Pemuda PAS Wilayah Persekutuan hari ini menyangkal tuduhan Ahli Parlimen DAP-Puchong, Gobind Singh Deo yang mengatakan isu perlaksanaan hudud oleh PAS telah menjadi penyumbang besar kepada kekalahan DAP di Teluk Intan pada 31 Mei lalu.
"Namun adakah YB Gobind sedar bahawa kenyataan menuduh Hudud sebagai punca utama tanpa satu kajian terperinci adalah sangat tidak cerdik dan dangkal," kata Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Nurul Islam Mohamed Yusoff.
Beliau bagaimanapun setelah menganalisa keputusan tersebut, bersetuju bahawa undi bukan Islam kepada DAP berkurangan 25% dan ianya adalah penurunan yang besar memandangkan prestasi cemerlang DAP di dalam PRU 13.
Katanya kajian oleh Dr Ngreng Miang Hong dari UCSI Poll Research Center mendapati bahawa hanya 12% responden dari kumpulan pengundi Cina yang mengambil berat akan isu perlaksanaan hudud yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri PAS Kelantan.
"Ini bermakna sebelum PRK lagi terdapat dapatan bahawa DAP tidak akan menghadapi sebarang masalah dengan isu hudud.
"Ia juga dapat dilihat apabila keputusan PRK Bukit Gelugor, calon DAP Ram Karpal berjaya mengekalkan kerusi dengan majoriti 37,659 meskipun peratusan keluar mengundi hanya 56.27%, sedangkan mendiang Karpal Singh menang dengan majoriti 41,778 walaupun peratusan keluar mengundi adalah 86.30%," jelasnya.
Ujar Nurul Islam, perkara tersebut menunjukkan bahawa tiada kesan hudud ke atas PRK Bukit Gelugor.
"Bagaimana pula PRK Teluk Intan boleh terkesan dengan isu hudud walaupun calon mereka awal-awal lagi telah mengisytiharkan tidak akan menyokong hudud sekiranya menang?" soalnya.
Katanya, Gobind juga perlu membaca pengakuan oleh Tony Pua dalam artikel "Teluk Intan : A Battle Lost, but A War to be Won" di mana beliau telah menyatakan bahawa Teluk Intan tidak semudah seperti Bukit Gelugor.
Selain itu, katanya pertembungan fraksi juga dikata punca berlaku boikot oleh sebilangan pengundi di Teluk Intan kerana berdasarkan keputusan PRK Teluk Intan, undi yang diperolehi Pengerusi Gerakan, Datuk Mah Siew Keong ketika PRU 13 dan PRK adalah hampir sama, tetapi undi yang diperolehi oleh DAP turun 7,480 undi.
"Jadi peralihan dari DAP ke BN tidaklah begitu ketara. Adakah terdapat boikot secara senyap oleh fraksi-fraksi yang tidak bersetuju dengan pencalonan Dyana Sofya?
"Atau adakah terdapat pengundi yang tidak bersetuju dengan calon selepas mengetahui ibunya adalah ahli pertubuhan Perkasa yang mendapat kecaman kuat oleh masyarakat Tiong Hua?" soalnya lagi.
Kata beliau, isyarat kejatuhan sudah mula kelihatan dan perlu ditangani segera kerana perkara itu sangat membimbangkan terutama bagi DAP sendiri.
Beliau menasihatkan pepimpin DAP terutamanya sekali Gobind, agar berhenti 'menembak' PAS agar kelemahan DAP dapat ditutup.
"Kalaulah DAP merasakan dengan menyalahkan PAS akan menutup kelemahan dalaman DAP, maka mereka silap kerana ia sebenarnya membuka lebih luas pintu kejatuhan DAP," tambahnya.
Pada pilihan raya kecil Teluk Intan, Barisan Nasional (BN) telah memenangi pilihan raya tersebut dengan majoriti 238 undi.
Mah Siew Keong selaku calon BN, meraih 20,157 undi manakala calon DAP, Dyana Sofya Mohd. Daud meraih 19,919 undi.
No comments:
Post a Comment