Assalamualaikum, Salam Rakyat Tertindas!
Saya hadir sebagai seorang guru Kelas Fardhu Ain (KAFA) dan rasa terpanggil untuk membawa lebih kurang 10,000 suara hati guru KAFA yang lain. Sudah sekian lama kami ternanti-nanti hasil perbincangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) agar dinaikkan elaun dari Rm1300 (gaji bersih Rm1212) kepada Rm1500. Acapkali tiap tahun adakan perbincangan tetapi hasilnya tidak ketahuan!
Sejak dari manifesto Pakatan Rakyat menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 lagi, janji-janji manis ini sentiasa didendangkan di telinga-telinga para ustaz dan ustazah di Selangor. Ya, kami tidak menafikan telah banyak penambahbaikan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor semenjak Tan Sri Khalid Ibrahim sehinggalah YAB Dato Menteri Besar Azmin Ali.
Mungkin ada yang beranggapan kami sekadar mengajar Alif, Ba, Ta di sekolah, bekerja hanya 5jam sehari dari jam 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari (sessi pagi) dan jam 1 petang hingga 6 petang (sessi petang) sudah cukup dan perlu bersyukur sahaja. Sedangkan tugas sebenar kami seperti "engineer" utama di setiap sekolah-sekolah agama. Sehingga kini kekosongan guru tetap (DG29) yang menjadi rebutan umpama seketul daging yang mahu dilahap oleh ribuan karnivor. Kekosongan jawatan tetap tersebut untuk tahun ini sahaja di isi oleh ribuan guru KAFA dan dipanggil temuduga seramai lebih kurang 500 orang serta akhir sekali yang menerima jawatan tersebut hanya 66 orang sahaja (itupun berstatus kontrak). Apakah nasib ribuan guru-guru KAFA yang lain yang hanya berstatus sambilan sahaja?
Kami dibuat seperti penagih yang dahagakan jawatan tetap manakala kebajikan kami sebagai guru yang bertanggungjawab memegang amanah mendidik insan terus terabai sebegitu rupa. Dari Yb Dr Halimah Ali yang dahulunya memegang jawatan Exco Pendidikan sehinggalah Yb Dr Ahmad Yunus Hairi selaku Exco Hal Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi yang baru-baru ini (30 Januari 2015) menyempurnakan perasmian penutup Majlis Multaqa Imam, Ahli Jawatankuasa Masjid, Guru KAFA dan Guru Takmir Peringkat Negeri Selangor 2015 di KUIS mengisytiharkan kenaikan elaun tersebut.
Cuba bayangkan, dalam keadaan rakyat terus ditekan oleh kenaikan kos sara hidup sekarang ini, ditambah pula dengan pelaksanaan GST, mana mungkin seorang guru KAFA yang bergaji bersih Rm1212 mengurus ekonomi rumah tangga, dibebankan dengan kerja-kerja pengkeranian seperti guru biasa dan bagaimana seorang yang berstatus bujang yang bakal atau mahu mendirikan rumah tangga pula? Oleh sebab itu, ramai guru-guru KAFA seperti saya yang terpaksa buat kelas mengaji dari rumah ke rumah, kerja di stesen-stesen minyak di sebelah malam, memotong rumput rumah ke rumah, menjual kuih-muih, bahkan ada yang bekerja sebagai tukang sapu (cleaner) pada waktu pagi semata-mata mahu menampung kos sara hidup yang semakin parah sekarang ini.
Dengan ini, saya mewakili lebih kurang 10,000 warga pendidik KAFA, memohon jasa baik Kerajaan Negeri Selangor bukan sahaja mempertimbangkan kenaikan elaun kami tetapi melunaskan janji manifesto Pru13 dengan kadar segera! Kerajaan Negeri Selangor menetapkan garis kemiskinan pada kurang RM 3,500 sebulan setiap isi rumah dan hakikatnya kesemua guru-guru KAFA adalah rakyat yang memenuhi kekosongan golongan miskin itu.
Jika betul kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mahu mengangkat negeri ini sebagai hub ilmuan dan pendidikan, sila selesaikan masalah guru KAFA! Jangan pula kami mengumpamakan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sebagai tin kosong yang berdegar dengan bunyi yang bising sahaja.
Yang Benar,
Ekhsan Bukharee Bin Badarul Hisham
(Guru KAFA)
No comments:
Post a Comment