KL CHRONICLE: Kisah @Anwaribrahim dan Operasi Lalang 1987

Friday, October 30, 2015

Kisah @Anwaribrahim dan Operasi Lalang 1987



Nak tahu apa pendirian Anwar Ibrahim berkenaan Ops Lalang pada tahun 1987 dulu? Dua hari selepas operasi penangkapan tu bermula, keluar satu berita dalam NST pasal Anwar dengan tajuk "Govt Acted Carefully, says Anwar". 




Anwar ni pandai sebab dia tak directly buat statement menyokong tangkapan yang dibuat oleh pihak polis, ataupun menyokong tindakan Mahathir guna ISA untuk tahan 54 orang yang dah ditangkap sehingga hari tu. Dia hanya buat statement menyokong tindakan kerajaan mengharamkan perhimpunan awam atas alasan keselamatan negara.

Tapi dia dilaporkan memuji Mahathir atas ucapan "no nonsense" yang dibuat oleh Mahathir dalam Parlimen pada hari sebelumnya yang menurut Anwar "showed that the PM meant business".

Jadi aku cari Hansard Parlimen, dan jumpa teks ucapan Mahathir dalam Dewan Rakyat bertarikh 28 Oktober 1987. 

Ucapan tu dibuat untuk bagi alasan disebalik tindakan Ops Lalang dan tindakan polis guna ISA untuk tangkap politikus pembangkang. Kat bawah ni aku petik beberapa perenggan dari ucapan "no nonsense" Mahathir yang dipuji oleh Anwar Ibrahim:

"Tuan Yang di-Pertua, saya bangun untuk melaporkan kepada Dewan yang mulia ini mengenai beberapa tindakan yang telah diambil oleh pihak polis dalam sehari dua ini."

"Kita semua masih ingat peristiwa 13 Mei, 1969. Tentulah tidak ada di antara kita yang suka mencetuskan rusuhan berdarah seperti itu sekali lagi. Oleh itu, sikap tidak bertanggungjawab dan kegiatan menjolok isu-isu yang sensitif sepatutnya tidak berlaku."

"Pihak polis mendapati bahawa beberapa tokoh pemimpin Pembangkang dan kumpulan-kumpulan yang sebulu dengan mereka telah dengan sengaja membesar-besarkan isu yang ada kaitan dengan kaum."

"Pihak polis mendapati bahawa pemimpin-pemimpin parti DAP amat gemar menggunakan isu-isu yang berbau perkauman untuk mendapatkan sokongan bagi parti mereka. Mereka bukan saja berlagak seperti juara kaum Cina dan India, tetapi juga sengaja mencabar parti-parti kaum Cina dan India dalam Kerajaan kerana kononnya tidak memperjuangkan kepentingan kaum-kaum mereka. Dengan ini maka parti kaum Cina dan India dalam kerajaan pun melenting dan cuba pula untuk melebihi parti DAP dalam ketebalan perkauman mereka."

"Akibat daripada semua golakan ini keadaan di negara kita telah menjadi amat tegang sekarang. Pihak Polis yang bertanggungjawab terhadap ketenteraman dan kestabilan negara berpendapat bahawa kita sudah sampai ke tahap yang merbahaya bagi negara."

"Polis berpendapat, dan saya bersetuju dengan pendapat mereka, bahawa Kerajaan tidak boleh menunggu sehingga rusuhan tercetus sebelum bertindak. Langkah-langkah mencegah kejadian rusuhan perlu diambil sekarang juga untuk menyelamatkan negara daripada bahaya dan bencana yang mungkin dihadapi."

"Tuan Yang di-Pertua, negara tidak mampu mengalami rusuhan kaum. negara kita mengalami kemelesetan ekonomi dan ramai daripada tenaga kerja kita menganggur. Jika kemelesetan ekonomi ditokok dengan keadaan politik yang tidak stabil dan rusuhan kaum pula berlaku, negara ini akan menjadi huru-hara."

"Kerajaan bertanggungjawab terhadap keamanan dan kestabilan negara dan oleh itu bersetuju di atas tindakan yang diambil oleh pihak Polis.”

"Memandangkan bahawa keadaan dalam negeri adalah tegang dan untuk menjayakan tindakan Polis, saya sebagai Menteri Dalam Negeri telah mengambil keputusan untuk melarang sebarang perhimpunan atau rally di seluruh Malaysia."

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget