Calon Timbalan Presiden PKR yang juga bekas EXCO Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau menyertai pertandingan merebut jawatan itu atas kapasiti pengalaman politiknya selama 24 tahun.
Saifuddin, yang juga setiausaha agung PKR berkata, beliau mempunyai kelebihan daripada segi pengalaman, kesetiaan dan jaringan politik berbanding calon lain, sekali gus dakwaan mengatakan Anwar mengarahkan beliau bertanding untuk tujuan itu adalah tidak tepat.
"Pengalaman yang panjang ini saya bawa dengan tawaran bertanding, dengan atau tanpa sokongan Anwar. Saya kekal sebagai tawaran Saifuddin kepada anggota parti, dan anggota parti menilai berdasarkan latar belakang saya.
"Dalam konteks politik, adakah wajar kata saya masuk bertanding atas dukungan Anwar? Tidak, saya masuk atas tawaran saya sendiri," katanya, ketika temubual eksklusif bersama The Malaysian Insider, di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, awal minggu ini.
Umum mengetahui penyandang jawatan timbalan presiden PKR, Azmin dan Khalid, yang juga menteri besar Selangor tidak sebulu dalam banyak perkara, malah perkara itu semakin jelas apabila Khalid secara terbuka menawarkan diri bertanding merebut jawatan tersebut.
Penyertaan Saifuddin dilihat sebagai cubaan PKR meredakan situasi tegang antara dua pemimpin berkenaan bagi mengelakkan perselisihan mereka berterusan sekali gus memberikan ancaman kepada parti.
Selain Saifuddin, Azmin, dan Khalid, turut menyatakan hasrat bertanding merebut jawatan timbalan presiden PKR ialah Datuk K Ramachandram.
"Harus diingatkan, saya menawarkan diri dengan membawa 15 tahun pengalaman politik dalam PKR, sembilan tahun dalam Umno, dan sebelum itu menjalani latihan politik di kampus oleh PAS ketika menjadi pemimpin pelajar.
"Saya pernah duduk dalam arena politik sebagai exco Pemuda Umno. Pengalaman yang panjang ini saya bawa dengan tawaran bertanding jawatan ini," katanya.
Bekas ahli Parlimen Machang itu bagaimanapun berkata, beliau mempunyai kekurangan berbanding Azmin dan Khalid yang mempunyai jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri sebagai wakil rakyat.
"Seorang daripada mereka merupakan menteri besar, seorang lagi pemimpin Parlimen dan DUN. Saya ada kekurangan daripada sudut itu.
"Mentaliti rakyat Malaysia hadir dengan jiwa feudal ini merasakan itu penting, itu kekurangan saya. Tetapi saya datang dengan beberapa kelebihan lain," katanya.
Saifuddin menjadi antara anggota terawal menyertai PKR dan mengasaskan parti itu selepas Anwar dijatuhkan hukuman penjara pada 1999.
Beliau berkata, calon yang bertanding merebut jawatan itu mempunyai sokongan akar umbi masing-masing dan kebijaksanaan mereka menjual idea membolehkan mereka menjadi pilihan anggota parti.
"Ketiga-tiga kami ada sokongan yang seimbang, ada kelebihan dan kekurangan yang dinilai anggota parti. Apabila saya tawarkan diri kita tidak boleh memandang rendah kebijaksanaan anggota parti.
"Itu prinsip saya, ia banyak bergantung bagaimana kita menjual rancangan kita, dan saling melengkapi. Kita bawa tema menang bukan ambil semua, kalah tidak hilang segala-galanya, menang atau kalah masih ada tempat," katanya.
No comments:
Post a Comment