KL CHRONICLE: Acara Kendurian Shah Alam Gagal, Pengunjung Rasa tertipu #Selangor #Negaraku #Malaysia

Saturday, August 5, 2017

Acara Kendurian Shah Alam Gagal, Pengunjung Rasa tertipu #Selangor #Negaraku #Malaysia


Orang ramai terpaksa mulapakan hasrat untuk menikmati durian secara bufet dalam acara Kendurian sempena Selangor Food Mega Festival 2017, apabila penganjur menghentikan selepas dua jam acara itu berlangsung disebabkan masalah bekalan durian.




Penganjur festival itu, Mohd Izrul Hanafiah berkata acara itu terpaksa dihentikan apabila 70 peratus dari 20 tan durian yang dibekalkan didapati belum boleh dimakan menyebabkan penganjur mengambil keputusan menghentikannya.

Katanya keputusan menghentikan acara tersebut memang diluar jangkaan mereka, namun terpaksa berbuat demikian bagi memastikan pengunjung tidak disajikan buah durian yang keras dan mentah.

“Memang kita ada masalah dengan stok 20 tan durian untuk hari ini yang mana kita dapati hanya kira-kira 30 peratus sahaja durian yang dibawa telah masak, menyebabkan Kendurian terpaksa dihentikan sementara waktu pada tengahari.

“Sebagai penganjur kita terpaksa akur dengan apa yang berlaku, kita jangkakan stok durian akan tiba selewat-lewatnya petang ini (Sabtu),” katanya di tapak festival di Dataran Shah Alam, hari ini.

Menurut Mohd Izrul, perbincangan mengenai masalah itu telah dibuat dengan pengusaha terlibat dan acara Kendurian tetap akan diteruskan petang ini esok, Ahad dari jam 10.30 pagi hingga 11.30 malam seperti yang telah dijadualkan.

“Mereka mengaku memang ada masalah sikit dengan durian, tapi tidak adil untuk kita batalkan terus Kendurian sebab mereka (pengusaha) sudah banyak melabur untuk acara ini.

“Mereka berjanji baki kira-kira 40 tan durian lagi akan tiba petang ini untuk dinikmati pengunjung yang datang petang ini dan esok,” katanya.

Orang ramai yang datang ke festival tersebut bagi menikmati durian meluahkan kekecewaan kerana merasa tertipu akibat tidak dapat menikmati bufet buah itu, selain merasakan penganjur tidak merancang dengan baik acara berkenaan.

Seorang pengunjung, Siti Syuhada Md Shariff, 26, berkata dia yang datang bersama rakan sekerjanya dari Bangi semata-mata untuk menikmati durian merasa cukup kecewa apabila acara itu dihentikan secara tiba-tiba.

“Dari Bangi, kami datang tetapi akhirnya tidak dapat makan durian. Sudahlah kena beratur tengah panas, kemudian penganjur hentikan kerana alasan buah durian tidak masak.

“Sepatutnya penganjur perlu ada perancangan jika perkara macam ini terjadi dan bukan beri alasan semata-mata,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Mohd Ismail Abdul Maleek, 39, mendakwa hairan dengan keputusan penganjur menghentikan acara bufet durian berkenaan, sebaliknya masih menyediakan buah durian lain untuk jualan pada harga berlainan.

Katanya, tindakan penganjur Kendurian itu menjual durian tetapi pada masa sama menghentikan acara bufet buah berkenaan menimbulkan tanda tanya.

“Mereka (penganjur) kata acara berhenti sebab buah durian mentah lagi, jadi yang mereka jual durian dengan harga lain itu apa pula?

“Penganjur seolah-olah cuba menipu kami. Kenapa tak sajikan sahaja durian yang dijual kepada pengunjung?”

Seorang pengunjung lain, Siti Aisyah Mohd Zainol, 27, berkata penganjur tidak berlaku jujur apabila mendakwa pengunjung boleh menikmati durian sehingga puas, namun kemudian meletakkan had jumlah durian tertentu kepada pengunjung.

Katanya, penganjur harus mengotakan janji untuk membenarkan pengunjung menikmati durian itu sehingga puas, selagi pengunjung berkenaan tidak membazirkan buah tersebut.

1 comment:

keliwon said...

Penganjur mahu memperbodohkan pengunjung, mc umumkn durian dari hulu Perak, ternyata durian thailand, hujung tangkai jelas berwarna kuning akibat kesan bahan kimia pengawet...haram jadah punya penipu...

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget