Pada Jumaat ini (22 Disember 2017), satu himpunan solidariti untuk memperjuangkan Palestin akan diadakan di Masjid Putra, Putrajaya. Ia akan dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang sebelum ini dengan lantang telah menyatakan pendirian Malaysia untuk terus memperjuangkan nasib penduduk Palestin.
Kali ini, beliau akan berada sepentas dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Seperti yang dinyatakan oleh Najib yang juga Presiden UMNO: ``Perlu ada pendirian bersama apabila ia melibatkan isu kepentingan Islam dan umatnya,''.
Maka dalam isu Palestin, kedua-duanya akan berada sepentas untuk membantah pengiktirafan Amerika Syarikat yang mengangkat Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Ini bukan kali pertama Najib sepentas dengan Hadi, malah pada 4 Disember tahun lepas, kedua-duanya mencipta sejarah apabila buat kali pertama berkongsi pentas dalam Himpunan Solidariti Rohingya di Stadium Mini Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Tujuan himpunan berkenaan diadakan adalah untuk menunjukkan kesepakatan suara umat Islam di negara ini berhubung kekejaman junta tentera Myanmar yang begitu hebat membantai Etnik Rohingya di Rakhine sehingga memaksa ratusan ribu etnik berkenaan menjadi pelarian dan ramai yang menjadi korban.
Ironinya, himpunan ini diadakan sebaik sahaja selesainya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ke 70, tahun lepas. Dan himpunan solidariti untuk Palestin ini juga diadakan selepas PAU ke 71, yang berakhir pada awal bulan ini.
Melihat kepada kedua-dua himpunan ini, sangat jelas sekali, dalam menyentuh nasib umat Islam, bahawa UMNO dan PAS boleh berganding bahu demi memartabatkan Islam itu sendiri.
UMNO telah menetepikan perbezaan idealogi politik demi untuk menyuarakan hak dan kepentingan umat Islam.
Timbul persoalan di sini, adakah Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP mampu melakukan perkara sedemikian?
Dalam satu artikel yang dikeluarkan oleh satu portal pro DAP, Roket Kini bertarikh 14 Februari 2017, mereka mendakwa, UMNO dan BN telah menjalankan propaganda rasis dan tidak bertanggungjawab dengan mendakwa DAP sebagai sebuah parti rasis dan tidak akan membela nasib kaum Melayu dan umat Islam di negara ini seandainya mereka berkuasa kelak.
Namun kenapa PH tidak melakukan himpunan yang sama demi memperjuangkan nasib penduduk Palestin yang tertindas ini akibat kezaliman zionis?
Mana perginya suara mereka ketika umat Islam seluruh dunia mengutuk tindakan Amerika Syarikat yang memperakukan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel?
Hakikatnya himpunan solidariti bagi memperjuangkan Palestin ini bakal memberikan makna yang besar dalam perjuangan kemanusiaan dan Islam di negara ini.
Jika himpunan solidariti terhadap Rohingya telah membuktikannya, kali ini kita akan memperlihatkan bagaimana ketegasan Najib dan Hadi untuk membantah keputusan Amerika Syarikat itu.
Suara lantang yang bakal bergema ini, akan turut membimbangkan Pakatan Harapan kerana ia menunjukkan kerjasama antara UMNO dan PAS, iaitu sesuatu yang tidak boleh diterima oleh PH.
No comments:
Post a Comment