Sepanjang wujudnya parti pembangkang di negara ini, belum pernah mereka dapat bersatu dalam satu ikatan yang sah. Sejak 2004, sewaktu penubuhan Barisan Alternatif sehinggalah 2015 apabila tertubuhnya Pakatan Harapan, mereka sebenarnya tidak pernah didaftarkan secara sah.
Pakatan mereka ini tidak lebih dari sekadar mutual agreement dan masih bergantung kepada kepimpinan sedia ada. Lebih memilukan mereka langsung tidak mempunyai bendera atau logo rasmi dan terpaksa mengekalkan idealogi parti masing-masing.
Kini, setelah setahun pembentukan Pakatan Harapan, pakatan pembangkang sekali lagi cuba membentuk satu gabungan baru yang dinamakan Barisan Rakyat. Penubuhan ini berasaskan cadangan Tun Dr Mahathir yang mahu semua parti pembangkang membentuk satu gabungan rasmi bagi menentang Barisan Nasional (BN).
Keanggotaan Barisan Rakyat ini dikhabarkan terdiri daripada parti DAP, PKR, PAN dan parti baru yang diasaskan oleh Tun Mahathir sendiri, PPBM. Menurut Tun Mahathir, dengan terbentuknya Barisan Rakyat, misi dan perjuangan pembangkang dapat diselaraskan serta lebih tersusun berbanding sebelum ini.
Persoalannya, parti manakah yang akan menjadi teras kepada gabungan ini? Adakah semua parti yang menganggotai Barisan Rakyat ini bersetujui bahawa parti yang dipilih itu akan mengepalai misi pembangkang pada setiap kali pilihan raya dan persidangan Dewan Rakyat?
Bukan satu rahsia memandangkan semua parti yang bakal menganggotai gabungan ini mempunyai visi dan idealogi tersendiri.
DAP misalnya, mereka sentiasa mengagungkan istilah Malaysia Malaysian dengan matlamat perjuangan hak sama rata bagi setiap kaum di Malaysia. PKR pula adalah pentas buat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melonjakkan dirinya bagi menjadi Perdana Menteri.
Bagi PAN pula, mereka tiada visi yang jelas kecuali mahu menguburkan PAS, parti induk mereka. PPBM pula, penubuhannya hanyalah sekadar mahu menjatuhkan Datuk Seri Mohd Najib dan menghancurkan UMNO.
Ini menjadikan mereka mempunyai visi yang jauh berbeza antara satu sama lain. Namun jika dilihat dari kekananan dan konsistensi perjuangan, DAP adalah pilihan utama mengetuai barisan ini. Malah, tidak keterlaluan, DAP bakal menjadi pemangsa untuk PPBM, PKR dan PAN dimana mereka pastinya akan menjadikan ketiga-tiga parti ini sebagai hamba mereka dalam politik.
Mungkin PKR mempunyai pendirian yang tersendiri. Namun ia bukan penghalang buat DAP menjadikan PKR sebagai boneka mereka bagi membantai PAN dan PPBM andai dua parti ini gagal menambah bilangan undi untuk Barisan Rakyat.
Bukan satu rahsia apabila DAP akan menggunakan apa jua cara termasuk mempergunakan individu yang tamakkan kuasa untuk membolehkan ia semakin kukuh. Sebagai pemangsa, jika gagal mendapat makanan dari luar, apa sahaja yang ada disekelilingnya, pasti akan dimamah sehingga ke tulang.
Inilah yang mungkin akan berlaku sebaik sahaja Barisan Rakyat sah didaftarkan. Pada pandangan DAP, PPBM dan PAN adalah mangsa mudah untuk mereka makan dan sekaligus mendokrinkan PPBM dan PAN sebagai ejen DAP kepada bangsa Melayu.
Bagi PKR pula, pendirian mereka belum cukup kukuh untuk membolehkan mereka menentang DAP walaupun pada hakikatnya, PKR berkeinginan menjadi pemangsa dalam Barisan Rakyat.
Tulisan:
Beruang Biru
BB61, Selasa
27 September 2016
No comments:
Post a Comment