KL CHRONICLE: 10 Intipati Ucapan Zahid Hamidi, Lembayung Arjana Bangsa #PAU2017 #Negaraku #Malaysia

Wednesday, December 6, 2017

10 Intipati Ucapan Zahid Hamidi, Lembayung Arjana Bangsa #PAU2017 #Negaraku #Malaysia


Ucapan bertajuk Lembayung Arjana (Kejayaan) Bangsa yang disampaikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi topik perbualan hangat rakyat, netizen dan perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 yang bermula semalam hingga 9 Disember nanti.



Dalam ucapan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, beliau menggariskan tujuh perkara yang diberi nama Lembayung Arjana Bangsa iaitu payung kejayaan bangsa iaitu perkara yang akan memastikan negara dan parti terus berjaya sehingga ke hari ini.

Daripada ucapan itu, ada 10 intipati yang perlu diberikan perhatian oleh rakyat serta para perwakilan untuk kelangsungan orang Melayu dan UMNO pada masa depan.

1. Winning Mentality (Falsafah Kemenangan)

Pada perkara ke-15 ucapan Ahmad Zahid, beliau menekankan bahawa UMNO perlu memiliki winning mentality ataupun falsafah kemenangan iaitu mentaliti untuk menang. Bagi beliau ia bukan sekadar konsep, bukan sekadar falsafah tetapi memerlukan semangat, keyakinan dan tindakan.

"Kita tidak akan berpaling atau berundur walau setapak pun. Obor perjuangan yang kita bawa bersama persis kisah Tariq Ibni Ziyad yang tidak lari dari peperangan akan kita terjemahkan.

"Namun, berpaling tidak sama sekali!" katanya dengan tegas menekankan perkara itu.

2. UMNO Adalah Parti Keramat Paling Unggul

Menyentuh perkara berkenaan Ahmad Zahid berkata UMNO ketika ini adalah sebuah parti politik yang masih kekal memerintah di peringkat serantau dan global serta tidak pernah tewas dalam pilihan raya sejak tahun 1955.

UMNO bukan hendak riak atau mahu berbangga kerana bagi Ahmad Zahid ia adalah satu fakta yang tidak boleh disangkal lagi. Beliau turut berharap Allah SWT akan terus memberikan kemenangan kepada Barisan Nasional dalam pilihan raya yang akan datang.

Kata Ahmad Zahid, UMNO mengamalkan kesejagatan politik sejak dahulu lagi hingga ke hari ini. Inilah resepi kemenangan UMNO sehingga hari ini.

3. Buta Warna Dalam Tiga Perkara

Beliau turut mengingatkan kembali ketika Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menghubunginya pada pukul 3.30 pagi ketika banjir melanda Pulau Pinang untuk memohon bantuan kerajaaan pusat. Ahmad Zahid menyatakan bahawa beliau buta warna dalam tiga perkara.

"Pertama, soal kemanusiaan, kedua, dalam isu pendidikan, manakala yang ketika ialah soal keselamatan. Ketika rakyat ditimpa banjir, kita mengetepikan sebarang perbedaan.

"Saat saya dihubungi pada jam 30 pagi untuk membantu mangsa banjir saya ketepikan perbezaan politik, saya ketepikan segalanya... Bak kata pepatah “ayam berinduk, sirih berjunjung,"," ujarnya.

4. UMNO Amalkan Politik Keterangkuman

UMNO tidak sesekali hanya memperjuangkan nasib umat Melayu semata-mata kerana UMNO mengamalkan politik keterangkuman. Menurut Ahmad Zahid, UMNO adalah wadah perjuangan seluruh rakyat dari berbilang kaum.

"UMNO adalah tunjang kekuatan kepada Barisan Nasional (BN), kita sanggup berkongsi kuasa bersama rakan komponen, bukan sahaja di Semenanjung tetapi merangkumi Sabah dan Sarawak," katanya.

Ahmad Zahid berkata, prinsip kesatuan politik matang dan dinamik adalah amalan UMNO dalam membina bangsa. Beliau tahu UMNO sentiasa berjiwa besar dan mewarisi formula kesejagatan politik.

"Natijahnya, prinsip Rukun Negara yang kita tatang selama ini merupakan kunci kedinamikan politik UMNO," katanya.

5. Pemimpin Miliki Sifat (Taqarrub Illalah)

Sebagai sebuah pemimpin yang dilihat agak serius dalam aspek agama Islam, Ahmad Zahid berkata seorang pemimpin mesti memiliki sifat Taqarub Illalah dengan mendidik dan melatih diri agar sentiasa menghambakan jiwa raga kepada Allah SWT.

Menurut beliau, oleh kerana itulah Islam menganjurkan agar pemuda dan pemudinya terdidik dengan "Jiwa Hamba" terhadap Allah dan menjadi seorang Rabbani.

"Sifat-sifat "Ubudiyyah", ketaatan dan kepatuhan kepadaNya yang mampu menjadi kompas kehidupan ke jalan kebenaran," katanya.

6. Jauhi Sikap Buruk Mencari "Personal Glory"

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata para pemimpin dalam UMNO perlu menjauhkan sikap buruk seperti memenuhi kepentingan peribadi dan perlu bergerak sebagai sebuah pasukan yang mantap.

"Sepertimana analogi permainan sepak takraw, ada menjadi tekong, ada jadi tukang lambung (feeder) dan ada tukang libas!" katanya.

Sekali lagi, dengan nada tegas, Ahmad Zahid mengajak pergerakan sayap dalam UMNO untuk akur dengan keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menentukan siapa calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

"Biarlah kita sepakat dan akur sepenuhnya dengan keputusan Dato’ Sri Presiden parti. Kita perlu menghayati konsep “jiwa jama’ie”.

"Belajar menerima kelebihan dan kekurangan orang lain serta menyantuni setiap perbezaan," katanya Ahmad Zahid.

7. Bukan Lemah Tapi Berpecah

Dalam ucapan beliau, Ahmad Zahid turut membacakan satu madah yang bertajuk "Bukan Lemah Tapi Berpecah" sebagai amanat kepada para perwakilan dan ahli-ahli UMNO.

Bukan Lemah, Tapi Berpecah

Kita bukan lemah usaha
Tapi berpecah kata
Bila sudah berpecah kata
Setiap bicara jadi sengketa

Kita bukan lemah tenaga
Tapi berpecah raga
Bila sudah berpecah raga
Setiap langkah ada curiga

Kita bukan lemah idea
Tapi berpecah rasa
Bila sudah berpecah rasa
Arah tujuan luluh binasa

8. Kejayaan Pendekatan 'NajibNomics'

Ada satu istilah yang menarik digunakan oleh Ahmad Zahid ialah menggelarkan pencapaian Najib yang juga Perdana Menteri dalam ekonomi dengan nama 'Najibnomics' dengan merekodkan kadar KDNK pada 6.2 peratus yang tertinggi sejak tahun 2014.

"Pendekatan yang mengutamakan rakyat walaupun terpaksa mengorbankan perbatuan politik (political mileage).

"Malangnya, semua tindakan ini dipandang sepi dan pesimis oleh orang yang menanamkan kebencian kepada kerajaan," kata Ahmad Zahid.

Gelaran Najibnomics itu mendapat tepukan gemuruh para perwakilan di dalam Dewan Merdeka yang mengikuti ucapan berkenaan.

9. Agama Pengikat Kepada Manifesto Bangsa

Intipati ke-9 yang boleh dilihat dalam ucapan Ahmad Zahid ialah perkara menyentuh hubungn manusia dengan Allah. Menurut beliau, hubungan dengan Allah akan menjadikan manusia sebagai khalifah demi kesejahteraan ummah.

"Bangsa yang meletakkan agama sebagai asas peradaban akan kekal bermaruah. Selagi mereka mempertahankan agama, selagi itulah peradanan itu terjunjung dan terunggul.

"Hanya peradaban sebagai suatu diagnosis formula kepada setiap kebejatan (kerosakan) ummah. Persoalan ketamadunan dapat dirungkai sejak agama Islam dibawa oleh Rasulullah SAW," katanya.

Beliau berkata, agama itu dilindungi maka peradaban akan terus kekal terpelihara, agama sesungguhnya adalah teras peradaban.

10. Kemenangan Dua Pertiga, Gerak Kerja Di Semua Tiga Sayap

Dalam misi untuk BN mencapai kemenangan besar dengan majoriti dua pertiga, Ahmad Zahid mengingatkan orang UMNO bahawa pentingnya gerak kerja di semua tiga sayap untuk melaksanakan tanggungjawab berkenaan secara keseluruhan.

Menurut beliau, para jentera perlu memastikan 100 peratus undi ahli UMNO perlu memihak kepada BN pada PRU14 nanti.

"Kita tidak mahu ada yang masih mengambil sikap tunggu dan lihat (wait and see) sehingga ke saat akhir.

"Pastikan undi mereka masuk ke kantung BN! Begitu juga ahli-ahli parti dalam komponen BN. Pastikan mereka meletakkan kertas undi memilih BN sepanjang masa," kata Ahmad Zahid.

Kesemua intipati berkenaan membuatkan para perwakilan UMNO dan sayap-sayap begitu bersemangat sekali pada PAU2017.

Ucapan Ahmad Zahid berkenaan benar-benar tampak memberi kesan positif yang amat besar impaknya kepada ahli UMNO dan para perwakilan. UMNO kini sudah bersedia sepenuhnya untuk misi mempertahankan agama, bangsa dan agama.


Tulisan :
Beruang Biru
BB686, Rabu
6 Disember 2017

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget