Juruterbang penerbangan AirAsia X dari Kuala Lumpur ke Jeddah hari ini terpaksa membatalkan perjalanan dan berpusing-pusing di ruang udara Selat Melaka selama 5 jam bagi menghabiskan minyak sebelum selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Sepang, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes.
“Satu sistem tujahan automatik tidak berfungsi dengan sempurna. Sebenarnya boleh untuk terbang tetapi kita memilih untuk kembali ke pangkalan,” katanya kepada AFP dalam satu mesej dan menganggap ia isu kecil.
Fernandes mengesahkan pesawat AirAsia X D7172/XAX172 mendarat dengan selamat di klia2 petang tadi.
Bernama melaporkan, Fernandes yang mengesahkan perkara itu berkata ia rutin biasa bagi pesawat Airbus 330-343 untuk kembali ke pangkalan.
Berita mengenai insiden itu tersebar luas dalam media sosial, dan pemantauan menerusi laman web radarflight 24 menunjukkan pesawat itu yang berlepas dari klia2 pada 12.20 tengah hari berpatah balik dan berlegar-legar di ruang udara Selat Melaka.
Ia sepatutnya mendarat di Jeddah pada 11.15 malam. – 8 Februari, 2015.
No comments:
Post a Comment