KL CHRONICLE: 7 Janji Baru Pakatan Pembangkang Adalah Janji Untuk Dimungkiri

Tuesday, July 18, 2017

7 Janji Baru Pakatan Pembangkang Adalah Janji Untuk Dimungkiri


14 Julai 2017, pakatan pembangkang yang menggelarkan diri mereka sebagai Pakatan Harapan telah menawarkan 7 janji baru kepada rakyat untuk dilaksanakan dalam masa 100 hari jika mereka berjaya menakluk Putrajaya. 



7 janji yang baru ini hanya dibentang tajuk sahaja tanpa ada penjelasan lanjut dan perincian yang jelas. Namun jika diteliti kembali satu persatu perkara ini, ada beberapa perkara yang boleh dipertikai dan diulas secara panjang lebar. 

Janji untuk menghapuskan GST pun sudah kontradiks. Dalam dua kali bajet alternatif yang dibentang oleh pakatan pembangkang pada 2015 dan 2016, pembangkang mensasarkan GST adalah pada kadar 0%.

Bermakna tidak hapus terus. Pembangkang juga gagal menjelaskan di mana kekukarangan dana yang harus ditampung jika pendapatan menerusi GST dihapuskan. 

Untuk tempoh 1 April 2015 hingga 31 Disember tahun sama, kutipan bersih GST ialah RM27.01 bilion, menurut Kementerian Kewangan. Sementara itu, sepanjang tahun 2016, kutipan cukai GST ialah sebanyak RM41.2 bilion.

Bermaksud jika hapus GST maka kerajaan akan kekurangan pendapatan sebanyak RM41.2 billion. Di mana pembangkang hendak ganti kekurangan ini? Hendak buang kakitangan awam?

Nurul Izzah juga pernah berkata GST akan kekal sifar jika pakatan pembangkang berkuasa dalam Malaysiakini pada 25 April 2017. Kekal sifar bermakna ianya tidak akan dihapuskan. Ini bertentangan sama sekali dengan janji yang dibuat oleh Pakatan Harapan sekarang ini iaitu mahu hapuskan terus GST. 

Kita lihat pula janji kedua Pakatan Harapan iaitu menstabilkan harga petrol. Ini satu frasa ayat baru pembangkang gunakan bila bercakap tentang harga minyak. Satu ketika dahulu, pembangkang akan sebut, masuk sahaja Putrajaya, esok harga minyak akan turun. Kenapa sekarang cakap menstabilkan pula harga petrol?

Sewaktu minyak turun 5 minggu berturut turut, semua pembangkang diam. Tidak bercakap langsung bab harga minyak. Bila naik 4 sen, mereka barulah "keluar gua" menyalahkan pula kerajaan. Inilah perangai sebenar pembangkang, mereka hanya pandai bangkang sahaja tetapi tidak faham pun apa yang mereka bangkang. 

Dulu kata kalau harga minyak turun, maka harga barang akan turun. Kali ini kalau harga minyak stabil, harga barang akan jadi bagaimana pula? Tidak habis habis dengan teori hanya untuk memujuk dan menghasut rakyat semata mata. Rafizi pun tidak bercakap hal harga petrol ini lagi dalam jelajah traknya. 

Seterusnya janji ketiga pembangkang adalah untuk memberi fokus meringankan beban rakyat. Cara dan bagaimana ia akan dilakukan tidak diperincikan. 

Dulu apa yang sudah ditulis dalam Buku Jingga pun tidak dilaksanakan pun di Pulau Pinang dan Selangor. Misalnya di Pulau Pinang, Guan Eng pada bulan Februari 2008, sebelum PRU12 menyatakan bahawa Tol Sungai Nyiur sejumlah 50 sen adalah mencekik darah rakyat. Namun bila DAP perintah, sudah hampir 10 tahun, tol itu tidak juga dimansuhkan. 

Semasa buat Buku Jingga pada 19 Disember 2010 dalam Konvensyen Pakatan Rakyat ke-2 di Pulau Pinang, pembangkang ada buat janji 100 hari juga iaitu untuk menaikkan gaji guru, hapus tol, air yang lebih murah, pulangkan subsidi kepada rakyat, hapuskan ISA dan bebaskan institusi negara. 

Lihatah betapa kontradiknya janji pada tahun 2010 ini dengan 7 janji baru yang dibuat sekarang. 

Naik gaji guru tiada lagi dalam agenda mereka. Hapus tol sudah tiada lagi. Air yang lebih murah pun tiada. Malah di Pulau Pinang, sudah 4 kali tarif air dinaikkan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang. Perjanjian 100 hari berkaitan air  pada 2010 itu dibuat di Pulau Pinang, akhirnya DAP tidak tunai pun malah menaikkan lagi tarif air.

Beginikah cara pembangkang berjanji untuk ringankan kos sara hidup rakyat? Jangan percayalah kepada pembangkang. Mereka pandai mungkir janji sahaja.

Lihat sahaja kepada janji keempat iaitu untuk memulakan proses reformasi insitusi secara menyeluruh. Reformasi apa lagi yang hendak dibuat pembangkang? "Bapa Reformasi" pun sudah berbaik baik dengan "Mahafiraun". Reformasi apa lagi yang ada? 

Hendak buat reformasi meletakkan kroni bagi menguasai insititusi tertentu agar semua benda boleh dilenyap dan disembunyikan?  Lihat sahaja apa nasib yang sudah berlaku pada Perwaja, Pernas, MEC, Proton dan banyak lagi. 

Dulu Kit Siang dan Anwar jadikan semua ini bahan untuk mereformasikan negara. Kini orang yang dikatakan korup dan zalim itu sudah bersama mereka. 

Maka Kit Siang dan Anwar tampillah beri kenyataan sebenar bila disoal oleh RCI Skandal Forex nanti. 

Hapuskan ISA dulu ada dalam agenda Buku Jingga pada 2010, kini bila Mahathir bersama dalam Pakatan Harapan, mengapa agenda untuk hapuskan ISA itu tiada lagi? 

Janji Pakatan Harapan yang kelima iaitu Memerangi rasuah hingga ke akar umbi adalah yang paling lawak sekali. Pakatan Harapan tidak sedar yang Ketua Umum mereka sendiri adalah bekas banduan rasuah dan dipenjarakan 6 tahun kerana kes rasuah. 

“Kesudahannya, bagi menghentikan semua tuduhan itu, saya terpaksa siarkan nama semua orang yang mendapat kontrak kerajaan sewaktu Anwar menjadi Menteri Kewangan.  Senarai itu menunjukkan ramai daripada mereka yang mendapat kontrak secara rundingan adalah kawan-kawan dan anggota keluarga beliau” tulis Mahathir dalam buku Doktor Umum mengenai kes rasuah Anwar Ibrahim. 

Samalah juga dengan Guan Eng, masih lagi berhadapan dengan kes rasuah yang belum lagi diselesaikan di mahkamah. Malah, hanya Selangor dan Pulau Pinang yang masih enggan tandatangan ikrar basmi rasuah dengan SPRM. Kenapa enggan? Ini sama sekali tersasar daripada niat pembangkang hendak basmi rasuah ke akar umbi. 

Samalah juga dengan janji keenam yang dibuat oleh Pakatan Harapan iaitu untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja skandal 1MDB. 
Sudah ditubuhkan PAC mengenai 1MDB, Peguam Negara sudah menyiasat ribuan dokumen, pihak polis sudah menyiasat dan SPRM juga melakuan penyiasatan. Dalam PAC ada wakil pembangkang iaitu Tony Pua dan Tan Seng Giaw. 

Semua dokumen telah diberikan kepada Jabatan Audit Negara dan PAC telah meminta agensi penguat kuasa yang berkaitan untuk menyiasat lanjut perkara-perkara tertentu. Wakil pembangkang tidak ada bukti baru untuk dibawa mengenai 1MDB, melainkan memainkan cerita persepsi yang dibuat dan direka oleh Sarawak Report, DoJ dan Malaysiakini. 

Lebih baik Pakatan Harapan siasat dulu kerugian Skandal Forex yang bernilai USD $10 billion, ke mana wang itu pergi? 1MDB sudah selesaikan semua hutangnya, terbukti tiada wang dicuri dan tiada wang yang hilang. Tidak seperti wang dalam kes Skandal Forex yang masih kekal misteri sampai sekarang. 

Seterusnya janji pembangkang yang ketujuh adalah untuk memulihkan Felda. Mazlan Aliman, AJK Parti PAN pula disaman kerana menerbitkan buku bertajuk ‘Felda...Dulu Tolong Sekarang Ah Long’. 

Pada 11 November 2016, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Mazlan Aliman untuk mengenepikan arahan membayar ganti rugi RM350,000 kepada FELDA kerana memfitnah. 

Sampai sekarang Mazlan Aliman masih belum membayar saman fitnah RM350,000 itu. Sebelum hendak pulihkan Felda, bayarlah saman fitnah terlebih dahulu. Sudah sudahlah membuat tuduhan Felda hendak bankrap dan sebagainya. Sedangkan Felda masih lagi untung dan memberi pulangan yang baik kepada semua peneroka. 

Wan Azizah dan Suara Keadilan juga telah terbukti di mahkamah memfitnah Felda. Orang yang sudah terbukti di mahkamah kerana dosa fitnah tidak layak hendak bercakap dan berjanji hendak pulihkan Felda. Peneroka jangan cepat terpedaya dan tertipu dengan janji janji kosong pembangkang ini. 

Pembangkang pernah sebut semasa menguasai Selangor bahawa “manifesto bukanlah janji”. Mereka sudah pun ingkar janji semasa menjadi kerajaan di Selangor dan Pulau Pinang. 51 projek rakyat gagal dilaksanakan di Pulau Pinang. Di Selangor, sekadar boleh berbangga dengan rizab tinggi sahajalah. Hendak baiki bumbung stadium pun minta bantuan kerajaan pusat. 

Ini bukti pembangkang hanya pandai menabur tebu di bibir sahaja. Bila berkuasa mereka akan mungkir janji. Mereka hanya fikir kroni dan kepentingan sendiri sahaja bila berkuasa.

 Jangan beri peluang pembangkang sebegini, rakyat perlu tunjuk kematangan dan kuasa pada kertas undi nanti. Ajar pembangkang yang suka mungkir janji ini.

2 comments:

Anonymous said...

Jgn meroyan lebih2 bro..

Anak Watan said...

ini betul...bukan cuuubaaaaaaan....

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget