KL CHRONICLE: Insinerator Lebih Berkesan Bagi Masa Depan, Kata @mpkotabelud

Thursday, July 17, 2014

Insinerator Lebih Berkesan Bagi Masa Depan, Kata @mpkotabelud


Projek pembinaan insinerator di Taman Beringin, Kepong, di sini, yang dijangka siap menjelang 2018 adalah kaedah pelupusan sampah yang lebih berkesan dalam jangka masa panjang.




Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata negara tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada kaedah penimbusan untuk tujuan itu tetapi perlu menggunakan campuran kaedah pengurusan sisa pada masa depan.

"Lima tahun dari sekarang, kawasan penimbusan di Bukit Tagar (di Hulu Selangor) adalah menjadi sebahagian daripada metropolitan. Jadi, adakah kita mahu menunggu sehingga itu", kata beliau semasa melawat ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak, Cheras di sini pada Rabu.

Walaupun menghadapi desakan daripada kumpulan tertentu supaya memindahkan tapak projek, Abdul Rahman mempertahankan tapak projek yang dicadangkan di Taman Beringin kerana ia lebih menjimatkan kos jika insinerator dibina dekat dengan sumber sisa.

Beliau berkata kementerian akan mengedarkan makumat berhubung dengan projek itu kepada orang ramai tidak lama lagi untuk memberi pengetahuan mengenai perkara itu.

Beliau juga menyangkal dakwaan oleh Persatuan Penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan, Kuala Lumpur Taknak Insinerator (KTI) bahawa kementerian tidak berbincang dengan penduduk terlebih dahulu mengenai cadangan itu.

"Sama ada di kementerian saya atau semasa mesyuarat 'town hall' di premis mereka. Kami juga menghantar mereka ke Tokyo, Jepun. Mereka telah beberapa kali melibatklan diri. Mereka bercakap bohong jika berkata sebaliknya," kata beliau.

Beliau memberi jaminan kepada penduduk bahawa insinerator yang juga akan dibina di Bukit Payung, Johor dan Sungai Udang, Melaka adalah untuk kebaikan rakyat dan bukan berdasarkan pertimbangan komersil sektor swasta.

Insinerator yang dicadangkan dibina di Taman Beringin, mempunyai keupayaan melupuskan 1,000 tan sisa pepejal dari Lembah Klang tanpa melepaskan gas berbau busuk.

Pembinaan insinerator juga dapat membantu dalam pelupusan sisa pepejal yang dijangka mencapai sehingga 33,000 tan sehari menjelang 2020.

-- BERNAMA

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget