KL CHRONICLE: Transkrip Penuh Ucapan PM @NajibRazak Sempena Hari Kemerdekaan Ke - 58 #SehatiSejiwa

Sunday, August 30, 2015

Transkrip Penuh Ucapan PM @NajibRazak Sempena Hari Kemerdekaan Ke - 58 #SehatiSejiwa


BismillahirRahmanirRahim,

Alhamdulillahi Rabbil A’lamin wa biHi nasta’in,

Allahhumma Solli A’la Saidina Muhammad wa A’la Saidina Muhammad,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,

Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,

1. Sebelum memulakan ucapan, saya difahamkan bahawa, yang dijemput hadir dalam dewan ini, terdiri daripada para menteri dan anggota pentadbiran kerajaan, kakitangan serta penjawat awam, ahli-ahli korporat, wakil-wakil NGO, para pensyarah dan golongan pendidik, budayawan, mahasiswa serta individu-individu perseorangan mewakili tokoh-tokoh juga golongan masyarakat.




2. Makanya, Saya berasa yakin, bahawa setiap seorang daripada kita berada di sini kerana, ingin sama-sama memperingati satu peristiwa amat penting dalam perjalanan negara, yakni, kemerdekaan Malaysia tercinta, tanggal 31 Ogos 1957.

3. Justeru, sebelum dilanjutkan sebarang kata-kata, saya pinta kepada semua, terutamanya dalam dewan ini, sama ada yang sedang duduk, mahupun saudara-saudara yang masih berdiri.

4. Tanpa membuang masa lagi, marilah, kita sama-sama menumpukan seluruh perhatian, berdiam dan bertafakur, sambil memejamkan mata masing-masing sebentar, tunduk, dengan rasa keinsafan.

5. Renungkanlah sejenak sedalam-dalamnya, dan tanyalah di sanubari masing-masing, apakah setiap daripada kita ini, benar-benar mengerti serta mampu menghayati maksud kemerdekaan.

Saudara dan saudari sekalian, kini, bukalah kembali mata kita masing-masing.

6. Satu hal lagi yang tidak boleh dilupakan, apabila kita dapat berkumpul dengan aman sebegini, tidak ada orang yang boleh menafikan bahawa, adalah berkat jasa dan bakti para perajurit serta anggota keselamatan tanah air, yang selama ini, tidak pernah kenal erti penat lelah, berkorban apa saja, bagi menjamin rakyat dapat hidup dalam keadaan aman serta sentosa.

7. Kerana itulah, kita menolak sebarang bentuk demonstrasi jalanan yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam dan hanya menyusahkan rakyat, kerana ia tidak langsung mencerminkan kematangan, bahkan bukanlah sebagai saluran yang betul untuk menyuarakan pandangan dalam sebuah negara berdemokrasi.

8. Seperti diketahui, apa yang berlaku sehari dua ini adalah sungguh tidak wajar. Oleh sebab ia mempamerkan kecetekan minda dan miskin semangat kebangsaan.

9. Waima, Mufti Kelantan sendiri telah menyatakan bahawa demonstrasi jalanan dan perhimpunan Bersih 4.0 tersebut adalah hukumnya Haram di sisi agama Islam.

10. Oleh itu, segala susah payah anggota keselamatan akan sentiasa kita beri penghargaan dan penghormatan yang tinggi kerana bakti merekalah, keharmonian serta kerukunan dapat terus dikecapi pada setiap masa.

11. Lantaran, marilah kita beramai-ramai merakamkan ucapan penghargaan dan tahniah serta memberikan tepukan gemuruh kepada kesungguhan Anggota Tentera Malaysia dan ucapan syabas pula di atas keberanian dan ketegasan pasukan Polis Diraja Malaysia, demi mendaulatkan negara!

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

12. Sebetulnya, kemerdekaan hanya datang sekali. Ia bukanlah barang mainan mahupun timbul berulang-ulang. Kerana itu, ia harus dijaga, dipupuk dan dipelihara sebaik-baiknya.

13. Hakikatnya, kemerdekaan adalah sebuah anugerah yang besar lagi tidak ternilai. Ia mengajar sesebuah watan itu berdiri di atas kaki sendiri, mendewasa, dan mematangkan diri.

14. Dalam hal negara ini, Alhamdulillah, satu titik persefahaman telah pun kita capai sepertimana saya sebutkan pada hari Malaysia yang lalu bahawa, kini, tidak timbul lagi polemik, dan menetapkan bermula tahun lepas, semua rakyat Malaysia akan menyambut hanya satu tarikh kemerdekaan sebagai simbolis solidariti, sehati sejiwa, bagi seluruh Malaysia.

Saudara dan saudari,

15. Di satu sudut, Sabah dan Sarawak, dari penghujung Ulu Lachau membawa ke Lahad Datu, nun jauh di pinggir sana,

16. Pada sisi yang lain, bermula dari Arau Perlis hingga ke Tanjung Piai di penamat Tanah Semenanjung, bahkan untuk pengetahuan semua, Tanjung Piai itulah pengakhirnya Tanah Besar Asia.

17. Selanjutnya, bumi Malaysia yang bertuah dan langit pertiwi yang kita junjung ini, sekarang didiami oleh hampir 30 juta penduduk, dengan ratusan etnik dan suku, antaranya, orang Melayu, Cina, India, Iban, Orang Ulu, Melanau, Kadazan, Murut, Dusun, Orang Asli, orang Siam keturunan Malaysia, Punjabi dan orang-orang Serani dan lain-lain lagi.

18. Lantas, pada malam ulangtahun kemerdekaan ini, saya berdiri di sini, bukan sekadar sebagai seorang Perdana Menteri, tidak juga hanya menjadi pemimpin parti,…

19. Tetapi, saya berdiri di sini, sebagaimana saudara dan saudari semua, dan berucap sebagai warga Malaysia yang bersemangat serta bangga dan ingin menyatakan dengan tegas bahawa,…

20. …negara serta tanahair ini, adalah milik setiap seorang daripada kita dan kita tidak akan membenarkan sesiapapun menjadi dalang serta pengkhianat untuk memusnahkannya.

Hidup Malaysia, Hidup Malaysia!

Rakyat Malaysia Yang Dikasihi,

21. Bersabit itu juga, jangan ada sesiapa yang cuba mengadu domba, meski apapun akan berlaku,… biar berdentum guruh di langit, walau bumi berkeping dua, persarikatan mulia antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung, bak pesan orang lama-lama, bercerai kasih bertalak tidak, ibarat besi terpatri mati.

22. Oleh yang demikianlah, malam ini, buat kali kedua, sejak menjadi Perdana Menteri, saya memilih untuk berdiri secara langsung di hadapan saudara dan saudari sekalian, tidak seperti perutusan biasa, supaya saya dapat berucap dari hati ke hati kepada semua yang mendengar.

23. Sebelum itu, adalah molek kita mengimbau sedikit tentang dari mana kita datang,… di mana kita kini, dan ke manakah arah tuju negara selepas ini.

24. Pokoknya, kita wajar, terus menghitung syukur ke hadrat Ilahi kerana, selama lebih 50 tahun, telah sama-sama mengharungi dan melalui suka duka, pembinaan sebuah negara bangsa.

25. Oleh itu, jangan sesekali dilupa, semasa meraih kemerdekaan, dunia umumnya, sangsi dan ragu-ragu akan kemampuan sebuah negara kecil ini, dengan penduduk yang berbilang bangsa bahawa, mampukah kita untuk mencipta dan menempa kisah kejayaan.

26. Sebaliknya, setelah dinaungi lebih 170 tahun oleh pentadbiran British, istilah yang digunakan ramai ketika itu adalah, pihak British sendiri ‘mengangkat tabik’ atas kesanggupan orang-orang Melayu, khususnya perjuangan UMNO, dan parti Perikatan, yang cekal dan tabah untuk mengambil tanggungjawab serta berani untuk bernegara sendiri.

27. Oleh yang demikian, kalau ada sesiapa pun mempersoal, mengapa kemerdekaan begitu dekat dengan hati orang Melayu, begitu dekat dengan UMNO dan Barisan Nasional, jawapannya, tidak lain dan tidak bukan, kerana, kemerdekaan inilah lambang kemuncaknya perjuangan, tanda tingginya kesungguhan, dan bukti sifat penuh berani oleh orang-orang Melayu, UMNO dan rakan-rakan parti komponen, demi membina sebuah negara bangsa.

28. Malah, telah tercatat pada hari kemerdekaan disebutkan bahawa, sebuah bintang baharu telah bersinar di Timur, kata orang, sama ada naik atau turunnya bintang itu, yakni Malaysia tercinta, kitalah, kitalah, yang menentukan nasibnya.

Saudara dan Saudari,

29. Syukur, terbukti dan ternyata, selama puluhan tahun ditunjangi pentadbiran kerajaan yang cekap dan sistematik, untung nasib sebuah bintang di Timur ini telah digilap dengan sungguh bersinar serta kini mampu diperbanggakan.

30. Kita telah bertatih daripada sebuah negara pertanian, menjadi sebuah negara perindustrian dan kini dengan deras memacu ke arah menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

Syabas kepada kebijaksanaan para pimpinan terdahulu sehingga kini, para kakitangan awam dan tentunya, tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia!

Saudara dan saudari,

31. Kenapa saya sorot dan imbaukan kembali sedikit sebanyak kisah kemerdekaan negara. Sebabnya, mahu tidak mahu, tawarikh perlu sentiasa dibugar dan diperingatkan, bukan sahaja kepada generasi umum, yang barangkali mudah lupa asal-usul dan pastinya, seperti kata para cerdik pandai, kita tidak mahu kemudiannya dihukum pula oleh sejarah itu sendiri.

32. Bahkan dalam pidato ketika dimasyhurkan kemerdekaan, disebut bahawa, kita telah menjadi sebuah negara berdemokrasi, yang merdeka lagi berdaulat, berdasarkan kepada kebebasan dan keadilan serta mengekalkan keamanan di antara segala bangsa.

33. Manakala, mencecah lebih 50 tahun kemerdekaan sesudah itu, ditakdirkan pula saya mengambil alih tampuk pentadbiran.

34. Bermula 3 April 2009, Kerajaan telah melakarkan Dasar Transformasi Nasional, sebagai falsafah teras kepada pentadbiran negara.

35. Sekiranya hampir 60 tahun lalu, Tunku telah menzahirkan beberapa kriteria asas tersebut kepada sebuah watan yang baru menempa kemerdekaan, kini, kita sedang melangkah lebih jauh berasaskan kriteria-kriteria itu, sepertimana saya telah simpulkan ketika membentang Rancangan Malaysia Kesebelas bahawa, falsafah pembangunan negara, mestilah lebih tuntas dan konkrit.

36. Antaranya, untuk mencapai pertumbuhan yang bersifat inklusif, sustainable, growth with equity, kompetitif, progresif, rakyat yang bersahsiah dan morally strong, dalam satu kehidupan masyarakat yang saling berpadu, mengamalkan pula kesederhanaan yakni wasatiyyah, berpaksikan kepada prinsip 1Malaysia.

37. Makanya, di persimpangan ini, benarlah kata-kata Almarhum Tunku bahawa, cabaran lebih besar adalah pengisian kemerdekaan.

38. Ertinya, dalam meniti permatang kejayaan negara, kita tidak akan sunyi daripada dihadapkan oleh pelbagai situasi dan kemelut, sama ada berbentuk siasah mahupun ekonomi serta kini ternyata, kita dihadapkan dengan cabaran domestik, ekonomi, di kala negara sedang bergerak pantas dan menuju gerbang menjadi entiti sebuah negara maju, High Income Advanced Economy.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

39. Pada malam ini, seperti yang saya nyatakan, adalah elok saya perjelaskan dalam bahasa yang lebih mudah, agar difahami oleh rakyat teramai, seperti pakcik-pakcik dan abang-abang yang bersembang di kedai-kedai kopi, sambil minum teh tarik, para surirumah, anak-anak kita Generasi Y, para mahasiswa di kolej dan universiti, kawan-kawan kita yang aktif di alam siber serta yang pentingnya masyarakat keseluruhan, akan apa yang sebenarnya sedang berlaku.

40. Pertama, kita mendengar kisah-kisah, yang berlegar-legar di sekeliling masyarakat, misalannya, tentang kemerosotan nilai ringgit berbanding nilai dolar Amerika, kejatuhan harga minyak dunia, naik turun harga komoditi yang tidak menentu, seperti minyak sawit, yang sebenarnya semua ini adalah berada di luar kawalan kita.

41. Bahkan, sejak beberapa bulan lalu, rakyat telah disogokkan dengan bermacam-macam maklumat dan cerita-cerita yang tidak menyenangkan.

42. Hatta, ramai di antara kita yang sampai telah percaya, kononnya Malaysia akan menjadi bangkrap seperti negara Greece. Katanya lagi, ekonomi negara pula semakin meruncing dan gawat serta pelbagai lagi andaian atau spekulasi yang disebarkan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab, atas agenda-agenda tertentu masing-masing.

43. Lantas, jika selama beberapa bulan ini, saya hanya banyak berpeluang dan bertemu dengan kelompok-kelompok yang lebih khusus, berkaitan penyelesaian isu-isu ekonomi di peringkat-peringkat tertentu sahaja.

44. Makanya, pada majlis malam ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk seboleh mungkin, dalam ruangan yang terhad, bagi memperbetulkan keadaan, beberapa salah faham dan menerangkan serta memperjelaskan isu-isu berbangkit, supaya rakyat dapat mendengar terus dari saya, sebagai pemimpin, agar menjadi lebih rasional, lebih faham serta lebih tenang.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

45. Secara ringkasnya, kita boleh bahagikan maklumat dan sumbernya yang kita sering perolehi, kepada dua, pertama sekali, berasaskan kepada fakta-fakta yang benar dan bersifat realiti atau sahih lagi boleh dipercayai.

46. Keduanya pula, adalah maklumat dan sumbernya yang didapati atas dasar dengar-dengar khabar sahaja, persepsi dan tekaan serta bersifat propaganda semata-mata.

47. Misalnya, sewaktu kegawatan ekonomi 1998, Kerajaan yang mentadbir ketika itu, telah berjaya menerangkan kepada rakyat, dengan memperbetulkan persepsi bahawa, keadaan ekonomi pada waktu tersebut, adalah di luar kawalan Kerajaan, malah berupaya meletakkan segala kesalahan, kepada penyangak matawang iaitu George Soros.

48. Seringkali pula semua maklumat berbentuk sebegini, begitu cepat dihidang dan disebarkan melalui media sosial, hingga menjadi viral tidak menentu dan disensasikan sesuka hati.

49. Makanya, saudara saudari sekalian, saya ingin menerangkan dengan jelas bahawa, apa yang rakyat perlu faham adalah, sekurang-kurangnya, lima petunjuk utama ekonomi negara sebagai petanda sebenar bahawa, Malaysia pada realiti dan hakikatnya, masih berada di atas jajaran kukuh serta landasan yang betul.

50. Petunjuk pertama; Di sebalik segala ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi serantau dan global, saya ingin maklumkan kepada rakyat sekalian, usahlah menjadi terlalu bimbang, hakikatnya ekonomi semasa Malaysia masih berkembang, contohnya tahun lepas, kita berada pada kadar 6 peratus dan tahun ini pula insyaAllah, akan mencapai 5 peratus.

51. Tidak seperti tahun 1998, ketika berlakunya krisis kegawatan ekonomi Asia, di mana ekonomi kita telah menguncup sebanyak negatif 7 peratus.

52. Petunjuk kedua; Sebetulnya, fundamental atau asas ekonomi negara pada hari ini, lebih kukuh lagi kerana kita telah mempelajari dari kesan krisis tersebut.

53. Antara contohnya seperti defisit fiskal Kerajaan yang telah dapat dikurangkan dari negatif 6.7 peratus pada tahun 2009, kepada 3.2 peratus yang dijangka akan dicapai pada tahun ini.

54. Seterusnya, sistem perbankan dan kewangan yang kekal mempunyai modal kukuh dan kecairan yang mencukupi. Kadar pinjaman tidak berbayar dan inflasi yang rendah serta terkawal.

Saudara dan saudari,

55. Petunjuk ketiga; kejayaan dasar-dasar negara khususnya melalui Dasar Transformasi Nasional, telah membawa kepada penurunan kadar kemiskinan, daripada 49.3 peratus pada tahun 1970, kepada hanya 0.6 peratus pada tahun 2014.

56. Bagi Keluaran Dalam Negara Kasar pula telah meningkat sebanyak 47.7 peratus dari 2009 hingga 2014. Manakala, sebanyak 1.8 juta peluang pekerjaan telah diwujudkan sejak pelancaran Program Transformasi Ekonomi pada 2010.

57. Petunjuk keempat; Sekalipun Malaysia terus dihadapkan dengan sekian banyak cabaran domestik dan di arena global, kita masih kekal diiktiraf di mata dunia, kerana masih mampu mengawal pengurusan ekonomi negara dengan begitu baik.

58. Ini terbukti, melalui penarafan dan laporan daripada agensi-agensi kewangan antarabangsa seperti Fitch Ratings, Moody’s, Standard & Poor’s, IMF, yang telah memberi gambaran sebenar, tentang keadaan serta pengurusan ekonomi semasa.

59. Di sinilah, saya mahukan rakyat sekalian faham bahawa, segala kajian dan dapatan terhadap pencapaian Malaysia, bukanlah direka-reka, jauh sekali dipetik dari awan nan biru.

60. Senarai penaraf-penaraf peringkat antarabangsa yang saya sebutkan tadi, merupakan pengabsah-pengabsah berwibawa tinggi yang tidak boleh dipertikai dan diperentengkan kerana hasil kajian dan pandangan merekalah yang diterima pakai di seluruh dunia.

61. Antara lain lagi, Malaysia telah berjaya menduduki tangga ke-12 daripada 60 negara dalam World Competitiveness Yearbook 2014.

62. Namun, saya sedar bahawa, telah timbul keresahan akibat kejatuhan nilai matawang. Harus disedari bahawa ini merupakan fenomena global dan hampir kesemua negara tidak terkecuali daripada menerima kesan kejatuhan mendadak harga minyak dan komoditi, pengucupan ekonomi dunia, termasuk negara China, sebagai rakan dagang terbesar Malaysia.

63. Bagi maksud ini, saya perakui ada faktor-faktor dalaman yang masih berada dalam kawalan kita untuk dilakukan penambahbaikan.

64. Maka, beberapa hari lalu, saya telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Ekonomi, dianggotai 10 pakar ekonomi dan tokoh korporat, yang akan bertindak segera menimbang segala perancangan dan tindakan bersifat serta-merta sehingga kemelut ekonomi menjadi reda.

65. Apa yang penting,… saya beri jaminan bahawa, Kerajaan tidak akan hilang fokus, malah akan terus membela untung nasib dan mendahulukan kepentingan, juga kesejahteraan rakyat.

66. Kerajaan komited untuk melaksanakan agenda-agenda pembangunan yang dekat di hati rakyat, seperti projek perumahan mampu milik, penambahbaikan projek kesihatan, meningkatkan kualiti pendidikan dan latihan serta kemahiran, seterusnya menangani kos sara hidup rakyat.

67. Akhirnya, petunjuk kelima; jangan sesekali kita lupa bahawa, sekian banyak lagi usaha dan ikhtiar telah dilaksanakan oleh Kerajaan seperti penubuhan UTC, RTC, BR1M, Kedai Rakyat 1Malaysia dan sebagainya selama ini, telah berjaya membantu meringankan beban sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Saudara dan saudari,

68. Jelas terbukti bahawa, Malaysia bukan negara yang gagal, seperti yang didakwa, bukannya nak bangkrap, malah kita pada hakikat sebenarnya masih berada dalam keadaan yang stabil, dengan ‘fundamental’ yang kukuh dan akan terus mampu bertahan serta berdaya saing.

69. Jadinya, rakyat sekalian, hakimilah Kerajaan melalui peti undi pada pilihanraya kelak. Sehingga itu, berilah peluang kepada Kerajaan ini untuk terus memikul amanah dan berbuat sehabis baik.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

70. Bumi mana yang tak ditimpa hujan, laut mana yang tidak bergelora. Justeru, berbekalkan pengertian surah Al-Insyirah bahawa, bagi setiap kesusahan, akan datangnya kesenangan dan bahagia yang bakal menanti.

71. Manusia merancang, Tuhan jua merancang, tentunya rancangan Allah adalah yang terbaik,…

72. Merujuk hal ini, pada 28 Julai yang lalu, dengan hati yang bertawakal, saya telah membuat keputusan untuk merombak semula kabinet Persekutuan, buat julung-julung kalinya, setelah mendapat mandat daripada Pilihanraya Umum ke-13.

73. Semestinya, saya dan rakan-rakan yang setia dalam anggota pentadbiran dan Barisan Nasional berjanji dan menjamin akan terus berikhtiar gigih dan komited dalam memakmurkan Malaysia serta mensejahterakan rakyat, bahkan tidak sesekali menoleh ke belakang.

74. Suka saya ulangi disini…Sekali layar sudah dikembangkan, apabila sauh sudah dilabuhkan, pantang nakhoda dan anak-anak kapalnya berbalik haluan.

Saudara dan Saudari,

75. Lalu…saya menyeru, ambillah semangat dan ceduklah roh kemerdekaan 1957, seolah-olah bendera Union Jack baru turunkan dan besok paginya kita mula bernegara baru.

Ladies and gentlemen,

76. Indeed, we will never allow anyone from within or from outside, to simply walk in and steal, ruin or destroy all that we have built so far.

77. Akan tetapi, sayang seribu kali sayang, pada ambang kemerdekaan yang penuh bermakna ini, ada segelintir pihak yang sanggup dan tergamak mencetuskan bibit-bibit persengketaan dan api bermusuhan.

78. Dari itu, beringatlah semua, jika kita tidak bersatu, hilang solidariti dan hilang kesepaduan, segala masalah tidak akan dapat diselesaikan, bahkan segala yang kita bina secara susah payah selama ini akan hancur dan musnah begitu sahaja.

79. Pastinya, walau apapun cabaran yang melintang, meski apa dugaan yang melanda, saya, secara peribadi yang lahir dari leluhur kepimpinan negara dan tentunya bersama rakan-rakan, Dato’ Sri Zahid Hamidi dan yang lain-lain dalam anggota pentadbiran, tidak mungkin akan membiarkan Malaysia sebagai bintang yang telah lahir di Timur hampir 6 dekad lalu, jatuh,.. bahkan, kita akan terus menggilap dan membangun tanahair tercinta ini hingga muncul makmur di gelanggang dunia sampai bila-bila. InsyaAllah.

80. Semoga Pencipta Yang Maha Berkuasa, kekal memayung-mayung dan merahmati Negara bertuah ini. Dijauhkan dari segenap mara bahaya zahir dan batin.

Saudara dan saudari sekalian,

81. Bersamalah kita berdiri, bersamalah kita bangun dan bersamalah kita bangkit, dengan hati yang ikhlas dan tekad yang diperbaharui, memandang masa depan dengan jiwa yang gagah dan merdeka dalam satu solidariti, senada seirama, sehati sejiwa, kita gemakan,…

Merdeka!
Merdeka!
Merdeka!

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget