KL CHRONICLE: @MadiAzmadi : Gaza & MH17 – Kemanisan disebalik Kepahitan

Wednesday, July 23, 2014

@MadiAzmadi : Gaza & MH17 – Kemanisan disebalik Kepahitan

Gaza terus dibasahi air mata, Palestin terus-terusan bermandikan darah. Sementara di Malaysia, kesedihan serta rasa sayu memenuhi diri dan hati sanubari setiap rakyatnya tatkala menerima berita mengejut terhempasnya pesawat MH17 milik Malaysia Airlines yang dikatakan ditembak peluru berpandu. Dua kejadian di tempat berbeza namun berlaku pada waktu yang sama, bulan Ramadhan.




Rakyat Malaysia berasa marah dengan tindakan kejam tentera zionis Israel, bertambah marah apabila pesawat MH17 ditembak jatuh. Kejadian ini menyebabkan banyak nyawa insan tidak berdosa terkorban. Kerana sikap rakus manusia, kerana sifat hina manusia. Namun begitu, kita berpegang dengan janji Sang Maha Pencipta, setiap kejadian itu ada sebabnya, setiap kejadian itu ada hikmahnya.

Kita lihat di Palestin. Malaysia seperti dari awal dulu, komited dan berdiri teguh di belakang perjuangan penduduk Palestin. Tetapi apa yang berlaku hari ini berbeza. Jika sebelum ini tidak banyak negara yang sedar akan kekejaman zionis, tapi hari ini seluruh dunia bangkit menentang penindasan yang dilakukan. Kita harus faham, apa yang berlaku di Palestin bukanlah perang antara Yahudi dan Islam. Sebaliknya ia lebih kepada perang terhadap penindasan ke atas penduduk asal Palestin, perang terhadap kekejaman ke atas manusia. Justeru tidak hairan jika kita terbaca kisah penduduk Palestin beragama Kristian turut sama mengangkat senjata memerangi zionis Israel. Justeru tidak hairan seluruh dunia bangkit menyatakan bantahan terhadap kekejaman Israel.

Inilah hikmahnya. Dunia akhirnya membuka mata. Jika sebelum ini mereka melihat Islam sebagai agama ekstremis, hari ini mereka sendiri melihat betapa bangsat serta hinanya sebuah negara haram zionis Israel. Hari ini dunia melihat kenapa dan mengapa penduduk Palestin mengangkat senjata menentang penjajahan terhadap mereka. Sebelum ini, dunia tidak tahupun bahawa Palestin itu ditindas. Tapi hari ini dunia mengetahui dan hari ini dunia bersatu dibelakang perjuangan penduduk Palestin.

Kejadian gugurnya 4 orang kanak-kanak yang sedang bermain di tepi pantai akibat dibom tentera Israel sangat menyayat hati. Namun percayalah, matinya 4 orang kanak-kanak tersebut telah membuka dimensi baru akan perjuangan penduduk Palestin. 4 nyawa tidak berdosa itu akhirnya membuatkan seluruh dunia, seluruh umat manusia bersatu, bukan di bawah nama agama, bukan di bawah nama bangsa, sebalik di bawah nama kemanusiaan.

Tanggal 17 Julai 2014 melakar satu lagi tarikh hitam buat negara. Pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH17 yang membawa 298 orang penumpang dan anak kapal dalam perjalanannya menuju ke Kuala Lumpur dari Amaterdam terhempas disyaki ditembak jatuh oleh peluru berpandu. Kesemua penumpang dan anak kapal kapal dikatakan terbunuh. Kejadian hitam kedua dalam tempoh 6 bulan melibatkan syarikat penerbangan milik negara itu selepas kejadian hilangnya MH370.

Pada awalnya pelbagai tohmahan, cacian serta kata-kata nista dilemparkan ‘pakar aviasi segera’ yang lahir kali kedua selepas kejadian MH370. Kisah kononnya MAS menggunakan laluan dalam zon perang walaupun telah dilarang ataupun cubaan menjimatkan minyak dan masa perjalanan telah dijawab pihak berkuasa. Tiada kesalahan yang dilakukan MAS, semuanya telah diberi lampu hijau oleh badan aviasi dunia.

Seluruh syarikat penerbangan yang ada di dunia ini bersatu menyatakan rasa sedih dan simpati terhadap nasib malang yang menimpa MH17. Malah kedutaan Malaysia di negara-negara terlibat dipenuhi kalungan bunga dari segenap lapisan manusia yang menyatakan rasa sedih mereka. Sekali lagi pada bulan yang mulia ini, dunia disatukan dibawah nama kemanusiaan. Jenayah yang dilakukan terhadap MH17 mendapat kritikan seluruh dunia. Banyak pihak tampil menyatakan sokongan mereka kepada negara ini.

Kita lihat pula di Malaysia. Walaupun terdapat sebilangan rakyat negara ini yang tanpa fakta menuding jari kepada MAS dan kerajaan Malaysia, tetapi majoriti rakyat Malaysia berdiri teguh di bawah nama Malaysia menyatakan sokongan kepada MAS dan kerajaan.

Sudah lama rakyat Malaysia berpecah kerana perbezaan politik. Sudah lama pemimpin politik kita baik kerajaan mahupun pembangkang tidak bersetuju dalam banyak perkara. Namun kejadian hitam ini akhirnya membuatkan kita semua rakyat Malaysia bersetuju dengan satu matlamat yang sama, dalang kejadian harus dicari dan keadilan wajib ditegakkan. Reaksi positif dari parti pembangkang yang menyokong sidang Parlimen tergempar yang diumumkan Perdana Menteri menunjukkan bahawa rakyat negara ini boleh bersatu di bawah nama Malaysia. Inilah kemanisan disebalik kepahitan kejadian ini.

Sesungguhnya tiada apa yang perlu dan boleh dipolitikkan dalam kejadian MH17. MAS mahupun kerajaan Malaysia berada di pihak yang benar. Negara Malaysia ini bukan pihak yang perlu dipersalahkan. Tiba masanya, seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira warna kulit, bahasa percakapan mahupun fahaman politik, bersatu di bawah satu nama, Malaysia. Jika seluruh dunia boleh menyatakan sokongan kepada negara ini, kenapa tidak rakyat negara ini sendiri? Kita boleh berpolitik dalam banyak perkara, tetapi sekali ini, ketepikan perbezaan kita, kita berikan sokongan penuh kita kepada MAS dan kerajaan Malaysia.

Setiap kejadian itu ada hikmahnya, setiap yang berlaku itu ada sebabnya. Rasa sedih, geram dan marah itu tidak dapat dipisahkan dalam dua kejadian ini. Namun, melihatkan cahaya yang lahir melalui kejadian ini, kita akhirnya tanpa sedar perlu mengakui, kita masih boleh bersatu. Marilah bersama kita mendoakan cahaya ini akan terus menyinari hari mendatang, moga sinar ini mampu membawa penyelesaian yang terbaik dalam dua kejadiani ini. Yakinlah, yang hak pasti berdiri, yang bathil akan terkulai layu. Semoga Malaysia terus diberi rahmat dan dilindungi olehNya.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget