KL CHRONICLE: Mengurus persepsi serong daripada mengaburi kebenaran – Utusan Malaysia

Thursday, March 27, 2014

Mengurus persepsi serong daripada mengaburi kebenaran – Utusan Malaysia



Memang benar misteri MH370 begitu sukar dirungkai buat ketika ini kerana maklumat yang diperolehi adalah begitu sedikit sekali sehinggakan data terpaksa diolah dengan pelbagai kaedah untuk mencungkil maklumat lebih bermakna.



Maklumat data satelit di antara komunikasi MH370 dengan satelit Inmarsat walaupun tidak memberi apa-apa makna mengenai lokasi kapal terbang, tetapi melalui ikhtiar analisis lanjut membuahkan satu kesimpulan mengenai lokasi MH370 pada jam 8.11 pagi Sabtu 8 Mac.

Ketandusan maklumat dan data yang boleh membantu misi pencarian dan menyelamat tersebut menjerumus kepada persepsi bahawa kehilangan MH370 suatu peristiwa yang bukan sahaja misteri tetapi juga tidak pernah menimpa industri penerbangan awam dalam sejarah moden sektor tersebut.

Kekurangan maklumat ini juga membangkitkan satu persepsi yang agak serong terhadap kerajaan Malaysia bahawa mungkin ada sesuatu yang mahu disembunyikan. Semua perkara dipersembahkan dalam sidang media bukanlah segala-galanya. Kepercayaan sebegini diperkuatkan lagi kerana pertanyaan wartawan sukar untuk dijawab sama ada kerana ketiadaan maklumat berkaitan atau pun maklumat tersebut belum dapat disahkan kebenarannya.
Ketika heboh diperkatakan terdapat dua penumpang menggunakan pasport palsu, media asing terutama sekali cuba menggunakan isu ini supaya dikaitkan dengan aktiviti pengganas. Agenda media terbabit begitu mudah dan terserlah kerana cubaan mereka untuk mengaitkan kehilangan MH370 dengan wilayah bergolak di China iaitu Xinjiang. Tetapi andaian tersebut ternyata meleset kerana kedua-dua penumpang tersebut ialah mangsa aktiviti pemerdagangan manusia.
Begitu juga dengan isu alat simulasi penerbangan kepunyaan Kapten Zaharie Ahmad Shah juga sedaya upaya dikaitkan oleh sesetengah pihak sebagai satu perkara pelik dan anomali yang seakan-akan cuba menuding jari kesalahan kepada beliau.
Ada juga soalan daripada wartawan yang kadangkala cuba memutarbelitkan fakta dalam usaha untuk menggambarkan pihak yang mengendalikan siasatan sebagai tidak cekap dalam tadbir urus mereka.
Tetapi soalan daripada salah seorang wartawan kepada pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengenai andaian pertalian keluarga dengan perdana menteri yang memungkinkan kekebalan daripada sebarang pertuduhan kesalahan mempamerkan dengan begitu jelas tohmahan dan niat tidak baik kepada Malaysia.
Semua berita media asing yang cuba memperbesarkan isu kecekapan kerajaan Malaysia mengurus penyiasatan ini sedikit sebanyak mengaburi persepsi masyarakat antarabangsa bahawa memang benar kerajaan cuba menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan umum.
Persepsi serong sedemikian rupa begitu menyerlah terutama sekali bagi keluarga penumpang yang berasal dari China. Setiap maklumat yang disampaikan kepada mereka sama ada oleh kerajaan Malaysia atau Malaysia Airlines (MAS) sendiri sentiasa dibalas dengan tuduhan ada sesuatu yang cuba disembunyikan.
Sikap konfrantasi yang dipamerkan oleh keluarga penumpang dari China ini seolah-olah cuba menjadikan Malaysia sebagai kambing hitam dan sebenarnya menyukarkan lagi keadaan yang sememangnya sudah berada dalam keadaan yang begitu kritikal.
Memang benar sikap memberontak ini terbit daripada perasaan sedih dan kecewa akibat kehilangan ahli keluarga mereka tetapi apabila protes dilakukan di hadapan kedutaan Malaysia di Beijing, maka aktiviti sebegini mampu memudaratkan hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Tahun ini merupakan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara yang dijalin sejak 1974 lagi. Malaysia adalah negara pertama Asean yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan China. Hubungan dagang kedua-dua negara begitu sihat dan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Malah pada 2013 menyaksikan jumlah dagangan US$106 bilion terhasil.
Terdapat juga analisis yang agak sinis dengan andaian bahawa dalam keadaan misteri MH370 terdapat cubaan untuk mengeruhkan hubungan diplomatik di antara Kuala Lumpur dan Beijing. Ini adalah kerana walaupun terdapat isu pertindihan sempadan maritim di Laut China Selatan di antara kedua-dua negara, Malaysia mengambil sikap berkecuali dengan tidak menyebelahi mana-mana kuasa besar.
Persepsi serong ini perlu ditangani dengan segera dan dalam hal ini media asing juga perlu memainkan peranan yang lebih positif melalui laporan yang tidak berat sebelah.
Putrajaya melaksanakan tugas pencarian dan menyelamat dengan begitu baik sekali kerana bukannya mudah untuk mengurus tadbir 26 negara dalam operasi yang sebegini besar. Tetapi apa yang lebih penting adalah Beijing juga perlu memainkan peranan mereka supaya sikap tuduh menuduh dan tidak mempercayai dalam kalangan rakyat mereka terhadap Malaysia tidak melarat sehingga mampu merugikan semua pihak. – utusan.com.my, 27 Mac, 2014.
* Penulis ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

1 comment:

Labu8455 said...

Malangnya media berbahasa cina di Malaysia terutamanya lebih bersifat menghasut dengan menyalurkan maklumat berbentuk spekulasi dan andaian semata kepada keluarga keluarga mangsa dari negara cina.Tampak jelas walaupun mereka ini rakyat Malaysia tapi hati dan nurani mereka tetap berada ditembok besar. Mereka ini lah yang merupakan gunting dalam lipatan atau duri dalam daging yang suka melihat negara dikucar kacirkan.

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget