KL CHRONICLE: Tengku Adnan akan sediakan tempat untuk "Mat Rempit" Berlumba Secara Sah

Tuesday, February 23, 2016

Tengku Adnan akan sediakan tempat untuk "Mat Rempit" Berlumba Secara Sah


Kementerian Wilayah Persekutuan akan mempertimbangkan cadangan untuk menyediakan laluan jalan tertentu di sekitar ibu negara sebagai trek lumba motosikal bagi mengelakkan 'mat motor' berlumba haram.




Menteri, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata ini berikutan rungutan yang pernah diterimanya sebelum ini mengatakan golongan itu lebih gemar berlumba di jalan raya berbanding litar.

Sehubungan itu, katanya, jalan dan waktu tertentu mungkin disediakan untuk mat motor berlumba.

"Kita bukan mahu galakkan orang ramai merempit dan berpeleseran melakukan aktiviti tidak bermoral seperti berlumba haram di tengah malam tetapi saya mahu aktiviti itu dikawal selia sebaik mungkin untuk elak perkara buruk.

"Saya akan mengarahkan ahli UMNO mengumpulkan mat motor dan mengadakan perjumpaan dengan mereka supaya satu keputusan mengenai waktu dan lokasi yang sesuai untuk perlumbaan dapat diputuskan.

"Mungkin atas sebab kekangan ekonomi dan wang tidak cukup, ini saja cara (lumba motosikal) yang boleh mereka lakukan untuk beriadah," katanya selepas merasmikan pembukaan jalan dan jambatan menghubungkan Kampung Batu Muda ke Taman Metropolitan Batu di sini, hari ini.

Tengku Adnan berkata, di sepanjang jalan itu turut disediakan trek basikal yang menghubungkan laluan ke stesen Keretapi Tanah Melayu Kampung Batu. Katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga telah mengenal pasti beberapa kawasan bermasalah yang perlu dinaik taraf dari segi kemudahan infrastruktur awam demi kepentingan dan keselesaan pengguna.

"Beberapa kawasan masih sedang dikaji serta dikenal pasti dan kami masih menunggu keputusannya," katanya.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget