KL CHRONICLE: BERTOLONGAN DEMI KEPENTINGAN ISLAM

Friday, December 25, 2015

BERTOLONGAN DEMI KEPENTINGAN ISLAM


Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

BATU PAHAT: PAS berbeza dengan Umno dalam banyak perkara, namun tidak melawan secara semberono, sebaliknya dihadapi dengan cara dan dasar Islam, bahkan bertolong-tolongan terhadap kepentingan umat Islam. 




Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, dalam isu luar negara, PAS dengan Umno boleh bersama sepertimana ketika menangani isu Bosnia-Hezergovina satu ketika dahulu. 

“Saya menyertai delegasi Almarhum Najmuddin Erbakan pergi ke Bangsa-Bangsa Bersatu untuk isu Bosnia. Disokong oleh Kedutaan Malaysia di Washington. Tak jadi salah dan Bosnia selamat hari ini.

“Dalam Isu Acheh, Acheh yang berperang dengan Indonesia, PAS diminta, saya mewakili PAS dan rakan-rakan pergi ke Sweden, berjumpa dengan Hassan Tiro Tengku Zaini yang jadi Gabenor Acheh sekarang. Kami jumpa mereka di Sweden beberapa kali. 

“PAS lebih mudah berjumpa dengan puak-puak Gerakan Aceh Merdeka (GAM) kerana masa konfrontasi dengan Indonesia tahun 60-an dulu, banyak pemimpin Acheh bersahabat dengan kami di Kuala Lumpur,” terang beliau pada program Nadwah Pemerkasaan Duat (Nekad) 11.0 di Parit Haji Salleh Ros, di sini 19 Disember lalu.

Menurutnya, walaupun permulaannya pemimpin Acheh berkeras untuk terus menentang pemerintah Jakarta, namun peranan PAS menyeru penyelesaian masalah berdasarkan Islam sehingga akhirnya berlaku perdamaian dan Acheh mendapat autonomi.

Begitu juga katanya, ketika isu perang di Yaman, beliau diminta mewakili Kesatuan Ulamak Sedunia menjadi orang tengah melakukan perundingan, tetapi terhalang oleh faktor politik kerana PAS bukan kerajaan.

“Kami hubungi Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib (Abdul Razak) kami nak pergi ke Yaman untuk delegasi di atas nama Kesatuan Ulamak Sedunia. Maka Kerajaan Malaysia mengarahkan Wisma Putra menghubungi Kedutaan Malaysia di Yaman, supaya melayan saya secara diplomatik. 

“Saya pergi ke Yaman. Pergi ke kedutaan. Naik kereta rasmi kedutaan. Pergi berjumpa dengan Presiden Yaman. Manzur Hadid, menteri luar dia. Naik kereta kedutaan Malaysia. Di Yaman ada Al-Qaeda. Al-Qaeda suka serang Amerika. Bendera Malaysia berjalur macam bendera Amerika. Sudah. Duta kata tak apa, insya-Allah selamat. 

“Kami pergi dalam keadaan yang selamat. Berjumpa dengan Presiden Yaman. Berjumpa dengan Presiden Iran, Ahmadinejad. Berjumpa dengan Menteri Luar Iran Dr Muttaqi,” ujarnya mengimbas kerjasama itu mengembalikan seketika keamanan kepada Yaman.

Tetapi terang Tuan Guru, hal tersebut berbeza dalam isu Palestin, walaupun sama-sama menyokong perjuangan Palestin, PAS dan Umno memegang pendirian tidak sama. 

PAS tegasnya, mahu satu negara Palestin untuk orang Palestin dan masyarakat majmuknya, sementara Kerajaan Malaysia tunduk kepada kuasa Barat iaitu menjadi dua negara; satu untuk orang Palestin dan satu untuk orang Yahudi. 

“Kami tak setuju. Tetapi sama-sama tolong Palestin. Ada perkara yang sama, ada perkara yang berbeza. Ini dia politik kita, dan orang ramai kena faham dalam masalah ini. Yang penting ialah semua pihak kena dengar hujah masing-masing. Jangan sokong ikut suka, tapi dengar hujah. 

“Banyak perkara yang kita tidak setuju, contohnya undang-undang jenayah. Undang-undang jenayah yang ada pada hari ini tidak menakutkan penyamun, tak menakutkan pencuri, tak menakutkan perompak.

“Kita minta laksanakan hukum hudud. Hudud ini hukum yang menggerunkan penjenayah, baru negara jadi aman. Kalau tak laksanakan Hudud, tak boleh selesai masalah jenayah, berjudi, merompak, menyamun, membunuh. 

“(Umno) Tak laksanakan Qisas, hukum Islam. Kita ajak balik kepada hukum Islam. Jangan faham hukum Islam ini, kalau dilaksanakan akan banyak orang cacat, banyak orang kena potong tangan, banyak orang kena rejam. 

“Itu fikiran tak betul. Bila syariat Islam dikuatkuasakan, orang takut melakukan jenayah, itu akan jadinya negeri akan aman,” jelas beliau.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget