Kerajaan negeri Pulau Pinang menegaskan penguatkuasaan larangan menggunakan pekerja asing sebagai tukang masak utama dalam perniagaan gerai makan hanya tertakluk kepada penjaja dan bukannya restoran.
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata pihaknya hanya akan mengehadkan lesen kepada penjaja tempatan namun tidak akan menghalang sekiranya restoran ataupun hotel menggunakan chef antarabangsa.
"Kami penduduk Pulau Pinang begitu mementingkan makanan. Ia budaya kami. Kerana itu amat penting keaslian dan keunikannya dikekalkan.
"Kalau orang hendak datang Pulau Pinang mesti kerana makanan, tidak seperti Kuala Lumpur," katanya semasa ucapannya di Majlis Berbuka Puasa di Ibu Pejabat DAP, Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kritikan chef selebriti Datuk Redzuawan Ismail yang menyatakan pelaksanaan itu tidak masuk akal.
Bagaimanapun, katanya Pulau Pinang menghormati segala pandangan yang dilontarkan kepada kerajaan pimpinan DAP itu.
"Kita menghormati segala pandangan termasuk chef, namun kita akan tetap laksanakan di Pulau Pinang.
"Di Kuala Lumpur mungkin mereka ada pandangan lain, kita tidak ganggu. Namun bukan di Pulau Pinang, kerana makanan itu penting dan menjadi sebahagian budaya rakyat negeri ini," katanya.
Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata jika penguatkuasaan itu tidak dilakukan ia kemungkinan akan memberi kesan kepada industri pelancongan di negeri yang terkenal dengan jolokan syurga makanan.
"Kalau rasa makanan berubah ia akan beri impak kepada pelancongan Pulau Pinang kerana mereka datang untuk merasai makanan negeri ini."
Kerana itu katanya kerajaan Pulau Pinang akan mengetatkan pemberian lesen hanya kepada penjaja tempatan sahaja.
"Kita akan pastikan penjaja tempatan adalah warganegara Malaysia. Ia untuk pastikan tiada warga asing yang memasak," katanya.
Sebelum ini Chef Wan berkata Malaysia akan menjadi bahan ketawa di mata dunia jika Pulau Pinang melaksanakan rancangan melarang warganegara asing daripada menjadi tukang masak tempatan dalam usaha mengekalkan citarasa aslinya.
“Bukankah lebih baik melatih mereka dengan baik dan menyelia mereka melakukan kerja lebih baik?” katanya sepertimana dipetik dalam The Star.
Hari ini, portal pembangkang The Malaysian Insider turut mendapatkan maklum balas daripada penjaja dan pemilik gerai makanan di negeri itu berkenaan dengan tindakan penguatkuasaan tersebut.
Rata-rata peniaga dan penjaja dikatakan kononya menyokong tindakan kerajaan negeri itu kerana ia dapat mengekalkan keaslian makanan walaupun tiada bukti yang menunjukkan sedemikian.
No comments:
Post a Comment