Mukhriz Mahathir sudah tidak lagi memiliki sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kedah dan perlu melepaskan jawatan yang disandangnya.
"Petang tadi (semalam) ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah berpuas hati yang Mukhriz sudah hilang kepercayaan daripada majoriti Adun dalam Kedah," kata sumber kepada The Malaysian Insider selepas menghadiri mesyuarat dengan Adun Barisan Nasional (BN) di Hotel Grand Alora, Alor Setar.
Sumber mengatakan keputusan itu dibuat jemaah selepas pertemuan terakhir diadakan dengan semua Adun pembangkang yang diadakan di Wisma Darul Aman petang semalam.
Petang semalam, seramai 13 Adun pembangkang daripada PAS, PKR, DAP dan Amanah menghadiri pertemuan secara individu dengan jemaah, yang terdiri daripada Pengerusinya Tunku Temenggong Tan Sri Tunku Sallehuddin Badlishah, Tunku Laksamana Datuk Seri Diraja Tunku Abdul Hamid Thani Badlishah dan Puteri Sulung Sultan Kedah Tengku Panglima Besar Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz.
Terdahulu, The Malaysian Insider melaporkan Adun BN kekurangan sokongan apabila terdapat 2 wakil rakyat yang membelot dan menyatakan sokongan kepada Mukhriz semasa pertemuan pada Isnin lalu bersama semua Adun BN.
Menurut sumber, laporan media mengatakan semua wakil rakyat pembangkang menyokong Mukhriz sebagai tidak tepat kerana terdapat di kalangan mereka yang tidak menyokong menteri besar itu.
"Keputusan jemaah tepat sebab tidak dengar daripada pihak ketiga, kesimpulannya sah akan ada menteri besar baharu.
"Cuma tarikh angkat sumpah tidak pasti tapi kami harap secepat mungkin," kata sumber.
Sumber tidak mendedahkan nama menteri besar baharu dan menyerahkan kepada pihak Istana Kedah untuk mengumumkannya nanti.
Menurut sumber, Mukhriz sendiri sudah bersetuju untuk meletak jawatan hari ini dan juga membatalkan mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) mingguan hari ini susulan perkembangan terbaharu ini.
"Mukhriz panggil semua pegawai khas beliau ke kediaman rasminya malam ini untuk memberitahu keputusan tersebut.
"Beliau juga sudah bersetuju letak jawatan. Mesyuarat exco dibatalkan, mungkin malam ini ada pengumuman atau esok (hari ini). Tidak pasti," katanya.
Sementara itu, sumber yang rapat dengan Mukhriz semasa tidak menafikan mengenai spekulasi peletakan jawatan hari ini cuma memberitahu hari ini satu sidang media akan diadakan di Wisma Darul Aman jam 10 pagi.
No comments:
Post a Comment