnya sudah menderhaka kepada institusi raja Melayu. Memulangkan pingat bukan jalan penyelesaian sebenar, apa yang perlu adalah Mahathir dan Zaid Ibrahim kena menyembah memohon maaf kepada Sultan.
Dengan DAP boleh pula Mahathir mohon maaf dan ampunkan semua dosa dosa Kit Siang dan DAP yang lalu. Dengan Sultan Selangor, mengapa susah sangat Mahathir hendak memohon ampun dan maaf.
No comments:
Post a Comment