KL CHRONICLE: Sekali Lagi @drwanazizah Calon #PRKPermatangPauh #MSMW2015 #MSMWTwitterthon

Saturday, April 25, 2015

Sekali Lagi @drwanazizah Calon #PRKPermatangPauh #MSMW2015 #MSMWTwitterthon


Seperti yang diramalkan berbulan lama, PKR menamakan ADUN Kajang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh yang akan dipertandingkan 7 Mei ini.

Pengumuman yang ditunggu-tunggu itu dibuat timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali jam 11.20 malam ini di dewan yang dipenuhi ahli politik Pembangkang, penyokong dan pengamal media di SP Arena di Seberang Jaya.



Majlis itu turut dihadiri pemimpin atasan PR dari ketiga-tiga PKR, DAP dan hanya tiga pemimpin PAS dari golongan Liberal dan Anwarinas.

PKR diwakili antaranya oleh Naib Presiden Nurul Izzah Anwar, Dr Xavier Jayakumar, Chua Tian Chang dan Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ahli Majlis Pimpinan Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Antara yang mewakili DAP ialah pemimpin tertinggi termasuk Setiausaha Agung Lim Guan Eng, Pengerusi Negeri Chow Kon Yeow, Ketua Wanita Chong Eng, dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam dan Pengarah Jentera Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh Steven Sim.

PAS diwakili Timbalan Presiden Mohamad Sabu, Pengarah Pilihan Raya Pusat Dr Mohd Hatta Ramli, bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin - semuanya memberi jaminan akan berdiri teguh menyokong kempen PKR walaupun secara dasarnya PAS Permatang Pauh akan memboikot PRK kali ini.

Dr Wan Azizah akan ditentang calon muda Barisan Nasional Suhaimi Sabudin, 43, seorang pengarah urusan syarikat pembinaan dari Guar Perahu, Permatang Pauh yang mana beliau juga merupakan seorang anak tempatan.

Beliau juga dijangka berdepan seorang calon bebas, Dr Abdullah Zawawi Samsudin, 47, seorang pengamal perubatan, yang pada pilihan raya umum lepas hilang wang deposit dalam pertandingan 3 penjuru bagi kerusi Permatang Pauh itu.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget