KL CHRONICLE: Formula Tun Mahathir Tidak Menepati Sasaran – William Leong

Tuesday, December 29, 2015

Formula Tun Mahathir Tidak Menepati Sasaran – William Leong


Seruan Tun Mahathir kepada pihak oposisi supaya mengundurkan Najib Tun Razak daripada jawatan Perdana Menteri melalui undi tidak percaya tetapi mengekalkan BN sebagai pemerintah telah menyimpang daripada sasarannya. Hal ini kerana bukan sahaja Najib Tun Razak harus diundurkan tetapi agenda pembaharuan wajib dilaksanakan. Sistem semak dan imbang yang telah dimusnahkan harus dikembalikan. Pembaharuan harus dilakukan untuk mengelakkan mereka yang diberikan kepercayaan untuk mempertahankan perlembagaan dan demokrasi daripada mempergunakan jawatan mereka untuk meneruskan kuasa pemerintahan yang tiada legitimasi. Perubahan kali ini haruslah termasuk mengeluarkan BN yang telahpun kehilangan kompas moral.



Sesiapa pun yang boleh berfikir secara logik akan setuju bahawa negara ini perlu diselamatkan. Mengundurkan Perdana Menteri melalui undi tidak percaya di Parlimen hanyalah satu penyelesaian berdasarkan pertimbangan politik semasa. Pembedahan major diperlukan untuk merawat kanser yang telahpun merebak dan menyerap ke dalam pusat pemerintahan di bawah BN selama 60 tahun. Ini terserlah apabila Tun Mahathir sendiri gagal untuk memujuk UMNO dan BN supaya bersama beliau mengundurkan Najib. Seruan Tun Mahathir bukan sahaja tidak diendahkan, bahkan ramai yang berebut-rebut mengampu dan mengangkat Najib seolah-olah Najib adalah seorang bintang rock-star, pada masa yang sama, mengetepikan hukum negara dan keadilan secara melampau demi kelangsungan kuasa politik.

Seorang wanita dari Langkawi telah mengkritik penyelewengan yang merosakkan negara. Di mana suara pemimpin BN yang lain? Biarpun apabila pihak yang menyiasat disiasat, dikeluarkan, dipindahkan dan dipecat, BN tidak mengambil tindakan yang sewajarnya. Pasukan Khas 1MDB dibubarkan dan kini dibentuk semula tanpa penyertaan SPRM, satu-satunya institusi yang menyaksikan pegawainya menjalankan tugas dengan berani dan tidak memihak. Peguam Negara ditukarkan dan digantikan yang calon yang baru begitu sahaja. Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira dilantik ke kabinet bagi memberhentikan siasatan. Tiada seorang pun daripada BN yang bertindak memperbetulkan keadaan. Malahan Gabenor Bank Negara mengakui beliau takut bahawa bercakap benar akan ditangkap. Nampaknya tiada seorang pun dalam BN yang berminat dengan kebenaran.

Undi oposisi bukan untuk jawatan. Anwar Ibrahim tidak memilih pemenjaraan kerana jawatan. Berdasarkan kepercayaan dan keberanian yang ditonjolkan oleh Anwar Ibrahim dan pihak oposisi sepanjang perjuangan untuk perubahan, Anwar dan pihak oposisi akan menyokong pihak yang akan melaksanakan agenda pembaharuan: memperbaharui Suruhanjaya Pilihan Raya; memastkan pilihan raya yang bebas dan adil; memperbaharui kehakiman, Pejabat Peguam Negara, polis, SPRM dan agensi penguatkuasaan; menghukum mereka yang korup; mengembalikan tadbir urus yang baik, integriti dan ketelusan; mengembalikan demokrasi dan mempertahan kebebasan dalam konteks perlembagaan.

Bolehkah Tun Mahathir memberitahu kami, apakah BN akan melaksanakan semua ini jika mereka terus memegang kuasa?

William Leong Jee Keen
Ahli Parlimen Selayang

1 comment:

Gabenor johor said...

MP Sekayang jangan bercerita ttg BN sahaja..bagaimana dgn DAP n PKR mungkin lebih teruk dari BN

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget