KL CHRONICLE: PAS hanya pengalas kaki rakan dalam Pakatan Rakyat? – Aspan Alias

Monday, August 4, 2014

PAS hanya pengalas kaki rakan dalam Pakatan Rakyat? – Aspan Alias



PAS secara tidak sedar dijadikan pengalas kaki oleh PKR serta satu lagi parti yang bersekutu dengannya. PAS dengan tenaga kerjanya yang begitu gigih dalam Pilihan Raya Umum (PRU) tahun lalu mendapat keputusan berkurangan jumlah kerusi yang dimenanginya berbanding denga PRU 2008. Parti itu hanya memangi 21 kerusi, satu berkurangan daripada PRU 2008.



Yang mendapat lonjakan jumlah kerusi dimenangi ialah DAP iaitu daripada 28 kepada 38. Maka ramai yang bercakap dengan saya mereka tidak berpuas hati dengan ungkitan pemimpin DAP mengatakan “PAS is nowhere without DAP and the Chinese support”.

Sesungguhnya keadaannya adalah terbalik, PAS mendapat berkurangan kerusi jika dibandingkan pada 2008. Bak kata pepatah, 'sakit peha kanan peha kiri pun menumpang rasa juga sakitnya'. Saya terasa keadaan yang PAS akan kehilangan banyak kerusi dalam pilihan raya lalu.

Saya mengorbankan masa membantu calon-calon PAS terutama di Kedah dalam PRU itu dan dalam pengamatan saya orang Melayu Islam walaupun sudah tidak berapa selesa dengan Umn mereka tidak dapat menumpukan sokongan terhadap PAS kerana beberapa isu panas yang disentuh oleh DAP. Hanya saya tidak begitu pasti semasa itu kerana saya melihat sokongan secara terbuka amat jelas rakyat menyokong PAS dengan kuat.
“Kenapa Guan Eng menyentuh isu nama Allah dalam ucapannya semasa menyambut hari Krismas kerana ia isu sensitif kepada orang Melayu kita? Kenapa PAS tidak berjaya memasukkan bersama hudud dalam manifesto Pakatan Rakyat, sedangkan itulah salah satu isu perjuangan PAS yang besar?” ramai yang bertanya berbisik kepada saya.

Ada yang bertanya, “Adakah PAS ini hanya dijadikan sebagai tempat parti lain mengalas kaki dan dianggapkan sebagai pelapik saja? Pelapik untuk memberikan keselesaan kepada rakan kongsi dalam Pakatan itu saja?”

Semuanya ini pertanyaan daripada kaum Melayu di atas pagar kerana mereka menghabiskan masa di tempat penginapan saya selepas majlis ceramah saya di banyak tempat.

Saya berpendapat sedikit sebanyak risiko yang bakal dihadapi PAS, tetapi oleh kerana ketika itu  kempen pilihan raya saya hanya memberikan jawapan setakat saya mampu menjawabnya. Selama tiga minggu saya berulang alik ke Kedah saya tidak berada dalam ketenangan kerana ‘feedback’ negatif yang saya terima daripada mereka yang hadir dalam ceramah saya.

Saya juga bimbang dengan kerajaan PAS Kedah kerana nampak yang ramai pengundi di atas pagar tidak akan memberikan undi kepada PAS kerana isu siapa akan jadi menteri besar. Kebanyakan rakan kaum Cina saya memberikan ‘feedback’ yang PR Kedah akan kalah jika Uztaz Azizan masih dikekalkan sebagai MB.

Apabila sah Uztaz Azizan diumum akan terus memegang jawatan MB jika kemenangan berpihak kepada PR, saya lihat dengan jelas orang ramai terutamanya kaum Cina beralih menyokong BN yang mengumumkan seorang muda sebagai MB Kedah jika mereka menang, iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Saya menyebut isu ini kerana jika pucuk pimpinan PKR mengambil keputusan untuk meletakkan seorang calon lain menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim, ia tidak semestinya diikuti ahli dan penyokongnya lebih-lebih lagi kepada pengundi di atas pagar.

Keputusan meletakkan Uztaz Azizan sebagai menteri besar itu adalah keputusan PR yang dipersetujui semua parti di dalamnya tetapi akhirnya Uztas Azizan pun tidak berdaya mempertahankan kerajaan yang dipimpinnya. Isu ini berlarutan sampai ke seluruh negara dan jika DAP benar-benar berpengaruh untuk menentukan kemenangan bagi PAS, kenapa PAS mendapat kerusi berkurangan daripada DAP dalam pilihan raya umum lalu?

Sebenarnya PAS menjadi korban kerana kebaikannya. Sesungguhnya isu hudud dan nama Allah yang disebut DAP itulah yang merenggangkan pengundi kaum Cina dan Melayu terhadap PAS dan ini tidak boleh dinafikan. PAS hanya menjadi korban rakan-rakan kongsinya dengan ‘intrigue’ politik yang mengaibkan PAS.

Lantaran kenyataan DAP yang “PAS is nothing without DAP and Chinese support” itu adalah kelakar dan sangat tidak jujur. Sebaliknya jika PAS dan orang melayu tidak serius menyokong DAP semasa itu masakan DAP mendapat lonjakan jumlah kerusi yang dimenanginya.

Bagi saya kebaikan dan keterbukaan parti itu terhadap rakan kongsinya diambil sebagai kelemahan oleh parti-parti lain dalam PR. Mereka mengambil semuanya ‘for granted’ terhadap PAS.

Jika itu juga sikap parti-parti rakan kongsi dalam PR di Selangor kita tidak lagi berkeyakinan yang PR akan kekal mentadbir Selangor selepas ini. – aspanaliasnet.blogspot.com, 4 Ogos, 2014.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget