Monday, April 7, 2014
Kini Ada Pula Ahli Parlimen BN Sabah desak Esscom dibubarkan
Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) perlu dibubarkan selepas beberapa siri penculikan masih berlaku di kawasan berkenaan walaupun lebih RM100 juta dibelanjakan oleh kerajaan, kata ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).
Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Ghapor Salleh berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu memandang serius isu berkenaan dengan meletakkan kawasan tersebut di bawah satu kementerian berkaitan.
“Esscom ini tidak sukses. Jadi saya cadangkan kepada Perdana Menteri agar bubarkan Esscom. Kita mahu satu kementerian seperti Kementerian Dalam Negeri atau Kementerian Pertahanan yang mengetuai ini semua.
“Ini kerana Esscom tiada yang arahkan. Bolehkah dia beri arahan kepada ketua polis negara?
“Bolehkah dia beri arahan kepada komander tentera? Tiada yang mahu dengar (mereka),” katanya semasa di Dewan Rakyat sewaktu membentangkan usul keselamatan Sabah di Parlimen hari ini.
Seorang pelancong wanita warga China dan seorang pekerja sebuah resort di Pulau Singgahmata, Semporna, diculik sekumpulan lelaki jam 10.30 malam pada Khamis.
Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Esscom, Datuk Mohammad Mentek yang menyifatkan tiada kaitan dengan kumpulan pengganas namun enggan mengulas lanjut mengenainya.
Wanita warga China berkenaan berusia 28 tahun dan berasal dari Shanghai.
Dua wanita itu dipercayai dilarikan dari Singamata Reef Resort selepas enam lelaki bersenjata, menyerbu resort peranginan berkenaan.
Gao Huayun, 29, dari Shanghai, yang sedang bercuti dengan kira-kira 60 pelancong dari negara berkenaan, dipercayai diambil dari bilik penginapan mereka sebelum dipaksa menaiki sebuah bot.
Pekerja hotel Filipina berusia 40 tahun, Marcy Dayawan, bagaimanapun tidak jelas bagaimana beliau dilarikan.
Mengulas mengenai cadangan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata Esscom tidak perlu dibubarkan sebaliknya pengukuhan dan penambahbaikan di kawasan itu perlu dilaksanakan.
“Operasi yang dijalankan sebelum ini di enam resort Semporna menahan 26 pekerja asing dengan pelbagai kesalahan.
“Saya tidak setuju Esscom ditutup sebaliknya aset perlu ditambah akhir bulan ini untuk rondaan laut yang diuruskan di peringkat komponen,” katanya menggulung usul yang dikemukakan Ahli Parlimen Semporna Stephen Wong.
Wong semasa membentangkan usulnya berkata penculikan warga asing di Semporna baru-baru ini menunjukkan kerajaan gagal dalam menangani isu pencerobohan dan keselamatan penduduk di pantai timur Sabah.
Katanya, masalah ini akan terus berlaku jika kerajaan tidak mengambil langkah lebih drastik dalam menanggani masalah pencerobohan.
“Kawasan Esscom yang ditubuhkan dengan peruntukkan berjuta-juta ringgit langsung tidak menunjukkan kesan positif. Namun begitu, saya tidak nampak apa-apa pembangunan dengan peruntukan yang begitu besar.
“Saya ingin mendapat penjelasan dari pihak kerajaan bahawa apakah fungsi dan kuasa sebenar bagi Esscom dan bagaimana mereka memainkan peranan dalam mencegah pencerobohan dan mempertahankan pantai timur Sabah,” katanya.
Wong turut mempersoalkan tindakan kerajaan persekutuan yang masih membayar sejumlah wang kepada Kesultanan Sulu setiap tahun
Katanya, Sabah bersama Malaysia sejak 50 tahun lalu dan ia harus dihentikan.
“Kita dapat tahu bahawa kerajaan persekutuan masih membayar satu 'cession money' sebanyak RM6,300 kepada kesultanan Sulu setiap tahun.
“Jika kita masih membayar 'cession money' tersebut maka ia memberi bayangan kepada orang Sulu bahawa Sabah adalah milik mereka.
“Ia akan terus membawa banyak masalah yang berlanjutan pada masa depan Sabah. Jika ini benar, maka masalah berkaitan dengan sekuriti di Sabah tidak akan berhenti malah berterusan menjadi serius,” katanya. – 7 April, 2014.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment