KL CHRONICLE: @MadiAzmadi : Persoalan Dr Mahathir – Perlukah @NajibRazak Menjawab?

Thursday, April 9, 2015

@MadiAzmadi : Persoalan Dr Mahathir – Perlukah @NajibRazak Menjawab?



Tun Dr. Mahathir Mohamad mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat beliau terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak termasuklah berkenaan isu 1MDB dan kes wanita Mongolia, Altantuya. Sementara Najib pula dilihat 'masih belum menjawab' secara lisan perkara yang telah dibangkitkan oleh Dr Mahathir.




Persoalan di sini, perlukah Najib menjawab persoalan yang telah dibangkitkan oleh Dr Mahathir?

Najib telahpun mengarahkan agar siasatan dijalankan oleh pihak Ketua Audit Negara (AG) serta Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC). Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telahpun menyatakan kesediaan mereka untuk menyiasat apa-apa bentuk penyelewengan, jika ada, sejurus selepas laporan diterima dari pihak AG dan PAC.

Melihatkan komitmen Najib untuk membuka laluan penuh kepada AG dan PAC untuk menyiasat 1MDB sebenarnya telah menjawab persoalan yang telah dibangkitkan oleh Dr Mahathir. Tindakan Najib untuk tidak menjawab secara umum tentang persoalan tersebut adalah wajar memandangkan penyiasatan masih sedang dijalankan.

Tidak timbul isu ketelusan penyiasatan AG dan PAC terhadap 1MDB kerana melihatkan isu-isu sebelum ini, laporan AG serta PAC senantiasa dinantikan oleh pihak pembangkang untuk digunakan sebagai modal untuk menghentam kerajaan. Laporan ini jugalah yang akan dijadikan modal oleh pembangkang secara berterusan sepanjang masa tanpa mengira waktu untuk menunjukkan kononnya ketidak cekapan kerajaan. Jadi laporan AG dan PAC sememangnya ada kredibiliti.

Jadi, semua pihak haruslah memberi ruang masa dan waktu kepada pihak AG dan PAC untuk menjalankan siasatan mereka secara rapi. Dan sehinggalah laporan siasatan siap, wajarlah arahan Najib kepada AG dan PAC dijadikan jawapan kepada persoalan mengenai 1MDB ini.

Selain kes 1MDB, Dr Mahathir juga turut membangkitkan perihal anggota polis iaitu Sirul Azhar dan Azilah Hadri yang telah didapati bersalah membunuh Altantuya. Dr Mahathir mempersoalkan tentang hukuman gantung yang dijatuhkan ke atas mereka sedangkan mereka hanya mengikut arahan.

Sirul dan Azilah telah menjalani proses kehakiman yang sangat panjang iaitu dari Mahkamah Tinggi, Rayuan dan seterusnya Persekutuan. Bermakna, kedua mereka telahpun diberi ruang seluas-luasnya untuk membela diri dan menafikan hukuman yang bakal mereka hadapi.

Namun begitu, dalam ketiga-tiga mahkamah tersebut, Sirul dan Azilah gagal mengetepikan pertuduhan ke atas mereka dan sepanjang proses kehakiman berlangsung, Sirul dan Azhar tidak menyatakan tentang mana-mana individu yang memberikan arahan kepada mereka untuk membunuh Altantuya.

Isu kononnya Sirul dan Azilah mungkin terpaksa menyembunyikan nama individu terbabit kerana ditekan pihak tertentu sepatutnya tidak timbul kerana dari awal hingga akhir proses kehakiman, mereka berdua sedia maklum bahawa pertuduhan ke atas mereka adalah sama ada bebas ataupun ke tali gantung.

Bukankah lebih baik mereka berdua menggunakan peluang yang ada melalui proses kehakiman ini untuk mendedahkan perkara sebenar seterusnya mengheret individu yang telah memberikan arahan tersebut ke tali gantung?

Sekali lagi, tindakan Najib untuk tidak menjawab persoalan ini adalah wajar kerana proses kehakiman telah berjalan begitu lama dan ruang telah diberikan seluas-luasnya kepada Sirul dan Azilah untuk mengetepikan pertuduhan ke atas mereka serta membawa individu yang sememangnya terlibat ke muka keadilan. Tidak lupa, Najib juga telah berkali-kali menafikan penglibatan beliau dengan kes ini termasuklah pernah mengikat sumpah dengan nama Allah.

Dr Mahathir telah menggunakan hak beliau untuk menyuarakan pendapat. Sementara itu, pendirian Najib untuk tidak menjawab secara umum persoalan yang ditimbulkan Mahathir juga adalah wajar memandangkan persoalan yang dibangkitkan sudahpun mempunyai jawapannya sendiri.

Persoalan kepada anda yang membaca perkara di atas, jika sekalipun Najib menjawab persoalan tersebut secara umum, adakah anda bersedia menerima jawapan tersebut dengan akal yang waras dan terbuka atau anda hanya akan menerima jawapan yang anda telah tetapkan di dalam fikiran anda dan hanya mahu mendengar jawapan yang anda hendak dengari?

Tanyalah diri anda.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget